Selera & Santai 04 Jan, 2026

Video| Ada beran? Lintah laut dijadikan hidangan! Tumis bersama bawang dan cili! Pasti terangkat!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Di sebalik nama yang kedengaran menjijikkan, lintah laut sebenarnya bukanlah lintah seperti yang sering kita bayangkan, hidup di sungai atau paya dan menghisap darah. 

Biota laut ini menjadi perbualan hangat dalam media sosial selepas satu video memaparkan proses memasaknya, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu, rasa geli dan perdebatan hukum halal dalam kalangan netizen.



Lintah laut turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti lintah bulan, kemanu dan di beberapa wilayah Indonesia ia dipanggil salaja (dalam bahasa Bima). 

Dari sudut saintifik pula, ia sebenarnya tergolong dalam kumpulan siput tanpa cangkerang atau sea slug dan sering disamakan dengan keluarga teripang kerana habitat dan teksturnya yang hampir serupa.

Di Malaysia, biota ini tidak begitu popular sebagai makanan arus perdana. 

Namun, dalam komuniti nelayan dan penternak laut, ia lazim disebut sebagai siput laut berlendir, siput payau atau di sesetengah tempat digelar siput mata naga. Ada juga yang menganggapnya sebagai perosak kolam ternakan laut, bukannya hidangan. 



“Serius lintah dimakan?” Itu persoalan utama yang berlegar dalam ruangan komen. 

Video berkenaan memaparkan individu yang memperkenal lintah laut dengan nada bersahaja, sambil menjelaskan bahawa haiwan ini tidak menghisap darah dan sama sekali berbeza dengan lintah air tawar.

“Walaupun namanya lintah laut, haiwan ini tidak menghisap darah. Lintah sungai itu cerita lain,” jelasnya.

Dalam video tersebut, dia turut mendedahkan bahawa lintah laut sebenarnya adalah siput, cuma tanpa cangkerang, berlendir dan mempunyai tekstur seakan sayur okra yang telah dimasak. Habitatnya pula banyak ditemui di pinggir pantai, hutan bakau dan kawasan perairan payau.



Menurutnya lagi, di seluruh dunia terdapat lebih 3,000 spesies, namun bukan semuanya boleh dimakan. Spesies yang ditunjukkan dalam video itu kebetulan adalah daripada jenis yang dimakan oleh komuniti setempat.

Lintah laut tersebut hanya direbus ringkas menggunakan bawang merah, cili, garam dan perasa, tanpa rempah berlebihan. Apabila masak, teksturnya menjadi kenyal, manakala rasanya dikatakan sedikit pahit.

“Aku rasa ini paling sedap direbus saja. Makan pula dengan buah kincang,” katanya.



Namun, reaksi netizen jelas berbelah bahagi. Isu pertama yang mencetuskan perdebatan hangat ialah status halal. 

“Haram tak sebenarnya?” Soalan itu segera dijawab oleh netizen lain. “Kalau masih dalam keluarga siput, halal. Tapi bergantung juga kepada pendapat imam mazhab.”

Ada juga yang menjawab secara bersahaja. “Yang dari laut semuanya halal, kak. Asal tak geli saja.”



Dalam masa sama, netizen dari beberapa daerah berkongsi pengalaman masing-masing. “Di tempat kami (Cirebon), dipanggil risbo. Kalau masak dengan bumbu kelapa, memang sedap.”

Namun tidak semua mampu menerima idea memakannya.“Di tempat aku ada, malah banyak yang saiz jumbo sampai sebesar buah kelapa. Aku geli setengah mati, tak sangka boleh dimakan.”

Ada juga yang melihat lintah laut dari sudut berbeza, bukan sebagai makanan tetapi ancaman. “Keluarga aku panggil siput mata naga. Ia perosak untuk kami yang menternak perikanan air laut.”



Apa yang menarik, lintah laut sebenarnya telah lama menjadi sebahagian daripada makanan tradisi komuniti pesisir di beberapa negara Asia Tenggara. 

Namun, dalam konteks masyarakat moden khususnya di Malaysia, ia masih dianggap asing, pelik dan menjijikkan.

Persepsi ini mungkin berpunca daripada rupa fizikalnya yang berlendir, serta penggunaan istilah ‘lintah’ yang memberi gambaran negatif sejak awal. 

Hakikatnya, dari sudut biologi, ia lebih dekat dengan siput laut berbanding lintah sebenar.

Jadi persoalannya, jika dihidangkan di hadapan anda, berani cuba atau terus tolak? - KitaReporters



16
10
0
7
0
You will be interested