Monyet-monyet jinak di kawasan Pelancongan Sejarah Bukit Malawati Kuala Selangor, Selangor menunggu pengunjung memberikan makanan.- Kredit foto-foto: FB MDKS, Pelancongan Selangor, Love Kuala Selangor, Adlina Aca, Mohd Ali Ahmad, Aida Agik dan Ku Zara Ku Zakaria.
ORANG ramai terutama yang pertama kali berkunjung ke Bukit Malawati, Kuala Selangor salah satu kawasan pelancongan sejarah di Selangor perlu berhati-hati serta waspada dengan monyet-monyet yang berkeliaran di sekitar bukit berkenaan, sekalipun ia jinak tetapi bukan bermakna spesis katarin ini kebanyakanya terdapat di Asia dan Afrika, tidak garang.
Untuk itu, para pengunjung ketika melayani monyet-monyet berkenaan yang agak banyak jumlahnya perlu berhati-hati supaya jangan sampai ada kejadian tidak diingini berlaku terutama kepada anak-anak kecil yang gemar bermain bersama bintang.
Sekalipun mungkin belum ada kejadian yang tidak diingini terjadi seperti kena gigit atau sebagainya setiap orang perlu beringat dan berhati-hati menjaga anak-anak kecil semasa mengunjungi tempat ini.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pelancongan:
https://kitareporters.com/search?search=pelancongan
Kanak-kanak seronok bermain bersama monyet-monyet jinak di Bukit Malawati, Kuala Selangor.
Ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan cuma sebagai ingatan bersama supaya orang ramai bila berada di kawasan tersebut tidak lupa mengawasi serta menjaga anak-anak dan jangan hanya leka melayani monyet-monyet jinak dengan siapa sahaja yang gemar mengusap dan melayannya.
Selain berbagai tinggalan sejarah lama yang ada, kumpulan monyet jinak ini merupakan antara ciri-ciri tarikan orang ramai datang terutama pada musim cuti sama ada hujung minggu atau cuti umum.
Jumlah monyet jinak yang ada di Bukit Malawati, Kuala Selangor ini agak banyak kerana akan sentiasa mudah terjumpa kawanan monyet semasa berada disitu. Bagaimanapun bilangan itu lebih lagi di kawasan pinggir jalan menurun Bukit Malawati.
Kawanan monyet berkenaan tidak berganjak menunggu orang ramai yang datang memberi makanan sama ada sayur kangkong, buah-buahan dan makanan ringan yang dijual oleh beberapa peniaga berhampiran perhentian tram di punca bukit. Peniaga berkenaan datang menjual makanan monyet dengan menaiki motosikal tiga roda.
Malahan ada pengunjung yang pernah ke Taman Botani di Pulau Pinang menyifatkan bilangan monyet yang ada di Bukit Malawati, Kuala Selangor lebih banyak jika dibandingkan dengan yang ada di pulau mutiara itu.
Monyet-monyet jinak merupakan antara tarikan di Bukit Malawati selain kesan sejarah lama yang ada.
Bagi anda yang meminati binatang ini jika berkunjung ke Bukit Malawati boleh memberi makan sepuas hati dan membelai serta mengusapnya seperti mana dilakukan ke atas kucing atau binatang peliharaan kesayangan lainnya.
Kita juga perlu faham bahawa monyet merupakan sejenis bintang yang mempunyai naluri tersendiri kerana ia boleh bertindak agresif jika dilakukan dengan cara tidak sepatutnya atau disakiti. Selain itu, jika memberi makanan pula perlu sama rata dengan kumpulan berhampiran.
Janganlah jadikan keadaan monyet-monyet jinak ini menjadi agresif sebaliknya berikanlah belaian kasih sayang, apabila mendekatinya supaya ia terus jinak dan tidak menganggu orang lain.
Lihatlah begitu jinak sekali monyet di Bukit Malawati boleh mengambil makanan di atas tapak tangan dua gadis yang berkunjung ke kawasan pelancongan berkenaan.
