Premis makanan dan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan, khususnya di Putrajaya yang menjadi wajah pentadbiran negara.

Pemilik Nasi Lemak Nabella (empat dari kiri) menerima replika cek dan sijil daripada Shamshul Joehari (tiga dari kiri) apabila dipilih pemenang Anugerah Premis Makanan Bersih Putrajaya bagi kategori Food Truck; kedua, Anis Station Enterprise; dan ketiga, Mat Rock Ayam Kunyit.
Bagi memastikan standard itu terus dipelihara, Anugerah Premis Makanan Bersih dan Tandas Awam BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 dianjurkan bagi menghargai pengusaha premis makanan serta pengendali tandas awam yang komited menjaga kebersihan dan keselesaan pengguna.
Anugerah itu turut menjadi penanda aras penting apabila penarafan BMW kini diambil kira dalam kelulusan lesen perniagaan, khususnya membabitkan tahap kebersihan tandas yang perlu mencapai sekurang-kurangnya empat hingga lima bintang.

Mohd Sakeri Abdul Kadir (empat dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Johan Anugerah Tandas Awam BMW Putrajaya, Hotel Double Tree by Hilton Putrajaya Lakeside; tempat kedua, Hotel Pulse Grande; dan ketiga, Hotel Zarith Putrajaya.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, usaha meningkatkan tahap kebersihan premis makanan dan tandas awam di Putrajaya dilaksanakan secara berterusan dan dipantau rapi oleh Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj.
“Premis makanan yang diperiksa perlu mencapai gred A atau B untuk terus beroperasi, manakala tandas awam pula perlu sekurang-kurangnya empat bintang seperti ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Audit penarafan tandas awam dilaksanakan dua kali setahun, manakala pemeriksaan premis makanan dilakukan secara rutin setiap tahun bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya pada Majlis Anugerah Premis Makanan Bersih dan Tandas Awam BMW Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Putrajaya.

Nexus International School memenangi Anugerah Premis Makanan Bersih Putrajaya bagi kategori Sekolah; naib johan, SMK Putrajaya Presint 8 (1); manakala tempat ketiga, SK Putrajaya Presint 9 (2).
Turut hadir, Naib Presiden Kanan (Jabatan Perkhidmatan Korporat) PPj, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar; Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid; Pengarah Bahagian Komersial & Perlesenan PPj, Rozimah Wahid; dan Setiausaha PPj, Baizura Kamal.

Thai Tom Yam Kung dipilih pemenang Anugerah Premis Makanan Bersih Putrajaya bagi kategori Komersial; naib johan, Mohd Chan Signature; dan ketiga, Idris CH Muslim (Mee Tarik).
Mohd Sakeri berkata, penilaian anugerah dilaksanakan secara menyeluruh bersama Pejabat Kesihatan Putrajaya, KPKT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta Pertubuhan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), merangkumi aspek kebersihan, penyelenggaraan, kemudahan pengguna, pengudaraan, pencahayaan dan pengurusan sisa.
Sempena majlis itu, beberapa anugerah premis makanan dipertandingkan iaitu kategori Premis Makanan PBT, Komersial, Hotel, Sekolah, Food Truck dan Kafeteria Kerajaan manakala bagi tandas awam ialah kategori PBT, Agensi Kerajaan, Swasta, Hotel, Rumah Ibadat dan Restoran.

Taman Saujana Hijau dipilih pemenang Anugerah Tandas Awam BMW Putrajaya bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); kedua, PMS Taman Wetland; dan ketiga, Souq Putrajaya.
"Anugerah ini datang bersama amanah. Cabaran sebenar ialah mengekal dan terus meningkatkan standard sedia ada. Premis yang berjaya hari ini bakal menjadi rujukan pengusaha lain.
"Pelanggan dan pengguna hari ini semakin peka dan kritikal. Mereka menilai bukan saja rasa dan harga tapi kebersihan, susun atur, keadaan persekitaran serta kualiti kemudahan tandas awam.
"Satu pengalaman buruk atau baik boleh tular dengan cepat dalam media social. Maka kebersihan dan standard perkhidmatan tidak boleh dikompromi. Ia membawa imej kita dan boleh mempengaruhi kesihatan awam dan kepercayaan masyarakat.
"Justeru, semua pengusaha premis makanan di Putrajaya perlu menjaga kebersihan dapur, ruang makan dan kawasan sekitar sebagai keutamaan dan rutin harian," katanya.
Johan Tandas Awam BMW Putrajaya kategori Rumah Ibadat, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Surau Al-Rayyan dan Surau D'Palma bergambar bersama Mohd Sakeri (empat dari kiri) dan Shamshul Joehari (tiga dari kiri).
Bagi pengendali tandas awam, katanya pastikan kecukupan bekalan asas, kebersihan, system udaran, pencahayaan dan penyelenggaraan secara konsisten, di samping QRAM juga banyak membantu supaya standard tandas awam bertaraf tinggi.
"Saya juga berharap warga Putrajaya dan pengunjung membudayakan sikap ambil peduli dan mengamalkan semangat kekitaan ketika menggunakan kemudahan awam. Gunakan secara berhemah dan mematuhi peraturan sedia ada.
"Jika ada kerosakan dan penambahbaikan, anda boleh membuat laporan kepada PPj.
"Putrajaya ada amanah kita bersama yang mesti dipelihara demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang. Fasiliti kita tanggungjawab kita," katanya lagi. - KitaReporters

Peserta Majlis Anugerah Premis Makanan Bersih dan Tandas Awam BMW peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025 bergambar kenangan bersama Mohd Sakeri.
_________________________________________________