PENGUASAAN lebih daripada satu bahasa merupakan aset penting dalam menghadapi cabaran global serta meningkatkan daya saing generasi muda di Malaysia tanpa menjejaskan asas identiti nasional.
Ini juga yang didambakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat boleh bertutur banyak bahasa.

Usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang melangkaui perbezaan kaum, dengan penekanan terhadap penambahbaikan sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan yang mencukupi.
Inilah yang mahu dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi menyediakan lebih banyak ruang dan aktiviti hujung minggu bagi membolehkan kanak-kanak mempraktikkan kemahiran bahasa serta menjalani gaya hidup sihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata, antara aktiviti yang sedang dibincang termasuk kelas senamrobik dan kelas bahasa percuma seperti bahasa Arab, Tamil, Cina dan Inggeris yang akan dilaksanakan di lokasi terpilih di Putrajaya sebagai projek perintis.

Hannah Yeoh memberanikan diri memberi pisang kepada gajah yang didatangkan khas oleh Jabatan Perhilitan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
"Program ini tidak akan dijalankan seperti di sekolah. Kita mahu ia menjadi inisiatif komuniti, mungkin membabitkan guru bersara atau individu yang mahir berbahasa untuk meluangkan satu atau dua jam bagi sesi praktis terbuka.
"Projek itu akan dimulakan sebagai projek perintis bagi menilai keberkesanannya dalam membantu warga Putrajaya menyahut cabaran penguasaan pelbagai bahasa serta meningkatkan kualiti hidup komuniti bandar," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2026.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.
Hari Terbuka Putrajaya 2026 berlangsung selama empat hari bermula 29 Januari hingga 1 Februari 2026 di Kompleks Perbadanan Putrajaya dengan konsep "Satu Destinasi, Pelbagai Solusi”.

Sebahagian tetamu yang hadir sempena pelancaran Hari Terbuka Putrajaya 2026 yang diadakan selama empat hari sehingga 1 Februari 2026.
Acara mega ini menghimpunkan kira-kira 500 pempamer dan reruai jualan daripada kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta, termasuk institusi kewangan, syarikat telekomunikasi, industri pelancongan, pendidikan, TVET, kesihatan dan gaya hidup serta usahawan tempatan.
Hari Terbuka Putrajaya 2026 menawarkan pelbagai pengisian merangkumi perkhidmatan oleh sektor awam, pameran pelancongan berskala besar, program pendidikan dan kerjaya, aktiviti keluarga dan rekreasi, pameran kreatif, zon makanan dan minuman serta persembahan pentas.
Penganjuran ini turut disepadukan dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya ke-30.


Hannah Yeoh, Noridah Abdulrahim dan Mohd Sakeri Abdul Kadir bergambar dengan salah pasukan sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan pancaragam sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026.
Bersempena Hari Terbuka Putrajaya 2026, Hannah Yeoh turut melancarkan Laman Web Pelancongan Putrajaya bagi mempromosikan pusat pentadbiran negara itu sebagai hab pelancongan bandar, rekreasi dan acara.
Manakala Aplikasi Mudah Alih Putrajaya pula ialah platform digital bersepadu yang memudahkan orang ramai mengakses maklumat dan perkhidmatan bandar dan Laman Web Local Agenda 21 (LA21) bertujuan memperkukuh pembabitan komuniti dan tadbir urus mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kenderaan antik yang disediakan kepada pengunjung untuk melihat sekitar kawasan Hari Terbuka Putrajaya 2026.
Hannah Yeoh berkata, kementeriannya juga akan melaksanakan program integrasi pengalaman sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali di Wilayah Persekutuan bagi memberi pendedahan kepelbagaian budaya kepada kanak-kanak yang membesar di pusat pentadbiran kerajaan itu.
"Kekurangan kepelbagaian kaum khususnya membabitkan masyarakat Cina dan India di Wilayah Persekutuan ini menyebabkan sebahagian kanak-kanak di situ kurang terdedah kepada pengalaman menyambut perayaan utama negara.
“Saya mempunyai impian kita dapat mewujudkan suasana dan pengalaman kampung untuk anak-anak kecil kita di Putrajaya kerana kita memang kekurangan warga Cina dan India. Melaluinya, mereka tahu sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja ‘lion dance’, ada limau," katanya.

Dua peserta yang mewakili sekolah di Putrajaya sempat bergambar sebelum memulakan cabaran Pertandingan Memasak Junior Chef sempena Hari Terbuka Putrajaya 2026.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementerian juga merancang penganjuran kelas sukan percuma, termasuk senamrobik dan lompat tali, sebagai usaha menangani kadar obesiti dalam kalangan generasi muda.
Pemilihan lokasi pelaksanaan program akan mengambil kira keperluan komuniti setempat, khususnya keluarga penjawat awam yang berdepan kekangan masa untuk meluangkan masa bersama anak-anak. - KitaReporters

Hannah Yeoh bersama Noridah dan Mohd Sakeri bergambar kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir di perasmian Hari Terbuka Putrajaya 2026.