Pada kala matahari mula berlabuh dan azan maghrib berkumandang... inilah detik yang dinanti-nantikan sepanjang Ramadan -- saat berbuka puasa bersama keluarga tersayang dalam suasana yang penuh makna.
\
Namun di mana lokasi berbuka puasa sama ada di rumah atau di luar bergantung kepada kehendak masing-masing apa tah lagi tuntutan kerja kadangkala tidak mengizinkan berbuka di rumah lebih-lebih lagi apabila berhadapan kesesakan lalu lintas.
Sehubungan itu, ramai dalam kalangan masyarakat sekarang memilih untuk berbuka bersama keluarga di luar waima terdapat begitu banyaknya pilihan lokasi berbuka puasa yang dipromosikan sebelum Ramadan tiba.
Hotel Royale Chulan The Curve antara yang tidak ketinggalan memperkenal bufet "Warna Rasa Ramadan", sebuah pengalaman berbuka puasa yang menggabungkan kepelbagaian rasa dan warna tradisi dalam suasana yang meriah bertempat di Restoren Window.
Menerusi bufet 'Warna Rasa Ramadan', hotel ini menghidangkan lebih daripada sekadar makanan; ia adalah sebuah pengalaman yang menyatukan rasa, tradisi dan kenangan.

Mengapa 'Warna Rasa Ramadan'?
Konsep Warna Rasa Ramadan diinspirasikan daripada kepelbagaian cita rasa serta kekayaan budaya masakan Nusantara yang dihimpunkan melalui deretan lebih 150 hidangan yang disajikan.
Setiap sudut bufet menampilkan warna dan aroma tersendiri, daripada hidangan kampung yang membangkitkan nostalgia sehinggalah sajian berinspirasikan masakan luar yang diolah mengikut cita rasa tempatan.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah Nasi Arab, dimasak dengan rempah yang harum dan tekstur nasi yang lembut, mencerminkan gabungan teknik tradisional Timur Tengah yang dimasak di dalam bawah tanah namun diolah cara sentuhan moden bagi menepati selera tempatan.
Ia sesuai dinikmati bersama lauk iringan yang disediakan, tanpa menghilangkan cita rasa tempatan yang menjadi keutamaan dapur Royale Chulan.


Pengalaman ini turut dilengkapi dengan Royale Bubur Lambuk, hidangan rasmi hotel yang disediakan setiap tahun sebagai simbol tradisi dan semangat menyambut bulan Ramadan.
Rasanya yang sederhana tetapi penuh makna mengingatkan kepada suasana berbuka di masjid dan tradisi berkongsi rezeki, satu pengalaman yang sukar ditukar ganti.
Tidak jauh dari situ, Apam Balik Seri Menanti menarik perhatian dengan aroma manis yang menggoda, sementara Ikan Patin Tempoyak menawarkan rasa masam berlemak yang autentik, seolah-olah membawa pengunjung ke Pantai Timur dalam satu suapan.
Para tetamu turut disajikan dengan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa yang lengkap, bermula daripada pembuka selera, hidangan utama sehinggalah pencuci mulut, memastikan setiap tetamu dapat menikmati kualiti kulinari yang terbaik.

Para tetamu jemputan turut diundang merasai Bufet 'Warna Rasa Ramadan'di Royal Chulan The Curve,
Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas mengenai Bufet Ramadannya tahun ini, Abdillah Adnan selaku Pengurus Hotel Royale Chulan The Curve berkata, “Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan yang menggalakkan refleksi diri, memperkukuh perpaduan dan mengeratkan silaturahim.
"Di Royale Chulan The Curve, kami beriltizam menyajikan layanan penuh keikhlasan serta hidangan autentik bagi mencipta pengalaman berbuka yang bermakna.
"Bufet Ramadan Warna rasa diraikan sebagai simbol tradisi yang menyatukan keluarga, sahabat dan komuniti sepanjang bulan suci ini.”

Dan apa yang menjadikan pengalaman ini lebih istimewa ialah suasananya.
Alunan muzik secara langsung oleh Lala Story Band, bekas graduan dari Universiti Malaya mengisi ruang dengan melodi lembut, mencipta latar yang santai dan eksklusif.

Perbualan menjadi lebih mesra, tawa kedengaran di setiap meja, waima pastinya akan menjadikan waktu berbuka lebih bermakna.
Bagi keluarga, rakan-rakan dan kumpulan korporat, Warna Rasa Ramadan menjadi ruang untuk berhenti seketika daripada kesibukan harian dan kembali kepada nilai kebersamaan.

Warna Rasa Ramadan turut menjadi pilihan ideal untuk majlis berbuka puasa berkumpulan, sama ada untuk majlis kakitangan dan rakan sekerja, mahupun pertemuan bersama keluarga serta sahabat handai.
Keistimewaan lokasi Royale Chulan The Curve yang terletak dalam kawasan The Curve memberikan nilai tambah kepada para tetamu, dengan akses mudah ke lebih 200 gerai bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai pilihan, daripada kuih-muih tradisional sehinggalah barangan pakaian.

Tepuk dada tanya selera... nah pelbagai jenis pilihan ada. - Kredit Foto: FAS.
Ini menjadikan bufet ini pilihan praktikal bagi mereka yang ingin menggabungkan makan malam, bersantai dan membeli-belah dalam satu destinasi,
Di sebalik setiap hidangan dan susunan, terserlah komitmen Royale Chulan The Curve untuk menyajikan pengalaman berbuka puasa yang tulus dan bermakna.
‘Warna Rasa Ramadan’ bukan sekadar bufer bermusim, tetapi satu perayaan kecil yang diraikan setiap malam sepanjang bulan Ramadan -- penuh rasa, penuh cerita dan penuh kenangan. - KitaReporters
