Selera & Santai 22 Dec, 2024

Sembang-Sembang| Jom sembang santai di Kopi O Kampung! Masak guna cerek! Disaji biskut empat segi!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Kawasan sekitar kafe Kopi O Kampung di Kampung Keriang, Bukit Pinang, Kedah.


 

Menu istimewa... Minuman kopi O bersama biskut empat segi dan cekodok panas.


Ketenangan boleh didapati hanya dengan secawan kopi O. Selitkan biskut empat segi kata orang Kedah sudah tak peduli kiri kanan. 

Apa lagi kena pula sepinggan cekodok pisang emas dan pisang awak panas-panas sebagai hidangan tambahan, berselera tak terkata.

Dikelilingi tumbuhan hijau, pokok buluh dan sungai yang mengalir tenang, dekor yang ala kampung menambah keseronokan minum petang cara dulu-dulu. Sebagai tarikan, elemen moden ditambah bagi menyempurnakan suasana. 

Itulah pengalaman saya, Aini Abidin dan Jamilah Ibrahim ketika singgah minum dalam perjalanan balik dari Maahad Derang di Bukit Pinang baru-baru ini. 



Terpandang papan tanda "Kopi O Kampung", Aini memperlahan kereta, belok masuk terpampang kafe Kopi O Kampung. Wow… hebat persembahannya. Terpukau sejenak. 

Memandang sudah lewat petang lampu warna warni menghiasi khemah dan kawasan sekitar. Cantik dan tenang. Tambahan pula senja hampir menjelma. 

Memilih meja di sudut pokok buluh berhadapan sungai, saya memesan keutiau kerang, Aini meminta maggi goreng dan 

Jamilah pula Chicken Chop. 


Unik.... Jerang air guna cerek besar dan dimasak pakai kayu api.


Menarik... Layanan kedai Kopi 0 Kampung yang istimewa. 


Sudah semestinya minuman kopi O jadi pilihan. Dua keping biskut empat segi diletakkan atas piring dan juga sepinggan cekodok panas. 

Pemilik premis Kopi O Kampung Ruslin Long adalah kenalan kami. Maka rancaklah bersembang. Sempat juga korek rahsia bermulanya idea membuka restoran kopi O ini. 

“Semua bermula dengan minat. Walau saya suka aktiviti lasak seperti mendaki, masuk hutan saya juga suka melancong. 

“Bila melancong tentu minum jadi kemestian. Di Indonesia saya suka minum kopi. Terasa sedapnya kopi kampung di negara tersebut. 

“Seorang rakan mencadangkan saya buka kafe. Saya sahut cabaran dengan membuka sebuah cafe corner kecil. Alhamdulillah dapat sambutan," cerita Ruslin. 


Pencetus idea... Ruslin Long


Dari kecil cafe berkembang sedikit demi sedikit sehingga meliputi kawasan 70 kaki. Kata Ruslin oleh kerana sambutan di luar dugaan dia membuka Kopi O Kampung. Satu di Hutan Kampung dan yang kedua di Bukit Pinang. 

Menggunakan kopi dari Indonesia yang dibakar dan dijadikan serbuk, ternyata ia menjadikan mereka yang pernah menikmati rasanya akan mencari bila teringin. 

“Kami guna teknik jerang air guna cerek dengan dapur kayu api. Bancuhan juga ada kelainan,“ jelas Ruslin. 

Tidak hairan kafe unik ini yang terletak di Kampung Keriang, Jalan Bukit Pinang, Kedah turut dikunjungi ramai pengunjung termasuk dari Brunei, Taiwan, Sabah dan Sarawak. Juga dikunjungi kerabat, pegawai tinggi kerajaan negeri dan persekutuan. 



Pengalaman 55 tahun dalam bidang pengiklanan membantu merealisasikan impian Ruslin seperti hari ini. 

“Jiwa seni yang menebal turut membantu usaha dan minat saya dalam hidup,“ ujar Ruslin yang juga pereka Bahtera Layar Emas yang digunakan sempena Pertabalan Sultan Kedah pada 2018.

Seronok mendengar kejayaan seorang insan kreatif yang terus berkarya selagi terdaya. Kemudian menerjemahkan ideanya menjadi realiti. Kafe Kopi O Kampung yang unik dan mempesona pengunjung sambil menghirup minuman kopi O panas. 

Kagum dengan suasana yang nyaman dan tenang di sekitarnya, saya yakin ramai lagi yang boleh mencontohi usaha Ruslin. 

Selain minuman kopi kampung disajikan juga aneka menu goreng goreng, masakan tradisional dan Western. Kreativiti anak kampung merubah selera tetamu yang patut dihargai dan disokong. 



Asyik bersembang dan melayan selera, tidak sedar 2 jam kami dudah berlalu. Makanan pun sudah habis. Senja hampir menunjuk diri. 

“Kita kena repeat Kak Mala. Ajak lebih ramai geng baru seronok. Mini reunion pun menarik," Aini memberi cadangan. Jamilah terus sokong. 

Saya pula. Setuju sangat sebab memang saya suka suasananya. Apapun semua bergantung kepada keadaan dan masa. 

Insya-Allah bila balik kampung mesti siap masuk lis (senarai) tempat berjumpa sahabat untuk borak-borak dan sambung silaturahim. 

Terima kasih Aini dan Jamilah bawa Kak Mala menikmati sedapnya menu di Kopi 0 Kampung. Kat rumah pun ada kopi tapi kopi ini sedapnya lain macam.

Anda yang datang bercuti ke utara atau balik kampung boleh singgah pekena kopi 0 di kedai Kopi O Kampung idea Ruslin. 

Yang nak buat reunion, jamuan dan sebagainya juga boleh diatur dengan menghubungi Ruslin 017-7443751.

Tahun 2025 Tahun Melawat Kedah (TMK 2025). Masukkan Kopi O Kampung sebagai pot wajib datang. Semoga terus sukses dan dimurahkan rezeki saudara Ruslin. - KitaReporters 


Ruslin (kiri) melayan kami minum. Jamilah (dua dari kiri), Aini (dua dari kanan) dan penulis.

16
16
0
13
0
You will be interested