Selera & Santai 15 Dec, 2024

Video| Moh ke LAMPU 2024! Festival pemetaan cahaya bertaraf dunia! Putrajaya jadi bandar fantasi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

.



AYUH bersiap sedia kepada peminat Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) kerana bermula 27 hingga 31 Disember 2024 serta ambang Tahun Baru 2025, pusat pentadbiran negara itu akan bermandi cahaya lampu berwarna-warni.

Memasuki tahun kelapan, festival dengan tema "Menerangi Masa Depan", anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) mempunyai matlamat menarik seramai mungkin pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara sepanjang lima hari acara berlangsung.

Pertunjukan pemetaan cahaya menggunakan teknologi terkini, menghidupkan keseluruhan fasad (sisi luar) bangunan Istana Kehakiman.


Penolong Pegawai Tadbir PPJ, Maida Eriantiey Salmaji, berkata Light & Motion Putrajaya atau LAMPU 2024 menjadi acara tahunan sejak 2014 dan kemuncak kalendar acara Putrajaya. 

Beliau berkata, LAMPU 2024 ialah tarikan utama, pertunjukan pemetaan cahaya menggunakan teknologi terkini, menghidupkan keseluruhan fasad (sisi luar) bangunan Istana Kehakiman yang mengagumkan dengan imejan dan cahaya menarik dan berwarna-warni.

"Laluan utama Presint 3 Putrajaya yang berpusat di Kompleks Perbadanan Putrajaya berubah menjadi fantasi lampu dan aktiviti yang menyeronokkan dengan bangunan bercahaya dan pokok bercahaya berwarna-warni.

"Selain itu, kemeriahan berterusan dengan persembahan muzik secara langsung, gerai, trak makanan, pameran hologram, pertunjukan wayang kulit, beca (kenderaan berkuasa pedal bernyala LED), seni jalanan, pameran kawalan radio dan zumba," katanya ketika sesi Sembang Tamu bersama DJ Nawal di Radio MACCfm. 

Maida Eriantiey Salmaji


Beliau berkata, festival berkenaan bertujuan mempromosi dan menonjolkan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia, yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik dalam perancangan serta pembangunan bandarnya.

"LAMPU 2024 yang bermula dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam membawa kelainan dengan menampilkan penggunaan teknik, teknologi visual dan audio terkini serta pencahayaan beresolusi tinggi dalam Pemetaan Bercahaya 3D di bangunan Istana Kehakiman.

"Dengan tema tahun ini, Menerangi Masa Depan, LAMPU 2024 akan bergerak ke arah teknologi moden, pencahayaan interaktif, persembahan multimedia, selain mengangkat imej PPJ bagi menerangi masa depan.   

"Pertunjukan yang bakal diadakan itu sinonim dengan PPJ sebagai bandar pintar dan teknologi. Ia juga mahu memupuk elemen seni kepada pencipta tempatan sekaligus menobat PPJ sebagai pusat seni dan kreativiti," katanya. 


Maida Eriantiey Salmaji dan Fatin Shazreen Mat Kasa ketika  sesi Sembang Tamu bersama DJ Nawal di Radio MACCfm.


Menurut Maida, dalam pembangunan mampan, LAMPU 2024 mengajak pengunjung ke arah pembangunan lestari dengan menggunakan teknologi cekap cahaya dan mesra alam selain melalui pameran yang akan diadakan nanti.

"Kami mahu bersama-sama masyarakat daripada pelbagai kaum dan peringkat usia menyambut kemajuan selain mengukuhkan hubungan dantara komuniti, bangsa dan budaya melalui teknologi.

"Dalam inspirasi masa depan, kami mencetuskan inspirasi dan aspirasi kepada generasi muda. Malah, kami mencabar golongan muda untuk mencipta dunia masa depan yang penuh aspirasi dan aman dengan menggunakan seni dan kreativiti.

"Secara keseluruhan, kami mahu masyarakat menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar pintar yang bercirikan inovasi, kelestarian dan inspirasi untuk mencapai kemajuan," katanya lagi. 



Pengunjung boleh bergambar bersama teman dan keluarga dengan latar belakang cahaya berwarna warni.


Sementara itu, Penolong Pegawai Undang-Undang PPJ, Fatin Shazreen Mat Kasa berkata apabila menyebut tema masa depan, pastinya pengisiannya bersifat futuristik. 

