Babi merupakan haiwan yang jelas pengharamannya dalam Islam. Larangan memakan daging babi bukan sekadar hukum fiqh, malah ia menyentuh soal ketaatan, keimanan dan disiplin diri seorang Muslim.
Namun dalam dunia global hari ini, realiti masyarakat majmuk menjadikan isu berkaitan babi sering muncul dalam pelbagai bentuk, sama ada secara budaya, ekonomi mahupun sosial.

Satu perkongsian daripada seorang wanita Jepun
mualaf dalam TikTok telah menarik perhatian ramai, bukan kerana sensasi, tetapi kerana
kejujuran dan ketenangan cara dia menyampaikan pengalaman peribadi sebelum dan
selepas memeluk Islam.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Akari, atau nama akaunnya @fathima0716akari, sering berkongsi perjalanan hidupnya sebagai seorang Muslimah di Jepun, sebuah negara yang majoriti masyarakatnya menjadikan daging babi sebagai makanan harian.

Dalam satu hantaran berbentuk foto dengan latar lagu
Antassalam nyanyian Maher Zain, Akari mengulas persoalan yang sering ditanyakan
kepadanya, “Adakah daging babi itu sedap?”
Jawapannya ringkas, jujur dan tidak berselindung.
“Saya akan menjawab dengan jujur. Selama 18 tahun sebelum saya menjadi Muslim, saya makan daging babi seperti mana orang Jepun yang lain.
"Ya, daging babi itu memang sedap. Kalau ia tidak sedap, sudah tentu orang Jepun atau negara lain tidak memakannya, bukan?” soalnya.

Namun, perkongsian itu tidak berhenti di situ. Akari mengakui bahawa pada awal penghijrahannya sebagai seorang Muslimah, pernah timbul keinginan untuk kembali merasai daging tersebut, memandangkan beliau sudah tahu rasanya.
“Ketika baru menjadi Muslimah, ada saat saya teringin memakannya semula kerana tahu kesedapannya.
"Tetapi setelah beberapa lama menjadi Muslimah, saya tidak pernah lagi mahu memakannya,” ceritanya lanjut.


Menurut Akari, hidup sebagai Muslim di Jepun bukan sesuatu yang mudah, khususnya dalam soal pemakanan.
“Untuk saudara-saudara seagama Islam, di Jepun sangat banyak hidangan yang menggunakan daging babi. Namun jangan lupa ajaran agama kita dan jangan sampai kita mencipta dosa untuk diri sendiri,” nasihatnya.
Nada perkongsian itu sederhana, tidak menghakimi dan jauh daripada provokasi. Namun ia membuka ruang perbincangan yang luas dalam kalangan netizen, khususnya golongan mualaf dari pelbagai latar belakang.

Ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi dengan
kisah-kisah peribadi yang hampir sama iaitu tentang perubahan selera, ujian
iman dan ketenangan selepas memeluk Islam.
“Di Taiwan saya makan daging babi, tapi entah kenapa perut saya tidak boleh terima. Setiap kali makan, rasa mahu muntah. Selepas itu saya bertaubat,” kongsi salah seorang netizen.

Perbualan turut diselitkan dengan gurauan ringan
apabila seorang pengguna bertanya perbandingan antara daging Wagyu dan babi.
Akari menjawab dengan jujur namun bersahaja.
“Kalau menurut saya, Wagyu! Tapi mahal sangat.”
Lebih menyentuh hati apabila ramai mualaf berkongsi pengalaman bagaimana selera mereka berubah secara semula jadi selepas memeluk Islam.
“Saya dulu Katolik, sering makan daging babi waktu kecil. Selepas mualaf sejak SMP sampai umur 35 tahun, melihat daging babi langsung tiada selera.
"Padahal keluarga saya semua Katolik dan mereka makan di depan saya. Alhamdulillah sampai sekarang. Salam toleransi,” ujar netizen tersebut.

Seorang wanita turut berkongsi kisah suaminya yang telah memeluk Islam selama 13 tahun.
“Katanya tidak berat kalau niat betul-betul. Pernah saya bergurau suruh makan daging babi, tapi memang dia tidak mahu,” ceritanya.

Perkongsian Akari ini secara tidak langsung mengingatkan
masyarakat bahawa isu berkaitan babi, pemakanan dan agama seharusnya ditangani
dengan hikmah dan kefahaman, bukannya emosi atau prasangka.
Akari sendiri tidak pernah memaksa pandangan, tidak mengutuk budaya asalnya dan tidak mempersenda sesiapa.
Sebaliknya, dia menegaskan satu prinsip mudah, apabila seseorang memilih Islam, maka ketaatan itu datang bersama kesedaran dan pengorbanan.
Dalam dunia yang semakin sensitif terhadap isu agama dan kaum, pendekatan dakwah secara lembut, peribadi dan berfakta seperti ini dilihat lebih menenangkan, berbanding naratif keras yang sering mengundang salah faham. - KitaReporters
