BERMULA dari minat terhadap fotografi dan sekadar mahu menjadikan hobi masa lapang untuk melegakan tekanan tugas seharian, seorang jurutera Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jasni Hashim, tidak menyangka ia membawa tuah apabila dinobatkan johan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PTPC) 2025 bagi kategori malam.

Jasni, 49, dari Taman Sri Wang Fasa 2, Arau, Perlis mengakui kejayaan itu pencapaian sulungnya dalam pertandingan berskala besar untuk tahun 2026 malah menganggap kemenangan berkenaan satu kejutan memandangkan dirinya bukan mempunyai latarbelakang pendidikan fotografi secara formal.
"Saya mula berkecimpung dalam dunia fotografi secara serius sejak 2015 selepas membeli kamera pertama dan menjadikan aktiviti itu sebagai hobi untuk mengisi masa lapang selain rutin kerjaya sebagai jurutera.
“Saya banyak menyertai kelas dan bengkel anjuran kelab-kelab fotografi di sekitar Perlis dan kawasan utara untuk belajar teknik penggunaan kamera, selain tidak segan bertanya kepada rakan yang lebih berpengalaman teknik-teknik mengambil gambar yang betul,” katanya.

Jasni Hashim (dua dari kanan) menerima hadiah dari Mohd Sakeri Abdul Kadir sebagai pemenang pertama PTPC 2025 bagi kategori gambar malam. - Kredit gambar: Faris Azmi PPJ
Beliau berkata, apabila mengetahui Perbadanan Putrajaya menganjurkan PTPC 2025, beliau mengambil cuti selama lima hari semata-mata untuk menyertai pertandingan itu dan datang ke Putrajaya bagi merakam gambar terbaik.
“Ketika tiba awal Oktober 2025, cuaca hujan dan selama empat hari saya cuba mendapatkan sudut menarik Masjid Putra, namun hanya pada hari terakhir barulah saya memperoleh hasil seperti yang diinginkan,” katanya.
"Selain Masjid Putra, saya turut merakam pemandangan Masjid Sultan Zainal Abidin (Masjid Besi) dan kembali ke Putrajaya sebanyak dua kali lagi pada November untuk mengambil gambar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) serta bangunan Perdana Putra," katanya.

Jasni Hashim
Beliau menghantar tiga penyertaan iaitu gambar PICC, Perdana Putra dan Masjid Besi, sebelum diumumkan sebagai juara kategori malam, menewaskan peserta lain yang kebanyakannya berasal dari Lembah Klang.
“Saya anggap diri ini bertuah kerana datang dari negeri utara dan orang baharu dalam dunia fotografi, sedangkan peserta lain mempunyai pengetahuan luas dan karya yang hebat.
"Saya pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Foto anjuran Malaysian Timber Certification Council (MTCC) 2025 bertemakan hutan-hutan Malaysia, namun tiada ahli keluarganya yang meminati bidang fotografi," katanya.
Ditanya mengenai hadiah kemenangannya itu, katanya wang kemenangan itu akan dilaburkan semula untuk membeli peralatan fotografi termasuk lensa baharu bagi meningkatkan kualiti gambar pada masa akan datang.
"Saya anggap kemenangan ini rezeki, justeru saya tidak akan menoleh ke belakang lagi selepas ini sebaliknya mahu terus mendalami bidang ini sehingga ke peringkat lebih tinggi.
"Bagi saya fotografi sebagai medium terbaik untuk mengurangkan tekanan kerja malah ia mendekatkan kita dengan alam. Apabila melihat semula gambar gunung, hutan atau tasik, kepuasan yang dirasai sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kamera mahal sebagai halangan untuk memulakan hobi berkenaan, sebaliknya boleh bermula dengan kamera telefon pintar memandangkan teknologi digital kini lebih mudah dipelajari.

Mustafa Muzer (dua dari kanan) menerima cenderahati dari Mohd Sakeri sebagai ketua juri PTPC 2025. - Kredit gambar: Faris Azmi PPJ
Sementara itu, PTPC 2025 yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 15 November 2025 menerima 291 penyertaan membabitkan 674 keping gambar kategori siang dan 517 keping gambar kategori malam, dengan tema “Keunikan Putrajaya”.
Sejak diperkenal pada 2017, pertandingan tahunan itu menjadi platform mengetengahkan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan, selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan sambutan 30 tahun penubuhan Perbadanan Putrajaya (PPj).
Empat juri profesional mengadili penyertaan iaitu Ketua Unit Fotografi NEST, Jamil Mat Isa; Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam, Andrialis Abdul Rahman; Pengarah Komunikasi Korporat PPj, Siti Fadilah Ramli; dan Arkitek Kanan PPj, Amran Mohd Noor.
Mantan Kaunselor Akademik/Pakar Subjek (SME) Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, Mustafa Muzer pula bertindak sebagai Ketua Juri. Beliau mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang perfileman, fotografi dan penerbitan TV
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026.

Jasni (dua dari kiri) mengabadikan kenangan bersama rakan-rakan fotografi yang turut mengambil bahagian dalam PTPC 2025.
Dalam perkembangan sama, Mustafa mengakui penyertaan Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PTPC) 2025 amat memberangsangkan, sekali gus menyerlah identiti menyeluruh pusat pentadbiran negara itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Putrajaya dari sebuah kawasan hutan ditransformasikan menjadi pusat pembandaran antara terbaik di dunia, justeru usaha bagi mengangkat identitinya sebagai ikon pentadbiran negara dan lokasi pelancongan utama di dalam dan luar negara amat dialu-alukan.
"Secara keseluruhan kualiti gambar berada pada tahap baik dan saya percaya masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh aspek penceritaan visual dan pemilihan subjek. Syabas kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) yang mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan itu," katanya. - KitaReporters
Berikut Senarai Nama Penuh Pemenang PTPC 2025
Kategori Malam
Johan: JASNI HASHIM (RM4,000)
Naib Johan: LO SOOK MUN (RM2,500)
Ketiga: PANG HEONG CHOON (RM1,500)
Sagu Hati (RM300):
MOHD SAMSI SUMAIRI
CHONG KENG LOY
AZMAN ABDULLAH
ASMADY AHMAD
Kategori Siang
Johan: NG WEI CHEAN (RM4,000)
Naib Johan: MOHD FAUZI MASLAN (RM2,500)
Ketiga: NG WEI SIANG (RM1,500)
Sagu Hati (RM300)
LOONG FOO CHING
MUHAMMAD FARID BIN DAUD
MUHAMMAD REDZUAN ABDULLAH
THAM WAI MENG
MUHD ZAIDANI MUHAMMAD ABD LATIB

Pemenang PTPC 2025 bergambar kenangan bersama Mohd Sakeri Abdul Kadir selepas majlis penyampaian hadiah. - Kredit gambar: Faris Azmi PPJ