Selera & Santai 01 Jun, 2025

Video| Apa yang perlu? Transformasi! ShowTech MARDI 2025 fokus kepada teknologi, inovasi pertanian!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.


STATISTIK Global Food Security Index, mencatatkan Malaysia menduduki tangga ke-41 dunia dan ke-8 di Asia Pasifik dalam memastikan sekuriti makanan terjamin atau keterjaminan makanan.

Namun, Malaysia masih berhadapan cabaran mengurangkan jurang antara import dan eksport agromakanan.

Nilai import agromakanan negara pada tahun 2024, sebanyak RM93.7 billion berbanding nilai eksport sebanyak RM54.3 bilion, defisit RM39.4 billion.


ShowTech MARDI 2025 membuktikan keupayaan institut penyelidikan itu menghasilkan pelbagai inovasi dan teknologi moden untuk memperkasa bidang pertanian di negara ini.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, usaha mengurangkan defisit ini perlu dipertingkat supaya pengaliran keluar wang negara dapat dikurangkan.

Justeru, beliau berkata, transformasi sektor pertanian negara mesti dilaksanakan berteraskan penggunaan teknologi dan inovasi.

"Sektor pertanian Malaysia berdepan pelbagai cabaran antaranya perubahan iklim, kekurangan tenaga kerja, dan kebergantungan kepada import makanan. 

"Tapi di sebalik cabaran itu, saya percaya ada ruang besar meneroka dan memanfaatkan teknologi serta inovasi dalam pertanian," katanya ketika merasmikan ShowTech MARDI 2025 di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. Turut hadir, Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.


Arthur Kurup tertarik dengan varieti durian yang dihasilkan MARDI sempena ShowTech MARDI 2025.


ShowTech MARDI 2025 merupakan pameran teknologi dan inovasi pertanian terbesar selain MAHA. Ia menampilkan lebih 200 teknologi pertanian terkini yang dibangunkan oleh institut itu.

Antara tarikan utama program ini adalah lawatan ke plot tanaman sedia untuk dituai, di mana orang ramai berpeluang merasai sendiri pengalaman memetik sayur-sayuran secara terus dari ladang.  

Pameran ini dijangka menarik kehadiran sekitar 500,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat. Ia akan berlangsung sehingga 2 Jun 2025 dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran teknologi, demonstrasi, seminar, dan padanan perniagaan. 


MARDI Bagan Datoh, Perak turut mengambil bahagian dengan mengetengahkan penyelidikan dalam teknologi penghasilan kelapa.


Sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), MARDI membangunkan 246 teknologi dalam sektor makanan, kejuruteraan pertanian, bioteknologi dan nanoteknologi, tanaman padi, sains ternakan dan biodiversiti.

"Antara sumbangan MARDI ialah penghasilan 56 varieti padi yang digunakan lebih 95 peratus kawasan tanaman padi di Malaysia. Ia juga menghasilkan varieti baru tanaman bawang merah, cili MARDI, nanas dan kelapa," kata Arthur.

Teknologi dan pengetahuan ini katanya, perlu disampaikan kepada rakyat agar ia dapat diguna pakai dan memberi nilai tambah dalam pengeluaran makanan negara.


MARDI Cafe turut mengambil bahagian dalam ShowTech MARDI 2025 bagi memberi peluang pengunjung menikmati selera kopi terbaik daripada penyelidikannya.


"Justeru, ShowTech MARDI 2025 adalah platform penting bagi menyampaikan kepada rakyat inovasi dan teknologi dari penyelidikan MARDI.

"Proses pemindahan teknologi amat penting bagi memberi manfaat kepada masyarakat jika dapat digunakan secara efektif di lapangan.

"Pertanian bukan sekadar tanah dan cangkul lagi tetapi industri moden yang menggunakan teknologi data dan inovasi bagi meningkatkan hasil pengeluaran selain mengangkat maruah petani, peladang, nelayan dan Malaysia sebagai peneraju pertanian pintar di rantau ini," kata Arthur lagi.


MARDI Kuala Linggi, Negeri Sembilan antara yang mengambil bahagian dalam ShowTech MARDI 2025.


Sementara itu, Dr Azman berkata, ShowTech MARDI 2025 memberi tumpuan kepada lapan kluster utama iaitu Padi dan Beras, Tanaman Bernilai Tinggi, Teknologi Makanan, Pertanian Pintar, Tanaman Industri, Teknologi Ternakan, Agro Pelancongan serta Pemindahan Teknologi.

Sebanyak lebih 200 teknologi dan inovasi dipamerkan termasuk hasil-hasil penyelidikan selama 56 tahun oleh MARDI.

"Antara teknologi menarik diperkenalkan kali ini ialah Analog Keju, Minuman Mikroemulsi Santan, Granola Nanas, Bawang Hitam Kawalan Kolesterol, RozeT (Tisane Roselle Campuran) dan Nugget Analog Daging daripada Komposit Rumpai Laut.

"Selain kerjasama antara penyelidikan dan industri, MARDI juga menyerahkan touchpoints dan geran khas kepada usahawan bimbingannya, antaranya di bawah program Change Upgrade Product (CUP), High Impact Product (HIP), Agropelancongan dan Agropreneur Muda" katanya.



MARDI antara perintis dalam penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik, tanpa menggunakan tanah.


ShowTech MARDI 2025 menampilkan pelbagai aktiviti seperti demo teknologi, seminar dan pocket talk, padanan perniagaan, Klinik Tanaman dan Klinik Usahawan.

Zon luar pula dipenuhi plot tanaman jagung, bawang, kubis dan teknologi pertanian moden yang boleh dilawati oleh pengunjung.

Menariknya, sempena cuti sekolah, zon khas ‘Laman Kids Attraction’ disediakan bagi mendedahkan kanak-kanak budaya pertanian secara interaktif dan menyeronokkan. Pengunjung juga boleh melawat laman ternakan, herba dan kelulut.

Dalam perkembangan sama, MARDI akan melancarkan platform e-dagang terbaharunya iaitu MardiAgroshoppe, sebuah inisiatif digital yang menyasarkan pasaran tempatan untuk memasarkan produk-produk pertanian secara terus kepada pengguna.

MardiAgroshoppe dijangka menjadi platform e-dagang utama negara dalam sektor pertanian yang menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian yang selamat, pantas dan mudah. - KitaReporters


Selain pameran inovasi, ada juga acara "pocket talk" bagi memberi maklumat lebih mendalam kepada pengunjung yang berminat dalam teknologi pertanian.

15
12
0
7
0
You will be interested