KETIKA memulakankan perniagaannya lapan tahun lalu, seorang pengusaha ayam salai di Pekan Ayer Panas, Labis terpaksa menjaja produknya dari rumah ke rumah dan hanya mampu menjual kira-kira 20 ekor ayam salai sahaja sebulan.
Namun berkat kecekalan memperkenalkan produknya tanpa jemu, permintaan meningkat dalam tempoh singkat dan kini dia mampu menjual sehingga melebihi 2,000 ekor ayam salai yang dijual dengan harga RM12 seekor sebulan ketika ini.
Samsudin Osman, 45, berkata, permintaan terhadap ayam salai akan meningkat kepada 3,500 hingga 4,000 ekor sebulan pada bulan puasa selain pada musim cuti sekolah kerana ramai yang memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan ketika itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ayam
Samsudin Osman menunjukkan ayam yang sudah siap disalai dan sedia untuk dihantar kepada pelangan.
"Pelbagai usaha telah saya cuba sebelum ini untuk mencari rezeki, saya pernah menoreh getah sebelum beralih menjadi penjaja ikan di sekitar Labis beberapa tahun sebelum mengambil keputusan memulakan usaha membuat dan menjual ayam salai pada awal tahun 2015.
"Saya bersyukur, usaha ini semakin berkembang dan mampu memberi pulangan lumayan walaupun pada awalnya saya agak sukar untuk memasarkan produk ini," katanya ketika ditemui di Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Katanya, dia nekad menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 sebagai modal untuk memulakan usahanya itu dan semua kerja termasuk mencari kayu api, membersihkan ayam sehingga menyalai dan menghantar pesanan dilakukan sendiri kerana tidak mampu mengupah pekerja ketika itu.
Ayam yang sudah siap dibersihkan perlu ditabur serbuk kunyit dan garam sebelum disalai.
Menurutnya, ketika ini tugasnya semakin mudah apabila dia sudah mampu mengupah empat orang pekerja terdiri daripada belia setempat bagi membantunya menjalankan kerja-kerja menyalai ayam yang memakan masa sekitar empat jam.
Tambah bapa kepada empat orang anak itu, pasaran ayam salainya kini telah mula mendapat permintaan di luar negeri Johor, iaitu sekitar Negeri Sembilan serta Melaka dan ketika ini kebanyakan pelanggannya adalah peniaga yang membeli produknya secara pukal.
"Walaupun saya sudah membekalkan ayam salai kepada peniaga yang membeli secara pukal dalam jumlah yang banyak, namun saya masih menerima tempahan daripada penduduk setempat dan menjual secara runcit kepada mereka yang ingin mendapatkan bekalan ayam salai untuk kegunaan sendiri.
Kesabaran amat diperlukan untuk menyiapkan ayam salai kerana terpaksa berdepan dengan bahang api serta asap selama lebih empat jam.
"Sebenarnya tiada sebarang resepi khas saya gunakan untuk membuat ayam salai ini, hanya menggunakan ayam tua atau ayam perenggang 'pencen' yang digaul dengan serbuk kunyit dan garam sebelum disalai menggunakan bara kayu api," katanya.
Menurutnya, proses membuat ayam salai tidak semudah yang disangka kerana memerlukan masa yang lama iaitu sekitar empat jam dan api yang digunakan tidak boleh terlalu marak di mana selalunya hanya menggunakan bara api sahaja bagi memastikan ayam tidak hangus.
Katanya, keistimewaan ayam salai selain boleh dimasak dengan pelbagai resepi tradisonal Melayu seperti masak lemak cili api, rendang serta kari dan ia juga boleh disimpan lama sehingga tiga bulan tanpa mengalami sebarang kerosakan atau berubah rasa ketika dihidangkan.
Hanya bara api sahaja yang digunakan bagi memastikan ayam yang disalai tidak hangus.
"Setakat ini saya belum membuat label atau pembungkusan kepada produk saya ini dan sedang berusaha ke arah itu bagi memastikan usaha ini dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih jauh selepas ini.
"Saya juga tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain seperti menggunakan gas atau 'oven" untuk menyalai ayai ini kerana hasil menggunakan bara kayu api lebih bermutu dan enak berbanding kaedah lain yang lebih moden," katanya.
Dalam pada itu, kesabaran serta sokongan seorang isteri merupakan faktor utama yang mendorong Samsudin untuk bertahan walaupun mengalami kesukaran untuk memasarkan produk ayam salai yang dihasilkan ketika mula mengusakannya.
Noorhashimah Ariffin, 37, mengakui sebagai seorang isteri dia turut merasa tempias ketika suaminya berdepan cabaran untuk memperkenalkan produk yang dihasilkan dan banyak memberi semangat kepada suaminya untuk terus bertahan ketika itu.
"Selain terpaksa melakukan semua kerja sendiri, pendapatan yang tidak seberapa ketika itu memang cukup menguji kami untuk terus bertahan, namun berkat kesabaran serta usaha tidak mengenal jemu, semuanya dipermudahkan dan kini saya boleh menarik nafas lega melihat kejayaan yang mula dikecapi ketika ini.
"Selain mampu meraih pendapatan yang agak lumayan, apa yang lebih mengembirakan saya adalah usaha ini sedikit sebanyak turut mampu membantu golongan belia kampung untuk memperolehi pendapatan," katanya.
Dalam masa sama dia berharap usaha tersebut dapat dikembangkan dengan lebih meluas pada masa akan sekaligus mampu meningkatkan bukan sahaja ekonomi keluarga, malah penduduk setempat suatu hari nanti.
Mereka yang berminat membuat tempahan ayam salai untuk sebarang majlis perkahwinan atau kenduri boleh menghubung Samsudin melalui talian 011-33815040. - KitaReporters
Hanya kayu keras seperti batang pokok mata kucing digunakan untuk menyalai ayam kerana kayu jenis tersebut menghasilkan bara serta asap yang kurang.