Menurut sejarah, Bukit Malawati yang merupakan antara destinasi popular pernah dijadikan sebagai tempat pemerintahan Kesultanan Selangor dari Sultan Selangor yang pertama hingga ketiga. Malahan waktu itu, ia adalah pusat pentadbiran dan kubu kuat Kesultanan Melayu Selangor sekitar abad ke-18 dan ke-19.
Sultan Ibrahim Shah ibni Almarhum Sultan Salehuddin Shah (1782-1826) mendirikan sebuah kota di Bukit Malawati bagi mempertahankan Kuala Selangor daripada serangan Belanda, bagaimanapun bukit itu jatuh ke tangan Belanda pada 1784 dan ditukar namanya Kota Altingsburg sempena nama Gabenor Belanda di Kuala Selangor.
Setahun kemudian, Sultan Ibrahim, yang dikenali dengan nama Raja Ibrahim Raja Lumu sebelum menjadi Sultan Selangor yang kedua, menawan kembali kota tersebut dengan bantuan pahlawan-pahlawan Pahang. Ia merupakan kejayaan pertama seorang sultan mengalahkan kuasa besar asing di Tanah Melayu.
Kota Malawati pada 8 September 1977 diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976.
Di kompleks pelancongan Bukit Malawati ini ini masih terdapat berbagai tinggalan sejarah antaranya tembok kota yang masih berdiri teguh, bekas tapak istana, rumah api, batu hampar, pusara Penglima Hitam, busut Malawati, telaga tujuh, telaga beracun, tangga seratus, meriam lama, padang silat dan gua simpanan harta istana termasuk keris, lembing dan barangan berharga.
Monyet yang didekati orang ramai tidak langsung takut atau lari sebaliknya menunggu untuk mendapatkan makanan.
Mengunjungi Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor juga pengunjung diberi pendedahan mengenai sejarah silam yang berlaku sekitar daerah itu khususnya Bukit Malawati yang banyak menyimpan cerita lama sekalipun ada sebahagiannya berbentuk mitos.
Di situ juga ada bangunan Baitulhilal berfungsi sebagai tempat melihat anak bulan bagi penentuan Ramadan dan hari raya.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai tempat sejarah yang menyimpan pelbagai rahsia silam wajar diberi pendedahan kepada anak-anak dan jika berkesempatan ke Kuala Selangor bawalah berkunjung ke Bukit Malawati kerana di samping pemandangan indah lagi menarik juga secara tidak langsung kita mampu menghayati kesan sejarah tinggalan generasi terdahulu.
Sejak Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 5 Mac 2021 lalu, Bukit Malawati dibuka kepada orang ramai untuk dikunjungi.
Untuk kemudahan orang ramai, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyediakan perkhidmatan tram (kereta menggunakan gerabak penumpang) yang mengenakan tambang RM5.30 bagi dewasa dan RM3.20 untuk kanak-kanak antara 3 ke 12 tahun bagi mengelakkan kesesakan di bahagian atas puncak bukit. - KitaReporters
Keluarga ini bersama seorang anak kecil memerhati telatah monyet jinak selepas diberikan pisang.
Sebagai pengunjung ke Bukit Malawati perlulah menghindarkan diri supaya monyet-monyet jinak yang menjadi antara tarikan ke kawasan tersebut tidak agresif sebaliknya diberikan layanan sebaik mungkin.
Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor banyak memberi pengetahuan dan pengalaman jika dikunjungi apabila ke Bukit Malawati.
Batu hampar yang terletak di Bukit Malawati dikaitakan dengan berbagai mitos mengenainya.
Sebahagian meriam lama yang masih terdapat di puncak Bukit Malawati.
Baitulhilal merupakan tempat melihat anak bulan bagi penentuan Ramadan dan hari raya.
Rumah Api yang terletak di Bukit Malawati merupakan antara monumen lama yang dibina yang dikatakan hasil adunan bersama telur dan bahan binaan lainnya. Ia menjadi pedoman kapal-kapal yang melalui Laut Selat Melaka hingga hari ini.
Jadual dan masa kawasan Pelancongan Bukit Malawati dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan Keselamatan Bersyarat berkuasa kuasa di Selangor.
Kenderaan tram yang digunakan untuk kemudahan orang ramai naik ke Bukit Malawati.