Selera & Santai 13 Sep, 2024

Ke-kandar dan adin-dar penggemar nasi kandar! Nasi Kandaq Festival kembali! 21 hingga 22 Sept 2024!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Perhatian kepada semua ke-kandar dan adinda penggemar nasi kandar, Nasi Kandaq Festival 2.0 kembali lagi dari 21 hingga 22 September 2024. 

Dianjurkan oleh laman web penggemar makanan FriedChillies dengan kerjasama Sunway Putra Mall dan Nasi Kandaq Hunters, festival tahun ini (2024) akan mengimbau kembali nostalgia zaman keemasan juadah nasi kandar pada tahun 70-an yang menyaksikan makanan ringkas golongan pekerja kolar biru ini melalui transisi menjadi juadah nasional yang digemari ramai.

“Penganjuran festival Nasi Kandaq pada tahun lepas mencatatkan kejayaan yang luar biasa dengan kehadiran lebih 20,000 orang penggemar nasi kandar serta menghimpunkan legenda-legenda utama nasi kandar negara di bawah satu bumbung,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Adly Rizal. 

“Kami yakin acara ini akan berlangsung dengan lebih meriah pada tahun ini. Ia satu-satunya festival nasi kandar yang menampilkan hidangan dari 11 penjual nasi kandar utama negara dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Ipoh di bawah satu bumbung di Sunway Putra Mall, KL,” kata Adly.



“Sunway Putra Mall komited untuk mempersembah acara unik kepada pelbagai lapisan masyarakat. Selepas beberapa acara bertemakan makanan pada 2023, kami sedar yang pengunjung kami sangat menanti-nantikan acara sebegini dan keterujaan ini selari dengan misi kami untuk mewujudkan sebuah ruang bagi perhimpunan dan perayaan. 

"Pusat beli-belah kami terletak secara strategik di tengah-tengah ibu kota dengan akses mudah kepada pengangkutan awam dan perkhidmatan e-panggilan. Ia lokasi yang sesuai untuk kawan-kawan dan keluarga bertemu dan menikmati acara ini secara bersama," kata Pengurus Besar Kanan Sunway Putra Mall, Danny Lee.

Sementara itu, Nasi Kandaq Hunters (NKH) teruja untuk menyokong satu lagi kerjasama antara FriedChillies dan Sunway Putra Mall sempena Nasi Kandaq Fest 2.0. 

Pengasas bersama NKH, Badrul Izam berkata, “NKH yakin Nasi Kandaq Fest 2.0 akan menjadi medan perhimpunan ulung penggemar nasi kandar di Lembah Klang kerana ia menampilkan pilihan juadah yang menyelerakan dari seluruh negara. 

"Dengan senarai penjual nasi kandar yang dipilih secara teliti, kami yakin setiap pengunjung akan menemui sesuatu yang memenuhi selera mereka dan pada masa sama, meneroka pelbagai rasa yang baharu. 

"Kami mengalu-alukan semua 265,000 anggota NKH untuk menyertai pesta makanan ekstravaganza ini.”



Tak kiralah sama ada anda penggemar nasi kandar yang berpengalaman atau baru ingin mencuba keenakan nasi kandar, kehadiran anda akan dijamu dengan pelbagai jenis kuah campur daripada juadah seperti ayam bawang dan daging hitam yang diadun oleh ‘joki’ nasi kandar kegemaran ramai serta hidangan unik seperti ayam piru (ayam belanda) dan “kambing ros”. 

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati keenakan legenda nasi kandar terbaik Malaysia tanpa perlu meninggalkan ibu kota!

Maka bersedialah untuk menikmati kelazatan tidak terhingga juadah nasi kandar sempena festival ini yang menghimpunkan Legenda Terbilang lagi Gemilang seperti Restoran Yusuf, Relau (Pulau Pinang), Nasi Ganja Yong Suan (Ipoh), Nasi Kandar Kudu (KL), LC (Line Clear) Restoran (KL), Hameediyah (KL/ Pulau Pinang), Nasi Kandar Talam (Johor), Restoran Majeedia (Ipoh), Nasi Kandar Pelita Chai Leng Park (Pulau Pinang) dan Restoran Jamal Mohamad atau Nasi Kandar Ketapang (Pulau Pinang). 

Legenda-legenda nasi kandar ini bukan sahaja akan menghidangkan juadah tersohor mereka tetapi juga berkongsi cerita dan keunggulan masakan mereka dengan penggemar-penggemar nasi kandar.



Seterusnya, bersedialah untuk turut dihiburkan dengan acara-acara pentas seperti pertunjukan cendol teh tarik dan demonstrasi memasak yang menyerlahkan kesenian di sebalik penyediaan minuman serta makanan. 

Pengunjung yang hadir akan berpeluang untuk merasa cendol dan teh tarik segar pada acara ini. 

Mereka yang kaki makan dan ada 'tangki' besar pula berpeluang untuk menyertai pertandingan makan yang akan mencabar keupayaan peserta dalam menikmati hidangan kari berapi yang melimpah ruah!

Hadirin juga berpeluang untuk bertemu sendiri dengan legenda-legenda Nasi Kandar. 

Pakar-pakar masakan ini akan mempersembahkan kemahiran mereka mencampurkan lapisan demi lapisan cedokan kuah kari di atas pinggan anda untuk mencipta rampaian rasa dan aroma yang melazatkan. 

Mereka akan mempersembah aksi yang bakal memukau mata dan selera anda dengan mengadunkan pelbagai rempah dan aroma bagi menghasilkan juadah yang lazat di mata dan memikat jiwa.

Festival ini juga akan dirancakkan dengan persembahan dan muzik era 70-an secara live, bagi mengimbau kenangan zaman keemasan juadah jalanan Malaysia. 

Di samping itu, peserta juga berpeluang menelusuri sejarah nasi kandar menerusi hiasan klasik, lagu-lagu lama dan mengenang sejarah menerusi kisah evolusi nasi kandar dalam dekad-dekad yang berbeza.

Di samping itu, kerjasama yang mengujakan dengan Hameediyah memberikan peluang kepada pengunjung festival untuk menghayati warisan dan tradisi di sebalik juadah ikonik Malaysia ini daripada artifak-artifak nasi kandar di muzium Hameediyah.



"Kami amat gembira apabila Nasi Kandaq Fest 2.0 tahun ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. 

"Kami berharap agar semua orang akan berkunjung dengan rakan-rakan dan keluarga untuk meraikan juadah yang enak dan unik ini serta menghayati budaya dan warisan di sebalik nasi kandar," kata Adly. - KitaReporters/Kenyataan Media

18
10
0
19
0
You will be interested