Selera & Santai 14 Jun, 2022

Kenal kuih chang atau ketupat daun buluh? Ketupat Cina Kampung Chegar, Pendang semakin terkenal!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke [email protected]

Share this
KUIH Chang, ketupat Cina atau ketupat daun buluh diminati masyarakat Melayu.

MASYARAKAT Cina menggelarnya sebagai kuih chang atau ketupat Cina iaitu juadah tradisional mereka sejak turun temurun.

Namun tahukah anda bahawa kini juadah itu yang turut dikenali sebagai ketupat daun buluh itu turut popular dalam masyarakat Melayu terutama di Kampung Chegar, Pendang, Kedah sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
Ia dikaitkan dengan pengaruh masyarakat Siam di kawasan itu memandangkan ketupat tersebut juga merupakan juadah tradisional kaum berkenaan.
Sesuatu yang menarik, ketupat daun buluh ini semakin popular malah menjadi pilihan sebagai juadah Hari Raya Aidilfitri dari seluruh negara.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kuih-muih


NORHAYATI Yaakob menyusun ketupat daun buluh yang akan direbus.


Hal itu diakui pembuat makanan tradisional itu, Norhayati Yaakob, 47, dari Kampung Chegar apabila dia berjaya menjual sehingga 240 kilogram (kg) ketupat itu ketika sambutan Aidilfitri lepas.
“Memang tak sangka dapat tempahan yang sangat mengalakkan ketika hari raya lepas. Memang tak menang tangan sehingga terpaksa siapkan tempahan sampai hari raya.
“Ketupat ini memang juadah utama di Kampung Chegar berbanding ketupat daun palas. Sekarang disukai ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chegar.
Wanita ini memberitahu, dia mewarisi kemahiran membuat ketupat daun buluh itu daripada neneknya sejak 24 tahun lepas.

INI cara membalut ketupat daun buluh.


Katanya, pembuatan ketupat ini agak remeh terutama dalam proses merebusnya yang memakan masa sehingga empat jam

“Bahan yang digunakan tidak banyak cuma daun buluh, beras pulut dan air abu,” katanya. 
Katanya, sekilogram ketupat itu dijual pada harga RM25 yang mengandungi 30 hingga 40 biji ketupat yang sudah direbus.
“Ketupat ini boleh disejuk beku selepas direbus dan mampu tahan sehingga tiga bulan. Kami mendapat tempahan dari seluruh negara.
“Banyak maklum balas yang kami dapat mereka suka ketupat ini sebab tak muak dimakan kerana tak guna santan. Ketupat ini sedap dimakan dengan rendang atau serunding,” katanya.
Berbeza dengan kuih Chang dari masyarakat Cina, ketupat daun buluh dari Kampung Chegar ini tidak diletakkan inti lauk.
“Orang Cina akan masaknya dengan lauk di dalam pulut tetapi kita masak kosong. Nak makan cicah dengan ketupat saja makan dengan susu pun sedap,” katanya.

WARISAN… Norhayati Yaakob dan Hunaini Sulaiman pengusaha ketupat Cina di Kampung Chegar, Pendang, Kedah. 


Seorang jirannya, Hunaini Sulaiman, 54, dia turut menjual ketupat itu sejak beberapa tahun lepas setelah mempelajarinya daripada Norhayati.
“Saya buat kecil-kecilan sahaja jual dekat jiran-jiran tak macam Norhayati. Ketupat ini memang popular di Kampung Chegar tetapi banyak yang tak suka nak masak sendiri sebab remeh kata mereka,” katanya.
Dalam pada itu menurut Muhammad Zahir Hamzah, 28, yang memasarkan ketupat itu dalam media sosial seperti Facebook, dia menerima tempahan dari seluruh Malaysia pada musim perayaan mahupun hari biasa.
“Bukan orang Kampung Chegar saja suka sekarang, pelanggan di tempat lain pun tertarik dengan keunikan ketupat ini termasuk rasanya yang lain dari ketupat biasa,” katanya.
Katanya, mereka menjual ketupat itu pada harga yang sama sejak lima tahun lepas dan tidak berhasrat untuk menaikkannya walaupun dengan kenaikan harga bahan mentah sekarang.
Mereka yang berminat untuk merasai keenakan ketupat yang jarang ditemui ini boleh menghubungi nombor berikut untuk tempatan, 01131846047.  - KitaReporters


ENAK dimakan dengan serunding.

8
6
0
19
0
You will be interested