Bumblebee dah mendarat. Temui watak siri filem Transformers di Taman Sari Tasik Titiwangsa.
SEBAIK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan peringkat demi peringkat, maka pelbagai perniagaan tumbuh bak cendawan lepas hujan. Masing-masing yang selama ini resah kerana sesetengah perniagaan tidak dibenarkan, kini keadaan sudah kembali normal.
Sebaik tempat riadah seperti taman awam dibuka untuk orang ramai, ia mula menjadi tumpuan pengunjung, manakala peniaga turut mengambil kesempatan membuka semula perniagaan mereka seperti menyewa basikal, menjual minuman ringan dan jualan trak makanan.
Tinjauan di Taman Sari Tasik Titiwangsa pada Ahad, 25 September 2021 lalu, mendapati jalan masuk utama sesak dengan kenderaan kerana orang ramai mengambil kesempatan hujung minggu untuk keluar beriadah, bersenam, berkelah atau sekadar bersiar-siar 'ambil angin malam'.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan taman tasik
Firdaus bersama keluarganya selepas selesai pertunjukan.
Rangkuman kisah hidup Firdaus Zainuddin, 39, mungkin lebih kurang sama dengan skrip siri filem transformers.
Bekas askar yang dulu kerjanya menjaga keselamatan negara dan dia kini masih juga wira tetapi dalam bentuk robot Bumblebee dan Optimus Prime kumpulan Autobot yang 'menjaga' keamanan bumi.
Cuma tugasnya boleh dianggap lebih santai sekarang dengan menghibur orang ramai khususnya kanak-kanak dalam persembahan seni jalanan dan 'artis' undangan dalam majlis rasmi serta keraian keluarga.
Firdaus yang juga bekas anggota sembonyan berkhidmat selama 18 tahun di Kem Iskandar Mersing, sebelum bersara.
Dia memilih melakukan kerjaya cosplay (lakonan berkostum) itu selepas belajar mencipta kerangka robot itu dari Google. Ditambah dengan bakatnya mahir membina pelbagai kraf tangan daripada barangan terbuang, maka terhasillah hasil seni yang menjadi sebahagian daripada punca rezeki barunya.
Ketika ditemui dia yang sedang membuat persembahan yang mendapat sambutan menggalakkan terutama kanak-kanak. Dengan dibantu isteri, Nurul Shazwani Mohd Shaari, mereka menawarkan setiap keluarga yang mahu merakam gambar dikenakan bayaran RM10.
Pengunjung yang mengambil peluang bergambar dengan robot Bumblebee dikenakan bayaran RM10.
Dia antara ratusan peniaga yang dibenarkan menjalankan kegiatan selepas tasik itu dibuka untuk orang ramai yang mahu melakukan pelbagai kegiatan riadah.
Selain menghasilkan cosplay Bumblebee, Firdaus juga mempunyai set Optimus Prime, ketua Autobot. Tetapi disebabkan watak Bumblebee lebih 'nakal' dan diminati kanak-kanak, dia memberi fokus persembahan dengan watak berkenaan.
Bertekad untuk berniaga selepas bersara askar, mereka mengambil kontrak sebagai penghibur pada majlis hari jadi, acara di sekolah dan memeriahkan sambutan hari keluarga serta menjadi artis penyeri majlis perasmian dan majlis perkahwinan.
Paling menggembirakan, kata Firdaus mereka berpeluang membawa anak-anak ke tempat kerja.
Disebabkan anak-anak masih kecil, mereka hanya dibenarkan berada dalam kenderaan sambil menyaksikan bapa mereka membuat persembahan. Adakalnya mereka menjadi 'artis' ekstra untuk bapa mereka meraikan rakan-rakan sebaya merakam gambar Bumblebee.
Jalan masuk sesak dengan orang ramai mengambil peluang untuk beriadah.
Nurul yang menggunakan nama Wany Shaari dalam akaun Facebooknya, adalah bekas seorang jururawat terlatih turut membantu suaminya dalam promosi dan sejak PKP dilonggarkan, perniagaan mereka kembali stabil kerana sudah banyak mendapat tawaran membuat persembahan.
"Kami mengadakan persembahan seni jalan di sini bermula dari jam 4 petang sehingga 7 malam," katanya yang turut mempunyai beberapa perniagaan dalam talian dan gerai keropok lekor di Segambut yang diusahakan oleh beberapa pekerjanya.
Menurut Nurul, mereka menghabiskan RM3,000 untuk membina set pakaian itu dan dan semuanya dibuat oleh suaminya.
Orang ramai yang berminat menggunakan perkhidmatan termasuk menjadi 'artis penyeri' majlis perkahwinan boleh menghubungi Firdaus melalui talian 011-2077 4408 atau Wany 017 3706858.
Sementara itu seorang lagi peniaga yang mengambil kesempatan membuka car boot sale, Ali Imran bersama rakan-rakan memberitahu, ini kali pertama dia berniaga di taman tasik itu selepas mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Orang ramai sekadar bersiar-siar di taman yang sudah kembali normal semula.
"Kami dibenarkan berniaga di sini asalkan menjaga kebersihan," katanya yang menjual kasut terpakai.
Ramai juga pengunjung tasik itu mengerumuni mereka kerana harga kasut berjenama terkenal dijual dari RM15 ke atas dan masih nampak baru.
Ali atau Jazz (Arya) memang dikenali oleh pelanggan kerana dia banyak membuat jualan dalam talian dan turut mengendalikan kafe berhampiran di mahkamah Jalan Duta.
Dia berniaga di hujung minggu di situ bagi membekalkan kasut senaman yang mudah dibeli kepada pengunjung yang tidak membawa kasut khas untuk berjogging. Malah harganya masih murah dan mutu pun elok. - KitaReporters
Ali @ Jazz (Arya) sedang melayan pelanggannya.