Selera & Santai 30 Dec, 2019

NIAGA AISKRIM DURIAN MUSANG KING.. MASYUK!!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this
SERAMAI 250 usahawan baharu telah dibimbing menerusi program keusahawanan aiskrim halal berasaskan durian iaitu “The Ice Cream Protege Programme” (TICPP) dan Ejen SAM 8005. : KitaReporters.com

AHLI Dewan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (tengah) dan Sifu Sham (dua dari kiri) pada majlis pelancaran program Ejen SAM 8005 di Kompleks Dagangan Mahkota Indera Mahkota di Kuantan, Pahang pada Sabtu (28/12//2019) lalu. 


Ketua Pegawai Eksekutif SAM Global Resources, Mohd Hisham Zamri atau dikenali sebagai Sifu Sham berkata, bakal usahawan yang dikenali sebagai protege TICPP itu diajar menguasai kepakaran menghasilkan aiskrim, ilmu kewangan, pemasaran, pengurusan bisnes, sumber manusia, penjenamaan dan juga cara mencapai standard industri.

Menurutnya, program itu adalah inisiatif daripada SAM Global Resources sendiri yang juga merupakan pemain utama industri dalam pembuatan aiskrim berstatus halal keluaran Bumiputera yang berpusat di Kuantan sejak 15 tahun lalu.

Sifu Sham (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai projek Aiskrim Popsicle Durian Musang King kepada pengunjung program.


“Lebih 15 tahun kami berkecimpung dengan dunia pembuatan aiskrim, bermula dengan kaedah manual kemudian bertukar kepada penggunaan mesin, maka tiba masanya ilmu yang dikumpul dicurahkan kepada mereka yang berminat untuk menambah dan menjana pendapatan.

"Apa yang lebih utama adalah penekanan aspek persijilan halal dan usahawan dibimbing menjana pendapatan sehingga empat angka walaupun bermula dengan modal yang sangat rendah. 

"Pakej latihan dan bimbingan yang berstruktur disediakan untuk mereka bagi membantu mereka mengedar dan menjual aiskrim popsicle keluaran kami,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Ejen SAM 8005, Produk Baharu Berasaskan Durian dan Kafe Dooyan oleh SAM Global Resources di Kompleks Dagangan Mahkota Indera Mahkota di Kuantan, Pahang pada Sabtu (28/12/2019) lalu. 


Antara kenderaan yang digunakan oleh usahawan Aiskrim Popsicle.


Mohd Hisham berkata, protege TICCP berpeluang mengedar dan menjual aiskrim popsicle keluaran mereka sendiri.

Dalam pada itu, pelancaran Ejen SAM 8005 pula bertujuan untuk membuka peluang kepada mereka yang tidak mampu menyertai program protege. Mereka boleh mengambil produk dari ibu pejabat.

Pada 2010, SAM Global Resources telah melahirkan lebih 500 usahawan aiskrim menerusi program Mentor Mentee yang kemudian dinamakan Saudagar Aiskrim Malaysia.

Jom makan Aiskrim Popsicle Durian Musing King yang diedar oleh usahawan bimbingan SAM Global Resources menerusi pakej-pakej yang disediakan.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hisham berkata, produk baharu berasaskan durian oleh SAM Global Resources ialah aiskrim popsicle Durian Musang King akan diedarkan melalui Ejen SAM 8005 di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuantan.

Selain aiskrim popsicle Durian Musang King, SAM Global Resources juga menghasilkan produk aiskrim lain antaranya soft ice cream dan hard ice cream berasaskan Durian Musang King, di mana orang ramai boleh menikmatinya di Kafe Dooyan yang akan dibuka dengan tagline “The Premium Durian Ice Cream Cafe”.

Beliau berkata, Kafe Dooyan yang bakal dibuka tidak lama lagi di Kuantan itu akan menjadi kafe pertama yang menjual produk berasaskan durian berstatus Bumiputera di Pantai Timur umumnya dan di Pahang, khasnya.- KitaReporters.com



Antara ejen Aiskrim Popsicle dan bakal usahawan yang hadir pada program berkenaan.


Md Sohaimi Mohamed Shah (dua dari kiri) bergambar kenangan dengan usahawan Aiskrim Popsicle bimbingan SAM Global Resources.

10
1
0
0
0
You will be interested