Selera & Santai 23 Oct, 2020

Taman Negara Pahang dibuka semula! Kuala Tahan, Sungai Relau

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

PUSAT peranginan hutan tropika Taman Negara Pahang di Kuala Tahan (Jerantut) dan Sungai Relau, Merapoh (Lipis) dibuka semula untuk pelawat domestik bagi menyertai aktiviti rekreasi dan riadah di kawasan kemudahan awam taman hutan tropika itu mulai hari ini, 23 Oktober 2020. : KitaReporters


Pemandangan dari sebuah pusat inap kawasan Taman Negara, kelihatan pintu masuk taman dan jeti pendaratan serta memunggah pelancong, manakala di seberang Sungai Tembeling merupakan Kampung Kuala Tahan dan deretan restoran terapung yang menyajikan juadah masakan tempatan. - Kredit foto:  Taman Negara Kuala Tahan 


Satu kenyataan rasmi pembukaan kedua-dua buah taman itu dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook 'Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia' semalam, Khamis 22 Oktober 2020 menyebut kemudahan awam berkenaan mula dibuka untuk dikunjungi pada tarikh tersebut dengan disertakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tambahan seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut kenyataan berkenaan, antara kandungan SOP tambahan iaitu sekatan dikenakan terhadap pengunjung dari negeri atau kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memasuki Taman Negara Pahang.


Kenyataan Jabatan Perhilitan Semenanjung mengenai pembukaan Taman Negara Pahang. - Kredit foto: Perhilitan Semenanjung


Prosedur Operasi Standard (SOP) Tambahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. - Kredit foto: Perhilitan


Arahan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan oleh Perhilitan pada 6 Oktober 2020 lalu merupakan kali kedua selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 lalu berikutan penularan pandemik COVID-19 di beberapa buah negeri yang diletakkan di kawasan merah serta penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh MKN.

Berikutan penutupan Taman Negara Kuala Tahan kali kedua yang menyimpan khazanah hutan tropika berusia lebih 130 tahun itu meruntun rasa 'kecewa' dan kebimbangan dalam kalangan pengusaha hospitaliti dan penggiat sektor ekopelancongan di situ akibat mereka kehilangan pendapatan. 

Rentetan daripada senario tersebut, satu petisyen memorandum bantahan penutupan sementara taman itu telah ditandatangani oleh sembilan wakil persatuan pengusaha, penggiat dan penggerak ekopelancongan termasuk Orang Asli Batek di Taman Negara telah dihantar kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), kerajaan negeri, Perhilitan, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan pada 19 Oktober 2020 lalu.

Antara lain petisyen itu meminta Perhilitan membuka semula Taman Negara untuk merancakkan semula sektor ekopelancongan menerusi kehadiran pelawat domestik dan memberi 'nafas' semula bagi kalangan pengusaha dan penggiat yang kehilangan punca pendapatan sebelum ini.


Kredit foto: FB Kerajaan Negeri Pahang


Sususlan daripada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menerusi kenyataannya pada 22 Oktober 2020 meminta Kerajaan Pusat khususnya Perhilitan membuka segera operasi kemudahan awam Taman Negara di kedua-dua buah laluan masuk, iaitu di Kuala Tahan (Jerantut) dan Merapoh (Lipis).

Alasan kerajaan negeri, menurut beliau, tidak perlu penutupan kedua-dua taman tersebut memandang lokasi kawasan peranginan itu yang terletak di Jerantut dan Lipis serta keseluruhan kawasan di Pahang tidak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Sementara itu, menerusi kenyataan Bernama pada 20 Oktober 2020 lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin pun mempunyai pandangan yang senada, iaitu kawasan tempat pelancongan tersebut tidak terlibat dengan pelaksanaan PKPB. 

Beliau berkata, arahan penutupan sementara taman itu dilihat menjejaskan sektor pelancongan yang baru hendak dirancakkan semula selepas berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan mulai 18 Mac 2020 lepas.

"Pengusaha resort dan pemandu pelancong baru hendak menarik nafas lega (selepas PKP) namun arahan penutupan Taman Negara menyebabkan ramai pelancong terpaksa membatalkan tempahan yang difahamkan mengakibatkan kerugian kepada mereka.

"Bagi saya keputusan ini harus diteliti semula kerana pelancong dari luar kawasan PKPB seperti Johor, Kelantan dan Perak masih boleh berkunjung ke negeri ini tanpa melalui kawasan PKPB," katanya di Janda Baik pada 20 Oktober 2020 yang dipetik dari Bernama.


