Selera & Santai 24 Dec, 2022

Nak makan daging salai, itik salai, keli salai, ayam salai? Jom ke Edden Salai! Masakan tradisi NS!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Restoran Edden Salai terletak di jalan utama berhadapan Sekolah Kebangsaan Chengkau di Rembau, Negeri Sembilan. - Kredit foto: Edden Salai - KitaReporters

MULA beroperasi pada 4 Disember 2021, Restoran Edden Salai menawarkan pelbagai menu tradisi yang mampu menggamit selera pelanggan untuk berkunjung ke premis tersebut.

Apatah lagi, lokasinya terletak di tepi jalan utama berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Chengkau, Rembau di Negeri Sembilan memudahkan orang ramai menikmati pengalaman gastronomi yang mengujakan.

Pemiliknya, Mohammad Ruslee Harun berkata, walaupun baru setahun beroperasi di kawasan tersebut, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan tradisional

Daging salai antara menu yang menjadi kegemaran pelanggan di Edden Salai.


Pemilik Edden Salai, Mohammad Ruslee Harun (dua dari kanan) bersama aktor Shahrol Nizam yang singgah makan di kedainya.


"Sebenarnya sebelum ini kami menjalankan perniagaan di Simpang Ampat, Melaka. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu kami membuat keputusan berpindah ke Chengkau. Alhamdulillah, ia bukan keputusan yang sia-sia. Boleh dikatakan setiap hari kami menerima ramai pelanggan dari luar Negeri Sembilan. 

"Mungkin hidangan yang kami sajikan dimasak tidak terlalu pedas, jadi pelanggan luar boleh makan dengan selesa," ujar Mohammad Ruslee yang merupakan bekas pesara kerajaan.

Tambah beliau, antara menu signatur yang sering menjadi kegemaran ramai ialah kerabu. Ini termasuklah kerabu jantung pisang, kerabu pucuk paku, kerabu epal, kerabu kedongdong dan kerabu kangkung.  

"Selain itu, menu utama sudah pastilah masakan berasaskan salai iaitu daging salai, itik salai, keli salai dan ayam salai. Bagi melengkapi hidangan, kami turut menyediakan sayur-sayuran goreng, ulam-ulaman dan sambal belacan," jelasnya yang mengakui semua menu adalah resipinya sendiri.  


Kerabu jantung pisang yang pasti membuka selera penggemarnya.


Ditanya tentang cabaran yang dihadapi dalam perniagaan restoran ini, Mohammad Ruslee berkata antara kesukaran mereka adalah untuk mendapatkan pekerja tetap. Namun, syukur kerana rezeki mereka masih ada dan mampu bertahan sehingga kini.

Di samping itu, faktor kos sara hidup yang semakin meningkat juga menyebabkan pihaknya berdepan dengan kos perbelanjaan yang tinggi. Bagaimanapun, cabaran seumpama itu bukan penghalang untuk mereka memberikan yang terbaik buat pelanggan.

"Saya percaya, jika kita menawarkan masakan yang berkualiti dan sedap, pasti pelanggan akan datang lagi dan lagi. Insya-Allah, rezeki Allah itu sangat luas. Kita hanya perlu yakin dan percaya selain berusaha," ungkapnya yang berharap perniagaan mereka ini akan terus maju serta dapat mengangkat martabat makanan warisan Negeri Sembilan.


Seorang pekerja menyalai itik sebelum di Restoran Edden Salai.

Sementara itu, salah seorang pelanggan, Kushairi Che Ismail berkongsi pengalamannya makan tengah hari di Edden Salai. 

"Lauk-pauknya memang sedap. Rasanya tak pedas mana. Memang ikut selera dan tekak kami selaku orang Pantai Timur. Tak hairanlah anak-anak pun suka dan siap tambah nasi lagi. Paling saya gemar adalah kerabu jantung. Insya-Allah, kami pasti akan berkunjung lagi. Berhantu!" jelas Kushairi yang berasal dari Kelantan.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 019-6236086. - KitaReporters


INFO:

Edden Salai

Berhadapan dengan SK Chengkau, Rembau.

Dibuka setiap hari kecuali Selasa.

Waktu operasi: 9.30 pagi - 3.30 petang


Kushairi Che Ismail teruja menikmati hidangan makan tengah hari di Edden Salai yang disifatkannya 'berhantu'.


Menu keli salai masak lemak cili api.

11
17
0
12
0
You will be interested