"Apabila persembahan LAMPU 2024 di bangunan Istana Kehakiman nanti, penonton boleh melihat apa yang saya katakan futuristik, jadi kena datang sebab kadangkala apa yang kita bayangkan tidak sama dengan apa yang kita akan tonton kelak.

"Kami juga ada dekorasi taman, reka bentuk arca bercahaya, kereta berhias, permainan interaktif selain membina dua pentas mini berhadapan Menara Tulus dan Menara Prisma di Presint 3 manakala persembahan basker, tarian jalanan dan break dance akan berlangsung di pentas utama," katanya. 

Katanya, pada tahun ini (2024), pihak penganjur mengenakan tiket RM5 untuk pengunjung dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak selepas mengambil kira kualiti malah LAMPU 2024 lebih baik berbanding penganjuran sebelum ini menggunakan teknologi terkini dalam persembahan. 

"Jika sesiapa pernah menonton persembahan seumpama itu, mereka pasti tahu dan menganggap harga tiket itu paling murah berbanding  persembahan di luar negara. 

"Selain itu, untuk pemetaan cahaya, kami menggunakan 16 projektor, insya-Allah kualiti tahun ini lebih baik," katanya. 


Fatin Shazreen Mat Kasa 


Selain itu, Fatin mengakui, LAMPU 2024 juga mahu meraikan sambutan ambang Tahun Baharu 2025. Dan, kali ini, PPJ dan pengunjung akan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr  Zaliha Mustafa. 

"Orang ramai yang datang pada malam ambang tahun baharu 2025 itu akan mengira detik 12 tengah malam bersama-sama di Dataran Putrajaya selain diselang seli dengan persembahan cahaya menakjubkan, pertunjukan pasukan kawad senyap daripada TLDM dan barisan artis terkenal tanah air.  

"Tidak keterlaluan jika saya katakan, persembahan LAMPU 2024 bertaraf dunia kerana persembahan yang akan dihidangkan setaraf seperti anda tonton di tempat-tempat lain di seluruh dunia," katanya lagi. 


Bangunan Perbadanan Putrajaya bakal bermandikan cahaya warna warni sempena LAMPU 2024.  


Pokok sekitar Presint 3 akan dihias dengan lampu pelbagai warna seolah-olah berada di alam fantasi.


Dalam perkembangan yang sama, beliau memberi jaminan bahawa penganjur menyediakan tempat letak kereta mencukupi, ada 4,000 parkir disediakan di Presint 2,3 dan 4.

"Rasanya mencukupi malah bahagian keselamatan PPJ akan bekerjasama dengan PDRM dan RELA bagi memastikan kawalan trafik dan lalu lintas berjalan lancar.

"PPJ juga menyediakan perkhidmatan bas pengantara di tiga zon iaitu Anjung Floria (Presint 4) di Zon 1, Plaza Suasana (Presint 2) bagi Zon 2 dan Terminal Putrajaya Sentral di Zon 3.  

"Anda tidak perlu membawa makanan kerana kami menyediakan tempat makan yang selesa dengan 60 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman selain 40 trak makanan di sebelah Istana Kehakiman," katanya.

Orang ramai yang mahu mendapat info mengenai LAMPU 2024 boleh melayari laman web PPJ, www.ppj.gov.my dan FB serta IG Perbadanan Putrajaya, YouTube, TikTok PPJ selain maklumat terkini melalui siaran live dari semasa ke semasa atau anda boleh hashtag  #lampu2024, #indahnyaputrajaya dan #menerangimasadepan.


Sambil bersantai pada malam hari, anda boleh menikmati pemandangan indah cahaya sempena LAMPU 2024.


"Harapan kami, LAMPU 2024 akan menjadi buah tangan istimewa daripada PPJ sempena Tahun Baharu 2025 selain mengucapkan terima kasih atas sokongan masyarakat dari seluruh negara yang sentiasa menyokong setiap kali ada penganjuran pelbagai acara sepanjang tahun 2024. 

"Semoga LAMPU 2024 akan meninggalkan banyak kenangan dan memori indah sebelum kita melangkah ke tahun baharu 2025. ia juga sebagai simbol harapan masa depan yang kita akan bawa untuk tahun baharu," akhir katanya. - KitaReporters


Pengunjung yang hadir sempena LAMPU 2024 akan mengira detik 12 tengah malam untuk sambutan Ambang Tahun Baru 2025.

25
28
0
29
0
You will be interested