Selera & Santai 17 Oct, 2025

Berendam, berkelah, bersukan, bersantai! Hari Rekreasi Putrajaya meriah! Bandar mesra rekreasi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

HARI rekreasi adalah acara komuniti yang disambut di beberapa negara di dunia bagi membolehkan rakyat mereka keluar dan menikmati suasana santai bersama keluarga. Inilah yang berlaku di Putrajaya.



Hari Rekreasi Putrajaya 2025 (HRP 2025) memberi peluang komuniti di sekitar bandar pentadbiran negara itu serta masyarakat luar mendapat keseronokan bermain air, berkelah dan bersantai bersama keluarga pada hari minggu selain kenikmatan berendam sepuas hati di kolam yang disediakan.   

Inilah peluang keemasan yang ditunggu-tunggu selama ini. 

Memang seronok dapat berendam kerana bukan mudah melakukan aktiviti begitu selain bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan dengan menghadap pemandangan "sunset" di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Presint 6. 


Keindahan panorama yang memukau di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Presint 6. 


Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata, program yang diadakan itu menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesihatan mental, menghilangkan stres, merapatkan hubungan kekeluargaan, mempromosi keindahan dan kepelbagaian rekreasi di pusat pentadbiran negara itu.

"Melalui penganjuran HRP 2025, kami secara tidak langsung dapat memperkenal Putrajaya sebagai bandar mesra rekreasi yang dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

“Sebagai acara tahunan, ia menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terutama terhadap penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan dan sokongan kepada gaya hidup sihat,” katanya.


Fadlun Mak Ujud mencuba  sejenis permainan tradisional yang dibuat khusus dengan kayu untuk menguji keseimbangan badan ketika berjalan.


Memasuki edisi keempat, Hari Rekreasi Putrajaya 2025 menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Family Fun Walk, Putrajaya Swimathon, Sukaneka Air dan Darat,  Pickleball, Permainan Tradisional, Hot Wheels Race Challenge serta Jualan Barangan Outdoor dan Sukan.

Turut menjadi tarikan utama ialah Kolam Renang Kompleks Sukan Air Putrajaya yang dibuka secara percuma kepada pengunjung sepanjang program berlangsung, selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. 

"Bagi menambahkan suasana santai dan meriah di tepi tasik, pengunjung digalakkan hadir dengan tema pakaian "Santai Hawaii", sekali gus menyerikan lagi acara yang berlatarkan pemandangan waterfront Putrajaya, terasa seperti berada di tepian pantai.  

"Kawasan "Sandy Beach" turut menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti bertemakan 'Splash Day' seperti Flat Water Rafting, SUP Board Clinic, SUP Giant Board serta Build Sandcastles. Ini menjanjikan pengalaman rekreasi yang unik dan menyeronokkan untuk seisi keluarga," katanya.  


Kolam Renang Kompleks Sukan Air Putrajaya dibuka secara percuma kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.


Aktiviti bermain pasir adalah keseronokan kepada kanak-kanak sepanjang Hari Rekreasi Putrajaya 2025.


Fadlun berkata, Hari Rekreasi Putrajaya 2025 juga salah satu usaha perbadanan itu memupuk gaya hidup sihat serta menyokong pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN).

"Program tahunan itu yang membawa kemeriahan berkonsepkan "Rekreasi Air" adalah  kesinambungan daripada penganjuran tahun lalu (2024) yang menonjolkan semangat dan keceriaan aktiviti air serta darat, sekali gus menjadi tumpuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

"Penganjuran kali ini bukan sahaja memperkenalkan pelbagai pengisian riadah dan kesukanan, malah menyokong aspirasi Putrajaya sebagai bandar mampan yang menekankan keseimbangan antara gaya hidup sihat, pembangunan komuniti dan kelestarian persekitaran," katanya lagi.


Berlari dalam guni memang menghiburkan kerana pelbagai telatah lucu peserta yang mengambil bahagian.


Permainan membaling tin kosong menguji kemahiran peserta.


Beliau gembira dengan penganjuran Hari Rekreasi Putrajaya 2025 kerana dengan suasana penuh keceriaan dan semangat kekeluargaan, ia menyerlahkan identiti Putrajaya sebagai bandar rekreasi unggul serta destinasi pilihan utama bagi aktiviti riadah dan kesukanan.

"Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan penyertaan percuma bagi kebanyakan aktiviti bagi memberi peluang orang ramai untuk menikmati pelbagai pengalaman menyeronokkan bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya. - KitaReporters


Peserta bergambar kenangan selepas menamatkan perlumbaan kanu sempena Hari Rekreasi Putrajaya 2025.


Putrajaya Swimathon mendapat sambutan di kalangan komuniti tempatan dan luar.

22
15
0
20
0
You will be interested