Selera & Santai 02 Feb, 2026

Iftar Ramadan| Bufet Santapan Ramadan Serantau! Hidangan masakan 11 negara ASEAN! Hotel Sunway Putra!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Ramadan bakal tiba dan bagi mereka yang mendambakan lokasi berbuka puasa yang bukan sahaja selesa malah menawarkan kepelbagaian juadah, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur tampil dengan pilihan yang wajar diberi perhatian.

Barisan chef menunjukkan variasi menu Santapan Ramadan Serantau 2026 yang ditawarkan di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur.
Kali ini, hotel berkenaan memperkenal bufet Santapan Ramadan Serantau 2026 yang dihidangkan di Kopi Haus, Tingkat 9, dengan mengetengahkan konsep gabungan rasa dari seluruh Asia Tenggara.
Idea yang dibawa tidak sekadar memenuhkan meja dengan hidangan, sebaliknya mengajak tetamu merasai kepelbagaian budaya dan tradisi makanan serantau ASEAN dalam satu pengalaman berbuka yang berharga.
Sebaik sahaja melangkah ke ruang bufet, deruan aroma rempah, herba dan masakan panas menyambut kehadiran tetamu, sekali gus membangkitkan selera selepas seharian menahan lapar dan dahaga.
Menariknya, bufet ini menghimpunkan sajian dari 11 negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Singapura, Filipina, Myanmar, Brunei, Laos serta Timor Leste.

Setiap hidangan disediakan dengan penekanan kepada resipi asal dan kaedah masakan tradisional, memastikan rasa autentik kekal walaupun disajikan dalam suasana hotel bertaraf antarabangsa.


Bebek bertutu masakan enak dari Indonesia membuka selera pelanggan ketika berbuka.
Bagi memulakan iftar, pilihan pembuka selera yang ringan dan menyegarkan disediakan seperti Kerabu Daun Teh Burma, Som Tam Thai, Kerabu Ayam Vietnam, Kilawin Filipina dan Umai Udang.
Pilihan ini sesuai untuk ‘membangunkan’ selera sebelum beralih kepada hidangan utama yang lebih berat dan mengenyangkan.
Antara tumpuan utama pengunjung ialah Nasi Briyani yang dipadankan bersama Kambing Panggang lembut, dimasak perlahan dengan campuran rempah yang meresap hingga ke dalam isi.

Tidak ketinggalan, sajian ikonik serantau seperti Ketam Bercili Singapura bersama mantau, Ayam Katok Brunei yang rangup serta Sotong Pedas Thai Basil turut mencuri perhatian.

Bagi penggemar hidangan berkuah, Pho Daging Lembu Vietnam yang panas dan harum menjadi pilihan tepat untuk dinikmati ketika berbuka.

Keistimewaan bufet ini turut terserlah menerusi hidangan Ikan Bakar ala Timor Leste yang diperap dengan sos cili dan asam jawa, ringkas tetapi sarat dengan rasa tradisi.


Hidangan berkuah, Pho Daging Lembu Vietnam yang panas dan harum menjadi pilihan tepat untuk dinikmati ketika berbuka.

Suasana iftar menjadi lebih interaktif dengan kehadiran stesen masakan langsung yang menyajikan Laksa Johor, sate pelbagai jenis, martabak Indonesia serta Roti John yang dimasak segar di hadapan tetamu.

Bagi mereka yang menggemari masakan tempatan, sudut Rebus Asam Pedas dan Sup Tulang Berempah menawarkan rasa padu yang mengingatkan keenakan hidangan di rumah.

Pencinta makanan laut pula pasti teruja dengan pilihan premium yang disediakan, termasuk Udang Kara Selipar Masak Lemak Cili Api, Udang Harimau dan aneka kerang segar.

Tarikan lain ialah Kepala Ikan Salmon Kari Mamak yang dimasak dalam kawah besar di stesen khas ‘Chef’s Special Kawah’, menjadikannya antara menu paling dicari.

Selepas menikmati hidangan utama, tetamu boleh beralih ke sudut pencuci mulut yang menampilkan pelbagai manisan dari seluruh Asia Tenggara.

Antara yang mencuri tumpuan termasuk Kek Lapis Indonesia, Kek Madu Vietnam, Puding Labu Kemboja, Maja Blanca Filipina serta Red Ruby dari Thailand.

Turut disediakan ialah sudut Ais Kacang dan Cendol yang menjadi penutup manis kepada pengalaman berbuka.


Kambing panggang yang dimasak lembut dipadankan bersama nasi briyani.

Pengurus Besar Kanan Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur, Wilfred Yeo berkata, konsep bufet tahun ini dirangka untuk menawarkan pengalaman Ramadan yang lebih bermakna kepada para tetamu.

Menurutnya, Santapan Ramadan Serantau bukan sekadar tentang hidangan, tetapi simbol kebersamaan dan perkongsian budaya antara negara-negara ASEAN.
"Pihak hotel komited menyediakan suasana selesa serta kualiti makanan yang konsisten sepanjang bulan Ramadan," katanya.
Bufet Santapan Ramadan Serantau 2026 akan berlangsung dari 20 Februari hingga 20 Mac 2026, menjadikan ia pilihan sesuai untuk berbuka bersama keluarga, rakan mahupun rakan sekerja.

Selain bufet, Hotel Sunway Putra turut memperkenalkan pakej penginapan khas Ramadan dikenali sebagai Iftar & 'Indulgence Retreat'.

Pakej dua hari satu malam ini merangkumi penginapan bersama sahur untuk dua dewasa serta bufet iftar Santapan Ramadan Serantau. Turut ditawarkan ialah naik taraf bilik percuma daripada Superior ke Deluxe, tertakluk kepada ketersediaan. - KitaReporters


Aneka pencuci mulut yang menampilkan pelbagai manisan dari seluruh Asia Tenggara.

4
8
0
16
0
You will be interested