IKAN bakar memang enak. Tambah menyelerakan jika menikmatinya dengan iringan deruan ombak serta desiran angin laut yang begitu nyaman. : KitaReporters.com
RESTORAN Aroma Ikan Bakar tumpuan pengunjung dari jauh dan dekat.
Suasana ini akan anda rasai jika datang menjamu selera ke restoran Aroma Ikan Bakar di Jeram, Kuala Selangor. Tempat ini memang terkenal dan menjadi tumpuan ramai pengunjung dari jauh dan dekat.
Kawasan tempat makan ini luas dan boleh menempatkan ramai pengunjung pada satu-satu masa.
Ada bahagian yang ekslusif dan sesuai untuk mengadakan majlis tertentu. Kawasan makan yang terbuka juga luas, semuanya berbumbung.
Terletak di tepi Selat Melaka, dengan anjungnya menghadap laut, menyajikan pemandangan indah pada waktu petang apabila matahari hendak terbenam.
Sambil menjamu selera, boleh melihat ombak menghempas pantai menderu-deru.
Orang ramai boleh bermain di gigi air atau di pasiran pantai sambil menghirup udara petang dan mengambil gambar. Kanak-kanak pula boleh berlari berkejaran sekeliling pantai.
KETAM segar di Aroma Ikan Bakar.
IKAN jenahak juga boleh dipilih oleh pelanggan.
Walaupun tempat makan ini dinamakan Aroma Ikan Bakar, makanan yang disajikan bukan hanya ikan bakar. Ia salah satu specialty yang ada di situ.
Sebaliknya pelbagai jenis masakan makanan laut lain boleh dipesan. Ada pelbagai jenis ikan boleh dipilih, antaranya bawal, pari, siakap, jenahak, gerut-gerut dan lain-lain.
Selain ikan, ada juga ketam, udang dan sotong sedia dimasak menurut selera pelanggan. Tomyam campur pun ada disediakan, selain sayur pilihan.
Pelanggan yang datang boleh memilih sendiri ikan atau makanan laut yang mereka suka.
Setelah dipilih pekerja akan menimbang sambil pelanggan memberitahu mereka jenis masakan yang dikehendaki.
PELANGGAN memilih sendiri ikan dan makanan laut lain untuk dimasak.
SEBAHAGIAN pengunjung Aroma Ikan Bakar menikmati selera.
Ikan bakar adalah menu popular. Namun pelanggan juga boleh memilih untuk memesan ikan stim, ikan tiga rasa atau asam pedas, bersesuaian dengan jenis ikan yang mereka pilih.
Begitu juga dengan udang, sotong atau ketam yang boleh dimasak secara basah seperti masak lemak atau boleh juga memesan sotong atau udang goreng tepung.
Yang menarik ialah walaupun pengunjung ramai, makanan atau minuman yang dipesan pelanggan akan disajikan dalam masa singkat.
Penyajian yang cepat ini menggembirakan pelanggan kerana tidak penat menunggu, ditambah dengan layanan mesra pekerja.
Untuk anak-anak, ada pula disediakan gerai jualan ais krim serta gerai menjual barang-barang permainan.
BANYAK jenis makanan laut susah nak pilih!
WAKTU operasi Aroma Ikan Bakar.
Kepada mereka yang meminati makanan laut, rasailah kelainan menjamu selera dalam suasana kedamaian desa di Aroma Ikan Bakar.
Pilih hari dan waktu yang sesuai untuk anda sama ada siang atau malam. Tempat ini beroperasi tujuh hari seminggu.
Ia juga merupakan lokasi popular untuk orang ramai berbuka puasa pada bulan Ramadan.
Hari Isnin hingga Jumaat Aroma Ikan Bakar dibuka dari pukul tiga petang hingga 12 malam. Hari Sabtu dan Ahad ia dibuka lebih awal, dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam.
Jangan bimbang mengenai tempat letak kereta kerana kawasan parkir yang luas disediakan untuk pengunjung.
IKAN SIAKAP tiga rasa.
JENAHAK masak stim.
Untuk sampai ke Aroma Ikan Bakar, jika dari Kuala Lumpur boleh melalui Lebuh Raya LATAR menuju Kuala Selangor.
Anda juga boleh menggunakan jalan Kelang-Kuala Selangor melalui Kapar jika datang dari sebelah Klang atau Shah Alam. Lebih mudah, guna waze atau google sahaja!
Selamat menjamu selera! - KitaReporters.com
MENUNGGU hidangan yang biasanya siap dalam masa singkat.
IKAN PARI enak dibakar.
IKAN BAWAL besar dan segar.
UDANG masak sambal.
SOTONG goreng tepung.