NORHASIYATI TAHARIN


Dalam pada itu, Pengusaha Tahan Guest House, Kuala Tahan, Norhasiyati Tahiran berkata, dia bersyukur kerana pembukaan semula kemudahan awam di Taman Negara memberikan sinar kembali serta harapan baru bagi pelawat domestik dari kawasan hijau (yang tidak terlibat PKPB) kembali mengunjungi pusat peranginan hutan tropika di situ.

"Memanglah kami berasa gembira, tetapi sukar untuk diterjemahkan kehidupan sebagai pengusaha pusat inap dan pemain sektor ekopelancongan di sini pada masa akan datang memandangkan musim tengkujuh bakal menjengah dan fenomena ini juga membataskan kunjungan pelawat ke sini.

"Pembukaan semula Taman Negara ini diharap ramai pengunjung yang tiba mulai hujung minggu ini dan rancangan kami juga untuk melebarkan aktiviti pelancongan di kampung tradisional Melayu pesisir Sungai Tembeling (Lembah Tembeling) seperti Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai iaitu mengadakan pakej lawatan berkenaan," tambahnya.


AFZAL ABDUL AZIZ


Pengusaha Greenland Guest House, Afzal Abdul Aziz berkata, dia serta rakan pengusaha lain sangat mengharapkan ramai pengunjung domestik mulai hujung minggu ini untuk menginap serta bersiar di taman peranginan itu.

"Walaupun, kita cuma ada lebih sebulan lagi sebelum musim tengkujuh, tetapi saya yakin pengunjung akan fokus semula melawat ke sini khususnya penggemar aktiviti ekstrem, melihat burung liar (birding), memancing ikan sungai, program 'team building', mesyuarat dan sebagainya sekurang-kurangnya mampu 'melegakan' tekanan kewangan pengusaha di sini," katanya.

Afzal yang juga seorang pemandu alam sekitar (nature guide) Taman Negara seterusnya berharap, ancaman pandemik COVID-19 kembali pulih menjelang hujung tahun ini supaya kerajaan dapat membuka 'sempadan' bagi membolehkan pelancong Barat dan Asia melawat ke taman itu yang memberikan punca utama menambah pendapatan pengusaha hospitaliti dan pemain dalam sektor ekopelancongan di situ.  


M SYUKRI JALI


Manakala, pengusaha pelancongan SGI Outdoor Merapoh, Lipis, M Syukri Jali berkata, dia dan rakan pengusaha di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perhilitan kerana prihatin dengan nasib pengusaha, pengendali makanan, pemandu alam sekitar di kawasan itu diibaratkan seperti 'nyawa-nyawa ikan' berikutan kehilangan pendapatan sejak penutupan sementara mulai 6 Oktober 2020 lalu.

"Bolehlah kami memperoleh sedikit pendapatan untuk menampung kos sara hidup, membayar pinjaman malahan sangat mengharapkan pelawat domestik memberikan sokongan berkunjung ke sini sebelum menjelang musim tengkujuh nanti.

"Mari kita semarakkan semula aktiviti ekopelancongan di negeri ini sekali gus menjadikan pelbagai khazanah tempatan termasuk budaya dan kesenian sebagai tarikan pelawat selari dengan hasrat program Tahun Melawat Malaysia 2020 - 2021," ujarnya. - KitaReporters

 

 

 

1
0
0
0
0
You will be interested

Video| Peniaga minuman takut letak air di dalam tumbler? Apa alasannya? Saiz yang berbeza-beza?

Kenapa peniaga air takut letak air dalam tumbler yang dibawa pelanggan? Mungkin ini jawapannya.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 3 weeks ago

Video| Bestnya! Iftar di kawasan sawah padi! 100 pesawah Hulu Besut hadir Majlis Berbuka Puasa Baroh!

KETIKA sebahagian umat Islam di negara ini mengadakan iftar Ramadan di tempat-te
Mohammad Ishak in Selera & Santai 3 weeks ago

Video| Dilarang guna stapler! Penjual tepung pelita kongsi cara baharu! Tapi tetap guna daun pisang!

Larangan penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan tidak menjadi masalah buat peniaga kuih tepung pelita.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 1 month ago

Video| Yang nak dibeli tauhu bergedel! Tapi yang dapat tauhupap! Pembeli geram peniaga tidak jujur!

Seorang wanita melepaskan geram kerana tauhu bergedel yang dibelinya tidak seperti yang diharap.
Zul Akmar Jamaludin in Selera & Santai 1 month ago