
Deretan gerai di jalan utama Pasar Seriken, Sarawak menampilkan jualan pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak, serta barang kraf tangan.
JIKA di Perlis
ada Padang Besar, di Kelantan ada Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang, tiga pekan
sempadan tumpuan membeli belah, di Sarawak ada pekan sempadannya di Seriken.
Bezanya,
Padang Besar, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang bersempadan dengan Thailand.
Seriken, terletak 20 kilometer ke tenggara bandar Bau, bersempadan dengan
Kalimantan, Indonesia.
Seriken terkenal dengan Pasar Seriken, tumpuan pelancong dalam dan luar negara membeli belah setiap hujung minggu. Kerana kedudukannya bersempadan dengan Kalimantan, ramai warga Kalimantan berkunjung atau berniaga di Seriken.

Pengunjung meninjau pelbagai barang keperluan yang dijual di Pasar Seriken.
Pasar Serikin lokasi mesti bagi pelancong. Penulis yang berkunjung ke Kota Samarahan dari 28 Mei hingga 2 Jun lalu tidak melepaskan peluang ke sana. Jarak dari Kuching ke Seriken 59 kilometer. Dari Kuching ke Kota Samarahan 23 kilometer.
Di Pasar Seriken,
pengunjung boleh membeli pelbagai barang, antaranya kain baju, makanan,
buah-buahan, hasil seni kraf tangan dan barang perhiasan. Kedudukannya di
sempadan Malaysia-Indonesia menjadikannya lokasi jualan pelbagai barangan unik produk
kedua-dua negara.
Peniaga tempatan menjual barangan, khususnya produk Sarawak merangkumi pakaian, barangan kraf dan perhiasan serta buah-buahan. Peniaga Kalimantan menjual produk dari Indonesia seperti kain baju batik, seni kraf dan barang perhiasan.

Pakaian batik dari Kalimantan banyak dijual di Pasar Seriken.
Terdapat puluhan gerai niaga di sepanjang kiri kanan jalan utama Pasar Seriken hingga ke sempadan Kalimantan. Jarak dari titik mula Pasar Seriken sehingga ke sempadan agak jauh. Perlu kekuatan berjalan jika ingin meninjau barangan jualan sehingga ke sempadan.
Sebagai makluman,
jika ingin berkunjung ke Pasar Seriken, ia hanya beroperasi pada hari Sabtu dan
Ahad. Pada hari Sabtu waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 6 petang. Pada
hari Ahad dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari. Pada hari-hari lain, Pasar Serikin
sunyi.
Kerana
operasinya hanya pada Sabtu dan Ahad, Pasar Serikin juga dikenali sebagai pasar
hujung minggu. Pada dua hari tersebut ramai pengunjung datang sehingga jalan
sesak. Untuk mengelak kesesakan dan masalah parkir, disaran datang awal.
Waktu
operasi yang terhad menjadikan Pasar Serikin tumpuan. Pada hujung minggu pengunjung
berbondong-bondong datang menikmati suasana meriah sambil membeli pelbagai
pilihan barang dengan harga berpatutan.
Penting untuk memahami dan mematuhi waktu operasi agar pengunjung tiba pada masa sesuai. Ingat, jangan datang pada hari biasa kerana hanya kesunyian menanti.

Tikar buluh dan tudung saji hasil kraf tangan Sarawak boleh didapati di Pasar Seriken.

Pakaian berciri Sarawak banyak didapati di Pasar Seriken.
Kerana itu perancangan waktu sangat penting. Samaa da untuk mendapatkan barangan kraf tangan, pakaian, buah-buahan, makanan atau menikmati suasana pasar, memahami waktu operasi akan memastikan kunjungan lancar, memuaskan hati.
Kenapa disaran datang awal pagi?
Pertama, untuk mengelak kesesakan. Pasar sangat padat menjelang tengah hari. Datang awal mengelakkan bersesak dengan pengunjung lain, boleh bergerak dengan lebih selesa serta membeli belah dalam keadaan tenang tidak tergesa-gesa.
Kedua, kerana pasar ini adalah kawasan
terbuka, bahang panas mula terasa selepas pukul 10 pagi. Sebelum waktu itu, suasana
lebih nyaman, tidak terlalu terik. Pengunjung tidak cepat letih akibat
kepanasan.
Ketiga, pada awal pagi peniaga mempunyai banyak stok barang, baik produk kraf tangan, perhiasan, pakaian, buah-buahan dan makanan. Jika lewat, boleh terlepas memilik barang-barang terbaik kerana sudah dibeli oleh pengunjung lain.

Perhiasan rumah daripada kulit siput laut, juga karaf tangan lesung antara dijual di Pasar Seriken.
Untuk kemudahan pengunjung, pastikan bawa wang tunai secukupnya. Ini kerana kebanyakan penjual adalah peniga kecil yang tidak menerima bayaran elektronik seperti kad kredit atau kad debit. Jika ada pun, jumlahnya sedikit.
Apabila
membeli, pandailah tawar menawar dengan penjual. Berusaha dapatkan harga
terbaik serta potongan harga, terutama jika membeli barang dalam kuantiti yang
banyak.
Pelbagai
barangan yang sukar ditemui di tempat lain ada di sini, dipamer di deretan
gerai menjual barangan Indonesia dan Sarawak.
Antaranya tikar
Sarawak, tikar kayu Palembang, perhiasan dan anyaman rotan, pakaian tradisonal dan
moden, jubah, telekung, baju kurung dan kebaya, kain batik Surabaya, dan pelbagai
lagi.
Oleh itu apabila berkunjung ke Sarawak, pastikan berkunjung ke Pasar Serikin. Pelbagai barangan unik dan menarik menanti pengunjung. Pilih yang berkenan di hati sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang. - KiteReporters

Barang perhiasan dan aksesori antara pilihan pengunjung di Pasar Seriken.