SEKIRANYA anda berhasrat merasai ketenangan dan membebaskan suasana hiruk-pikuk kesibukan kota atau menghilangkan kerisauan akibat fikiran diganggu halimunan COVID-19, pilihlah datang berehat ke Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, Jerantut.
Kampung tradisional Melayu terletak di pesisir Sungai Tembeling dan menghadap Sungai Sat, iaitu terletak dalam kawasan Taman Negara antara destinasi ekopelancongan di Pahang yang menjadi tumpuan pengunjung domestik setiap hujan minggu dan hari cuti.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Hulu Tembeling:
https://kitareporters.com/search?search=Hulu+Tembeling
Gambar fail 2019 ... Sekumpulan pelancong dari negara Belanda yang mengenakan busana orang Melayu Hulu Tembeling sedang menikmati juadah makanan tempatan berasaskan ikan sungai di Kampung Kuala Sat, Jerantut. - Kredit foto: Alias Hashim
Sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), destinasi itu juga menjadi persinggahan pelancong antarabangsa untuk menghayati keindahan hutan tropika Taman Negara berusia 130 juta tahun di seberang Sungai Tembeling yang masih terpulihara khazanah flora dan fauna, di samping mempelajari budaya tempatan.
Tidak sukar untuk sampai ke Kuala Sat kerana destinasi itu berdekatan dengan Taman Negara Kuala Tahan yang sudah dihubungkan dengan jalan raya cuma mengambil masa selama 30 minit berkenderaan dari taman itu dan satu jam setengah dari bandar Jerantut.
Pengunjung akan teruja apabila singgah bercuti bersama keluarga di situ dan berpeluang berkelah di pinggir Sungai Sat, menyertai aktiviti safari sungai, iaitu berakit, berperahu getah (tubing), menggagau siput dan berenang, manakala juga disediakan tapak perkhemahan di pinggir Sungai Sat bagi mereka yang berminat bermalam di pinggir hutan tropika.
Sebahagian pengunjung domestik bersama keluarga berkelah di pesisir Sungai Sat di bawah teduhan pokok hutan tropika di Kampung Kuala Sat, Jerantut. - Kredit foto: Sat Expeditions
Pengunjung juga akan teruja kerana dapat bermain dan memberi makanan ikan liar, iaitu ikan kelah dan spesies lain di santuari muara Sungai Sat (anak Sungai Tembeling) yang jinak serta kerap menghampiri dan menyentuh kulit (badan) ketika berenang di kawasan itu.
Bagi kaki pancing dan menjala, sudah tentu Sungai Tembeling yang menjadi habitat ikan liar yang bermutu tinggi dan mahal di pasaran berpeluang menangkap ikan kelah, ikan patin, ikan temoleh, ikan baung sungai, ikan kerai dan sebagainya yang sesuai dimasak bercampur dengan asam tempoyak.
Seorang penduduk memperoleh tangkapan ikan kelah dan ikan baung ketika memancing di Sungai Tembeling berdekatan Kampung Kuala Sat, Jerantut. - Kredit foto: Masri Sat
Kemudahan bot penampang, alat memancing, makanan ikan, tiub getah, chalet untuk penginapan malahan makanan kampung juga disediakan oleh pengusaha pelancongan 'Sat Expeditions' yang diuruskan oleh beberapa orang belia dan penduduk Kuala Sat.
Pengunjung juga dibawa melawat penempatan penduduk Orang Asli etnik Bateq berdekatan kampung tersebut yang merupakan antara pakej yang diaturkan oleh pengusaha Sat Expeditions bagi mengenali adat resam dan kesenian masyarakat minoriti berkenaan.
Sekumpulan pengunjung domestik melawat perkampungan Orang Asli etnik Bateq sambil mempelajari cara hidup dan menyumbangkan barang makanan kepada penduduk minoriti tersebut di Kampung Kuala Sat, Jerantut. - Kredit foto: FB Sat Expeditions
Pengusaha Sat Expeditions, Alias Hashim, 44, berkata, usaha mempromosi kampung itu menerusi laman sesawang dan syarikat pelancongan luar membolehkan hampir 3,000 orang pelancong dari negara Belanda, Perancis, Maghribi dan Singapura singgah di situ dua tahun lalu sebelum arahan larangan oleh kerajaan berikutan penguatkuasaan PKP.
"Pada awal pembukaan sektor ekopelancongan, penduduk di sini cuma menggerakkan aktiviti sosial seperti berkelah dan menangkap ikan secara tradisional yang dikenali sebagai 'merarau' untuk menarik pengunjung.
"Suasana ini berubah apabila rakan pengusaha pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan mengesyorkan kami mengeksploit kemudahan di sini sebagai kegiatan ekopelancongan yang lebih komersial dan lumayan sehinggalah dikenali pada peringkat domestik dan pelancong Barat serta Asia sebelum PKP," katanya di Kuala Sat, Jerantut.
Rakannya, Suhaidi Erwan Zainuddin, 33, berkata, dia bersyukur kerana kesepakatan rakan belia di situ merintis kejayaan Sat Expeditions apabila mula menerima kunjungan pelancong Barat sejak dua tahun lalu sebelum PKP dan sehingga ini Kuala Sat cuma dilawati pengunjung domestik setiap hujung minggu dan cuti persekolahan.
"Kita menerusi program Sat Expeditions mempunyai kemudahan logistik yang lengkap termasuk chalet, pemandu pelancong dan bot penambang serta kelengkapan rekreasi dan riadah untuk memberi keselesaan kepada pengunjung," katanya.
Suhaidi berkata, mereka cuma mengenakan caj yang berpatutan kepada pengunjung untuk bermalam dan menyertai aktiviti yang disediakan selain keutamaan jaminan keselamatan ketika bersiar menikmati keindahan alam sekitar, di samping mematuhi amalan norma baharu.
ABDUL JABAR DOLAH
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sat, Abdul Jabar Dolah menambah Kuala Sat antara destinasi di pesisir Sungai Tembeling yang masih unik dengan keindahan hutan tropika dan hidupan sungai serta adat resam orang Melayu Hulu Tembeling.
"Pengusaha ekopelancongan di sini bersedia menyambut tetamu dengan juadah makanan berasaskan makanan berasaskan ikan sungai (dicampur asam tempoyak atau bakar), ulam-ulaman serta warisan hidup cara 'kampung' yang masih diwarisi sehingga ini," ujarnya.
Pengunjung domestik membawa keluarga masing-masing berekreasi dan beriadah sambil bermain dengan ikan liar di santuari muara Sungai Sat berdekatan Kampung Kuala Sat, Jerantut. - Kredit foto: FB Sat Expeditions
Tambahnya, kemudahan penginapan dan tempat lawatan serta rekreasi disediakan oleh pengusaha serta pemandu alam sekitar (nature guide) dengan caj berpatutan memberikan keselesaan pengunjung domestik dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu dalam tempoh pemulihan wabak COVID-19.
Mereka yang berhasrat untuk membawa keluarga dan kumpulan masing-masing ke Kampung Kuala Sat bolehlah mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi talian WhatApps 017 9789161 atau Instagram: sat_expeditions89 atau dan juga e-mel: [email protected].
Beberapa orang pengunjung sedang memberi makanan dan bermain dengan ikan liar di santuari Sungai Sat berdekatan Kampung Kuala Sat, Jerantut) - Krediti video: Penduduk Kuala Sat