Aroma nasi dagang, keropok lekor dan nasi kerabu bakal menggamit warga kota apabila Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur menganjurkan Pantai Timur Fest 2025 dari 2 hingga 21 Oktober 2025 ini.

Gimik pelancaran.... Rafidah memukul gong sebanyak tiga kali sambil disaksikan oleh (dari kiri) Razmi Rahmat, Loges Harirrishnan, Khadijah Ibrahim dan Rozanna Rahmat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.
Festival yang menghimpunkan keunikan warisan Kelantan, Terengganu dan Pahang itu bukan sekadar pesta makanan, tetapi turut menampilkan barisan selebriti tanah air yang bakal menghangatkan suasana.
Festival ini bermula dengan fasa pertama dari 2 hingga 5 Oktober di kawasan parkir VIP hotel, menampilkan lebih 30 gerai makanan tradisi bersama demonstrasi masakan, permainan rakyat, persembahan dikir barat, gamelan dan wayang kulit.
Tarikan utamanya sudah tentu terhadap 10 booth selebriti tersedia, di mana beberapa artis terkenal akan turun padang untuk mendekati peminat.
Antara yang bakal tampil ialah Datuk Khadijah Ibrahim, yang akan mempersembah demonstrasi masakan nasi dagang dan hidangan Pantai Timur lain dengan gaya tersendiri, malah turut mempunyai reruai mempromosikan produk-produk beliau termasuk yang terbaharu 'Sos Cil Pedas Ibu'.

Fasa kedua pula berlangsung dari 6 hingga 21 Oktober 2025 di Restoran Zende, aras 3 hotel.
Sepanjang tempoh 16 hari berkenaan, tetamu berpeluang menikmati menu berbeza setiap hari hasil air tangan cef Seri Pacific bersama cef jemputan dari Pantai Timur.
Suasana restoran akan dihiasi dekorasi batik, songket dan motif wau, sambil pengunjung menyaksikan stesen masakan langsung serta menikmati kuih tradisional segar yang disediakan khas.

Dari kiri: Loges. Razmi dan Rafidah Idris.
Menurut Razmi Rahmat, Pemangku Pengurus Besar Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, festival ini bukan sekadar pesta makanan tetapi sebuah perjalanan budaya.
“Melalui gabungan kulinari, seni persembahan dan pengalaman interaktif, kami ingin membawa keunikan Pantai Timur lebih dekat kepada masyarakat kota serta pengunjung antarabangsa,” katanya pada majlis prapelancaran Pesta Pantai Timur 2025 yang disempurnakan oleh Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik, Acara Tourism Malaysia mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Monoharan Periasamy pada 23 September 2025.
Turut hadir Khadijah Ibrahim selaku Pengerusi KARYAWAN; Ahli Lembaga Pengarah Seri Pacific, Datuk Rozanna Rahmat dan Loges Harirrishnan mewakili bas pelancongan, KL Hop On Hop Off (HOHO) selaku rakan strategik.
Menurut Razmi, gabungan kulinari, seni persembahan dan pengalaman interaktif dijangka memberi peluang kepada masyarakat kota serta pelancong antarabangsa untuk merasai sendiri keunikan Pantai Timur tanpa perlu meninggalkan Kuala Lumpur.
Selain makanan dan selebriti, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai persembahan kebudayaan yang menampilkan muzik tradisional dan tarian rakyat memukau.
Cabutan bertuah dengan hadiah menarik menanti pengunjung bertuah, menjadikan festival ini acara gaya hidup yang wajib dikunjungi pada bulan Oktober 2025 nanti

Dengan sokongan Tourism Malaysia serta kerjasama pelbagai agensi tempatan, Pantai Timur Fest 2025 juga diangkat sebagai platform penting dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 malah Seri Pacific Hotel sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai hab budaya dan pelancongan di tengah-tengah ibu kota.
Pendek kata, dari nasi kerabu hingga irama dikir barat, dari demo masakan selebriti hingga hiburan artis tanah air, segalanya menanti untuk dinikmati di Pantai Timur Fest 2025 – sebuah festival yang menjanjikan pengalaman meriah, penuh warna-warni dan sarat dengan warisan budaya Pantai Timur. - KitaReporters
