.
INGIN melawat perkampungan ‘orang kenit’, Perkampungan Hobbitoon (Hobbitoon Village) tetapi tidak berkesempatan atau kekurangan kos untuk ke Waikato, New Zealand di mana ia terletak? Usah risau. Tidak perlu ke sana kerana Hobbitoon Village kini sudah ada di Malaysia.
Perkampungan
Hobbitoon ialah latar belakang filem trilogi fiksyen fantasi ‘Lord of The
Rings’ dan trilogi ‘The Hobbit’. Trilogi ‘Lord of The Rings’ bermula dengan ‘The Fellowship of the Ring’ (2001), diikuti ‘The Two Towers’
(2002) dan ‘The Return of the King (2003).
Trilogi ‘The
Hobbit’ pula bermula dengan ‘The Unexpected Journey’ (2012), diikuti ‘The
Desolation of Smaug’ (2013) dan ‘The Battle of the Five Armies’
(2014).
Trilogi ‘Lord of The Rings’ dan ‘The Hobbit’ berkisar kehidupan di Perkampungan Hobbitoon yang dihuni oleh manusia kenit, hobbit. Shire ialah kawasan aktiviti utama dan tumpuan penghuni kampung.

Lubang (rumah kenit) kediaman hobbit di Hobbitoon Village, Waikato, New Zealand.
Hobbit ikut naratif filem-filem berkaitan ialah manusia kenit (orang kerdil) dahulu kala, ketinggian antara dua hingga empat kaki (0.6 hingga 1.3 meter). Purata ketinggian ialah tiga kaki enam inci (1.2 meter).
Mereka jarang memakai kasut kerana tapak kaki tebal. Mereka bersifat malu kepada makhluk lebih besar dan menjalani hidup aman bahagia di ladang. Kegemaran mereka berpesta dengan makanan yang banyak.

Sebuah lagi rumah kenit kediaman orang kenit, hobbit, di Hobbitoon Village, Waikato, New Zealand.
Untuk penggambaran kedua-dua trilogi ‘Lord of the Rings’ dan ‘The Hobbit’, Perkampungan Hobbitoon diwujudkan. Dikenali sebagai ‘Set Filem Hobbitoon’, set ini dibina dalam sebuah ladang ternakan dan pertanian yang subur.
Ladang ini milik
keluarga Alexander yang mula menduduki kawasan tersebut pada 1978. Kawasan
ladang seluas 500 hektar ini terletak lapan kilometer ke barat Hinuera dan 10
kilometer ke barat daya Matamata, di Waikato, New Zealand.
Kisah
bermula apabila pengarah Peter Jackson mencari lokasi sesuai untuk penggambaran
trilogi ‘The Lord of The Rings’. Dia terlihat ladang Alexander melalui
tinjuan udara pada 1998 dan mendapati kawasan tersebut sangat sesuai untuk set
filemnya.
Selepas persetujuan dicapai dengan pemilik ladang, kerja ubah suai sebahagian kawasan ladang untuk set Perkampungan Hobbitoon bermula. Ini termasuk menyiapkan 37 lubang (rumah kenit) hobbit, taman dan pagar, kilang, jambatan, kafe serta keperluan lain sesuai jalan cerita.

Rumah kenit untuk orang kenit, antara set yang dbina untuk filem trilogi 'The Hobbit' di Waikato, New Zealand.
Asalnya Perkampungan Hobbitoon dibina untuk penggambaran filem sahaja. Kerana itu pembinannya tidak menggunakan bahan tahan lama. Misalnya pintu lubang atau pintu rumah hobbit menggunakan kayu tidak dirawat.
Bagaimana pun pada 2010, set tersebut dibina semula dalam bentuk kekal untuk penggambaran trilogi ‘The Hobbit’, dimulai dengan ‘The Hobbit: An Unexpected Journey’.
Set tersebut dikekalkan dan kini jadi lokasi tarikan pelancong popular dalam dan luar negara.

Pengunjung mengabadikan gambar kenangan berlatar belakang Perkampungan Hobbitoon berhampiran Simpang Pulai, Ipoh.
Ingin melihat Hobbitoon Village atau Perkampungan Hobbitoon ini? Anda boleh sahaja makan angin ke Waikato, New Zealand. Tetapi tentulah belanjanya tinggi.
Namun tidak perlu risau. Tanpa ke sana pun masih boleh melihat dan menghayati Perkampungan Hobbitoon kerana di Malaysia pun ada perkampungan ini, dikenali sebagai ‘Hobbitoon’.

Salah sebuah rumah hobbit di Perkampungan Hobbitoon, Simpang Pulai, Ipoh, Perak.

Kereta sorong dan tong yang digunakan oleh hobbit juga terdapat di Perkampungan Hobbitoon, Simpang Pulai.
Dibuka kepada ramai pada 1 Januari 2024, ia terletak di perjalanan antara Simpang Pulai, Perak ke Cameron Highlands, Pahang dalam persekitaran hijau berbukit.
Kedudukannya
kira-kira 35 kilometer dari Simpang Pulai arah ke Cameron Highlands. Jika dari Cameron
Highlands jaraknya 47 kilometer. Dari Kelantan boleh sampai ke perkampungan
tersebut melalui Lojing, seterusnya Cameron Highlands.
Sejak dibuka, ‘Hobbitoon’ menarik ramai pelancong tempatan dan luar negara. Berada di perkampungan ini bagai membawa pengunjung ke alam fantasi ‘Lords of The Rings’ dan ‘The Hobbit’.

Suasana nyaman dan persekitaran hijau berbukit serta rumah kenit kediaman hobbit di Perkampungan Hobbitoon, Simpang Pulai.
Memasuki kawasan perkampungan, pengunjung disambut oleh suasana perkampungan yang damai dan hening. Berada di hadapan pintu utama pun pengunjung sudah boleh menyaksikan replika rumah-rumah kenit cantik yang didiami kelompok hobbit.
Tetapi untuk meneroka seluruh kawasan perkampungan dan melihat setiap replika yang ada di dalam, perlu masuk dengan membayar tiket RM40 bagi dewasa, RM20 bagi kanak-kanak umur lima sehingga 12 tahun. ‘Hobbitoon’ dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Dalam suasana perkampungan yang segar nyaman menghijau, boleh ditinjau secara terperinci keindahannya, dengan tanaman sayuran, laluan kaki daripada batu serta dekorasi arca. Juga terdapat telaga, air terjun, kapal dan tong (barrel) yang menambah kedamaian sekeliling.

Rumah kenit Hobbit dikelilingi taman bunga antara pemandangan menarik di Perkampungan Hobbitoon, Simpang Pulai, Perak.
Setelah penat meninjau sekeliling, boleh berehat sambil menjamu selera di Hobbitoon Cafe yang menyediakan pelbagai makanan, termasuk makanan Barat, yang memenuhi citarasa selera anda.
Berada di Perkampungan Hobbitoon, Simpang Pulai, pengunjung seperti meneroka alam fantasi ‘Lords of The Rings’ dan ‘The Hobbit’ tanpa perlu keluar dari Malaysia.
Peminat filem trilogi tersebut pastikan tidak terlepas mengunjunginya.- KitaReporters