PUTRAJAYA perlu dilihat dalam skop lebih besar daripada sekadar sebuah pusat pentadbiran negara. Ia perlu muncul sebagai bandar rujukan yang melambangkan kemajuan Malaysia dalam aktiviti pelancongan, rekreasi, kebudayaan dan inovasi.
Justeru, rakyat datang ke Putrajaya bukan sekadar menguruskan urusan rasmi tetapi menikmati pengalaman menyeluruh merangkumi kehidupan bandar lestari seperti landskap indah, aktiviti menarik dan komuniti yang mesra.
Semuanya itu dizahirkan melalui Karnival Putrajaya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tarikan pelancongan baharu sedang dirangka rapi ialah Jambatan Monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak lebih 20 tahun.
Beliau berkata, jambatan itu akan diberikan fungsi baru atau repurpose kepada jambatan pejalan kaki dan laluan basikal bermula Januari 2026.
Ini memberi nilai baharu kepada struktur sedia ada, jelas beliau.

Pertandingan memasak mendapat sambutan komuniti Putrajaya.
"Inilah antara maklum balas yang saya banyak terima daripada rakyat sejak menjadi Menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan.
"Mereka mahu jambatan itu untuk repurpose supaya menjadi tumpuan pelancong sambil menikmati panorama tasik Putrajaya yang mendamaikan.
"Begitu juga Astaka Morocco, kita akan perkasa melalui konsep baukultur.
"Kerajaan beri penekanan dan perhatian kepada warisan dan seni bina kerana ramai kagum dengan seni bina Maghribi yang terukir di situ," katanya ketika merasmikan Karnival Putrajaya 2025 di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Fadlun Mak Ujud (kanan) bertanyakan sesuatu kepada cef yang mengambil bahagian pada Kenduri Rakyat sempena Karnival Putrajaya 2025.

Selain sukan air, pengunjung juga boleh bersantai di tepi tasik sambil mengambil peluang memancing.
Acara tahunan yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya, kini diperkenal dengan jenama baharu serta pengisian yang lebih segar merangkumi dimensi komuniti, sukan, kebudayaan, gaya hidup dan kelestarian bandar.
Bertemakan "Daripada Komuniti Kepada Komuniti", Karnival Putrajaya 2025 membabitkan kerjasama erat PPj, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), persatuan penduduk dan NGO Putrajaya dalam merangka lebih 60 aktiviti sepanjang empat hari penganjuran pada 25-28 September 2025.
Antara aktiviti menarik ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Konsert Di sini Lahirnya Cinta, Battle of Zapin dan Dikir Madani Antarabangsa selain Kenduri Rakyat, Sukaneka Air, kejohanan perahu panjang, kayak, pameran 40 agensi kerajaan dan swasta, jualan mesra rakyat dan cabutan bertuah.


Peserta pertandingan mewarna tekun menyiapkan lukidsn mereka sempena Karnival Putrajaya 2025.
Karnival Putrajaya 2025 turut menawarkan 120 gerai jualan merangkumi produk tempatan, kraf tangan, makanan dan minuman, produk gaya hidup dan Jualan Rahmah.
Dr Zaliha berkata, beliau meminta Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Putrajaya memikirkan apa ruang yang boleh dilaksanakan untuk menambahkan fungsi Astaka Morocco tanpa menjejaskan struktur sedia ada.
Astala itu adalah sebahagian pelaksanaan konsep baukultur ketika beliau mengunjungi Itali tidak lama dulu.
"Insya-Allah, apa yang kita lakukan ini untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Putrajaya, sekali gus merancakkan perkembangan ekonomi setempat," katanya lagi.

Jualan Rahman Madani turut diadakan di Karnival Putrajaya 2025 bagi membolehkan orang ramai membeli menggunakan pemberian SARA.

Fadlun turut melancarkan Hari Cuci Malaysia sempena Karnival Putrajaya 2025.
Sempena Karnival Putrajaya 2025, Dr Fadlun turut melancarkan Hari Cuci Malaysia, pengisian yang menekankan gaya hidup sihat merangkumi program kebudayaan, kesenian, pameran agensi kerajaan dan swasta selain keperluan kepada kelestarian alam sekitar.
Hari Cuci Malaysia anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan memupuk kesedaran awam terhadap kebersihan serta kelestarian alam sekitar
Program itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk sukarelawan komuniti, pelajar sekolah, NGO, pegawai PPj dan rakan strategik iaitu SWCorp dan Alam Flora Sdn Bhd.

Amir Sarifudin Hashim seorang anggota komuniti Putrajaya dari Presint 9, menunjukkan tanda suka selepas menerima hadiah utama cabutan bertuah, sebuah motosikal Yamaha berharga kira-kira RM6,800.