Selera & Santai 28 Apr, 2020

LEMANG TIN TAK SELAMAT? LEMANG CUP PULAK!!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

MASYARAKAT Malaysia sememangnya kreatif terutama dalam bidang masakan apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masa yang ada di rumah, digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan pelbagai menu dan resipi baharu. Antaranya yang tular dalam media sosial ialah lemang tin atau lemang yang dimasak di dalam tin aluminium. : KitaReporters

Tin minuman yang diperbuat daripada aluminium sebagai pengganti buluh untuk memasak lemang.


Secara tradisi, lemang biasanya dimasak menggunakan buluh. 

Kemudian diikuti dengan lemang periuk kera sehingga mencetuskan kontroversi kerana dikatakan punca kepupusan tumbuhan tersebut.

Terbaharu, lemang tin pula. 

Dikatakan lemang tin juga tidak kurang enaknya berbanding lemang buluh atau periuk kera. Selain itu, bahan ini mudah dicari.

Namun, kreativiti tersebut mendapat perhatian seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim. 

Beliau menerusi Facebook berkongsi kesan-kesan buruk penggunaan tin aluminium untuk membuat lemang.

kesan-kesan buruk penggunaan tin aluminium untuk membuat lemang.

Menurut Dr Fatimah, memasak di dalam bekas tin makanan tidak digalakkan termasuk aluminium kerana ia merupakan sejenis logam yang reaktif. 

Haba memasak yang tinggi dan pendedahan berterusan akan menyebabkan bahan masakan bertindak balas dengan bahan kimia binaan tin tersebut.

Malah tin yang diperbuat daripada aluminium, tindak balasnya lebih cepat dengan masakan yang bersifat asidik atau basik.

“Kandungan aluminium yang tinggi dalam badan dikaitkan dengan masalah kesihatan berkaitan saraf, tulang dan otak terutama autisma dalam kalangan kanak-kanak dan Alzheimer,” tulisnya.


Katanya lagi, berbeza dengan peralatan memasak yang diperbuat daripada aluminium, ia mempunyai satu lapisan aluminium oksida (Al2O3) yang sangat stabil. 

Lapisan oksida ini bertindak sebagai selaput penghalang hakisan aluminium ke dalam minuman atau makanan sekiranya tidak dikikis semasa mencuci.

“Namun lapisan ini belum terbentuk pada tin aluminium yang sangat nipis itu. 

"Jika ada yang masih lagi berhasrat juga untuk menggunakan tin aluminium ini untuk memasak lemang, kesan tindak balas ini mungkin boleh dikurangkan dengan pembentukan lapisan oksida tadi. 

"Caranya ialah dengan mendidihkan air beberapa kali dalam bekas ini sehinggalah lapisan oksida ini terbentuk yang mana boleh dilihat dengan jelas.

“Benar, daun pisang yang digunakan sebagai pembalut (pastikan tapak juga dibalut bersama) boleh menjadi penyerap sebahagian aluminium. 

'Namun kita tidak tahu berapa banyak aluminium yang terhakis dan berapa kapasiti serapan daun pisang itu.

“Ingat, komposisi bahan binaan tin tidak sama dengan periuk memasak aluminium walaupun bahan utamanya adalah sama. 

"Dan fikirkan juga kebarangkalian bahan-bahan kimia lain yang terhakis daripada cat dan tulisan pada tin itu lalu menjadi perisa tambahan kepada lemang.

“Kesimpulannya, memasak lemang dalam tin aluminium tidak selamat dan tidak digalakkan,” jelasnya.


Semoga penjelasan panjang lebar Dr Fatimah dapat diikuti. 

Tak salah untuk kreatif tetapi jangan sampai memudaratkan. Dengarlah kata mereka yang pakar, tak rugipun! 

Kalau tin aluminium tidak selamat atau digalakkan dalam memasak lemang, bagaimana pula lemang dimasak "in a cup" pula atau lemak dalam cawan??

Media sosial nampaknya mula viral dengan kaedah memasak lemang dalam cawan khususnya cawan diperbuat daripada kertas.



Menurut Datuk Zaini Ujang, inovasi memasak lemak di dalam cawan pernah diusahakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar itu dalam hantaran dalam akaun Facebooknya pada 2015 menulis: "Lemang Cawan - Inovasi oleh UKM. Selain guna buluh dan daun pisang, kita boleh masak lemang di dalam cawan yang dihasilkan oleh UKM. Tahniah UKM."


Sementara itu, pemilik akaun Facebook, Mohd Nor Salam Harun turut menunjukkan cara-cara memasak lemang di di dalam cawan bagi mereka yang berhasrat ingin mencuba.

Siapa kata rakyat Malaysia tak kreatif?? - KitaReporters

1
2
0
0
0
You will be interested