Selera & Santai 04 Mar, 2022

Tahu tak bisnes di sebalik Susu Kambing Faa-iz? Tambah sumber dana Kompleks Islam Darul Faizin!

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

SUSU Kambing premium Faa-Iz kini dihasilkan dalam tiga perisa, vanila, coklat dan strawberi untuk menambah sumber pendapatan madrasah.  


SUSU kambing atau susu lembu? Jika soalan diajukan kepada orang ramai memang pilihan lebih menjurus kepada susu lembu kerana dikatakan susu kambing berbau hamis dan tekak sukar menelannya.

Namun susu kambing tetap mempunyai tarikan dalam kalangan peminatnya yang tersendiri walaupun menikmatinya tanpa perisa.

Jika sebelum ini ramai yang mengaitkan rasanya yang kurang enak mungki  juga kurang popular namun kini hasil inovasi teknologi susu kambing semakin menjadi pilihan. Ditambah pula pihak pengeluar semakin kreatif mempelbagaikan perisa.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan susu kambing


Menyedari permintaan semakin meningkat Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF) melalui anak syarikatnya Al-Faizin Marketing (AFM) melancarkan tiga perisa terbaharu Susu Kambing Faa-iz iaitu coklat, vanila dan strawberi di Kampung Bukit Aping, Bandar Baharu, Kedah pada 16 Februari 2022 lalu.

Sempena pelancaran,  penceramah bebas popular, Ustaz Datuk Kazim Elias turut dijemput menyampaikan Forum Perdana sempena Israk Mikraj.

Pengerusi KIDaF, Ustaz Jafri Abu Bakar berkata, susu kambing Faa-iz mula dipasarkan dengan perisa semula jadi  pada penghujung 2019. 


PENGERUSI Kompleks Islam Darul Faizin, Ustaz Jafri Abu Bakar (kiri) bersama tetamu jemputan Forum Israk Mikraj, Datuk Kazim Elias sempena majlis pelancaran Susu Kambing Faa-Iz perisa baharu di Kampung Bukit Aping, Pekan Baharu, Kedah pada 16 Februari 2022.

“Kami  bermula dengan susu Faa-iz  tanpa perisa lebih setahun di pasaran sehingga merasakan ada keperluan untuk mengeluarkan susu yang berperisa. Jadi tiga perisa lagi diperkenalkan selepas kajian rambang dilakukan ke atas pengguna dan pengedar.

“Dalam kajian tersebut, perisa vanila digemari warga emas manakala golongan kanak-kanak pula menyukai perisa coklat dan strawberi,” ujar Ustaz Jafri ketika ditemui selepas majlis.

Bagaimana pun di sebalik membangunkan Susu Kambing Faa-iz sebenarnya ia bertujuan menambah sumber dana pengurusan madrasah yang penghuninya terdiri dalam kalangan anak-anak tahfiz dan warga emas.

"Idea tercetus apabila kami mahu mempelbagaikan perniagaan sebagai salah satu langkah mencari pendapatan lain untuk madrasah yang sebelum ini bergantung dengan kutipan sumbangan orang awam.

“Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan dan saya memikirkan satu sumber alternatif untuk mengalas perut sebelum dapat makan dengan sempurna.

“Kami yakin minuman susu adalah yang paling sesuai dan susu terbaik adalah susu kambing. Lagi pun susu Faa-iz mempunyai banyak kelebihan berbanding susu formula di pasaran,” katanya.


Pengerusi Kompleks Islam Darul Faizin , Ustaz Jafri Abu Bakar ketika sidang media sempena Pelancaran Susu Kambing Faa-Iz pelpagai perisa di Kampung Bukit Aping, Pekan Baharu, Kedah.


Sambung Ustaz Jafri lagi, ketika proses formulasi pihaknya menekankan agar susu yang dipilih perlulah susu gred A, kerana bukan saja ia lebih pekat, ia juga menghilangkan bau hamis kambing.

“Ramai tahu akan kelebihan susu kambing sebagai ‘Miracle Food’. Ia susu terbaik di dunia selepas susu ibu justeru kami tambah beras perang untuk menghilangkan bau hamis di samping membantu merasa kenyang.

Ditambah kurma untuk memberikan tenaga segera sekali gus bertujuan untuk menggantikan gula dan sesuai untuk dinikmati penghidap kencing manis, manakala ginko biloba untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz al-Quran di Darul Faizin selain warga emas untuk meningkatkan ingatan manakala garam bukit banyak khasiatnya juga penambah perisa

"Susu ini sesuai untuk minuman anak seawal usia dua tahun sehingga peringkat warga emas," jelasnya.



Menyentuh mengenai Al-Faizin Marketing menurut Ustaz Jafri ia merupakan aktiviti perniagaan yang menyumbang kepada ekosistem KIDaF memandangkan pihaknya tidak mengenakan sebarang yuran kepada penghuninya yang terdiri dalam kalangan pelajar tahfiz dan warga emas.

“Kami memerlukan dana yang agak besar sehingga mencecah RM30,000 sebulan serta bertambah dari semasa ke semasa dan tidak ada sumber pendapatan lain selain membuat kutipan sumbangan.

Apabila mempunyai perniagaan sendiri, penggantungan kepada sumbangan dapat dikurangkan dan membantu menampung perbelanjaan bulanan termasuk keperluan harian penghuninya,  gaji kakitangan dan yang kebajikan berkaitan

"Justeru sesiapa yang membeli barangan menerusi syarikat ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan dan pengurusannya,” ujarnya.

Selain susu kambing, perniagaan lain yang dijalankan termasuk dua inap desa, dobi layan diri di Seberang Prai yang dirancang akan membuka beberapa lagi cawangan lain di seluruh Malaysia.

“Produk susu kambing Faa-iz adalah produk susu kambing premium yang dihasilkan bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada kesihatan pengguna, tetapi juga sebagai satu ekosistem janaan ekonomi KIDaF malah ia juga merupakan minuman sunah Rasulullah SAW,” katanya. - KitaReporters


15
15
0
7
0
You will be interested