Antaranya ada peminat kopi sanggup ke Indonesia untuk merasai keenakan kopi luwak berharga premium iaitu biji kopi yang dikeluar bersama najis perut musang.
Jika anda peminat kopi yang juga suka melancong, cubalah datang ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lawatlah kedai kopi mewah ‘Roasters’.


Rangkaian ‘Roasters Speciality Coffee House’ mempunyai empat cawangan di Dubai dan keseluruhannya 11 cawangan di seluruh UAE. Secawan kopi berharga 2,500 dirham atau kira-kira RM2,861.
Ia tercatat secara rasmi sebagai pemegang Guinness World Records (GWR).
Rekod itu dicatat pada 13 September 2025 lalu di cawangan utama Roasters di Boulevard Downtown, Dubai, apabila seorang pelanggan bertuah disajikan secawan kopi yang dibru menggunakan kaedah V60 dan dihidangkan dalam gelas kristal buatan tangan Edo Kiriko dari Jepun yang terkenal dengan corak artistiknya.
Minuman eksklusif ini menggunakan biji kopi Panamanian Geisha yang sangat jarang ditemukan. Ia ditanam di ladang terkenal Hacienda La Esmeralda, Panama.
Hidangan turut disertakan dengan sepotong tiramisu dan aiskrim coklat yang juga diperkaya dengan biji kopi Geisha yang sama.

Kejayaan ini hadir selepas Roasters mengejutkan industri kopi antarabangsa pada September 2025 apabila membeli keseluruhan lot 20 kilogram biji kopi Panamanian Geisha jenis washed dari Hacienda La Esmeralda pada harga AS$604,000 (RM2.5 juta) pada acara lelongan Best of Panama 2025.
Dikenali dengan aroma bunga, buah-buahan serta nota citrus yang unik, biji kopi Geisha menjadi tarikan utama dalam acara pecah rekod berprestij itu.


Penyediaan kopi dilakukan secara eksklusif di meja pelanggan oleh barista khas menggunakan teko kawalan suhu dan penapis V60.
Pelanggan misteri yang membayar 2,500 dirham itu turut menerima kad maklumat tentang kopi Geisha sebagai sebahagian daripada pengalaman premium.
Walaupun identiti pelanggan tidak didedahkan, Roasters mempromosikan acara ini sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran.