Siapa sangka, padang golf bukan sekadar tempat memburu 'hole-in-one'. Tapi bagi Tourism Malaysia Wilayah Timur, setiap hayunan di padang hijau membawa misi besar -- memperkukuh jalinan industri pelancongan.

Peserta dari Tourism Malaysia Wilayah Timur, pemain industri pelancongan dan media bergambar bersama wakil Kelab Gold Diraja Pekan pada program SWING 2025.
Itulah yang dilakukan melalui program SWING 2025, sebuah inisiatif yang berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober 2025 lalu di tiga kelab utama -- Kelab Golf Diraja Pahang (Kuantan), Mahkota Golf and Country Club (MGCC) Indera Mahkota dan Kelab Golf Diraja Pekan.
Program anjuran Tourism Malaysia Wilayah Timur ini merupakan platform strategik bagi memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, pemain industri pelancongan dan media.
Ia menggabungkan pertandingan golf dan program 'familiarisation trip' (fam trip atau lawatan pengenalan) untuk memperkenal potensi kelab golf serta destinasi pelancongan di Pantai Timur.

Mohd. Azizul Arif Yahaya
Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd. Azizul Arif Yahaya, SWING 2025 bukan sekadar acara sukan, tetapi ruang santai untuk membina rangkaian kerjasama yang produktif.
“Peserta bukan hanya bermain golf, malah diberi peluang meninjau produk pelancongan dan merangka pakej baharu, khususnya dalam segmen 'golf tourism' (pelancongan golf).
"SWING 2025 bukan sekadar hayunan di padang golf, tetapi hayunan strategi membawa industri pelancongan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah SWING 2025 diadakan pada 12 Oktober 2025 lalu di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan dengan kehadiran Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd. Roslan Abdullah.
Mohd. Azizul menjelaskan, sukan golf kini menjadi “jambatan perpaduan” antara pelbagai pihak dalam sektor pelancongan. Ia membuka ruang baharu untuk menarik minat pelancong dalam segmen 'niche' pelancongan yang bernilai tinggi.

Naib Presiden 2, Kelab Golf Diraja Pahang, Dato' Seri Shafik Fauzan Sharif (kanan) beramah mesra dengan pemain industri pelancongan dan media sebelum tee off di Kejohanan SWING 2025 di Kelab Golf Royal Pahang, Kuantan.
Malaysia kini memiliki 228 padang golf dengan anggaran pendapatan sekitar RM450 juta setahun. Di Pantai Timur sahaja, terdapat 16 padang golf yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan berkualiti.
“Kami menaruh harapan tinggi agar pelancongan golf dapat dibawa masuk ke Pantai Timur kerana segmen ini berimpak besar dari sudut ekonomi dan mampu memperkukuh imej rantau ini sebagai destinasi unggul pelancongan golf,” katanya lagi.
Inisiatif SWING 2025 akan diteruskan melalui program GRACE 2025 (Gathering of Recognition, Appreciation, Collaboration and Excellence) yang dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu pada Disember 2025 ini.
Program ini akan menampilkan pakej pelancongan golf baharu sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Setiap usaha di padang golf hari ini tidak berakhir di sini. Ia akan diterjemahkan menjadi produk dan pakej pelancongan sebenar untuk dipasarkan,” tambahnya.

Program SWING 2025 menjadi contoh bagaimana satu acara santai mampu menyatukan pelbagai pihak -- dari kerajaan, pemain industri sehingga media -- dalam satu misi yang sama: memperkukuh pelancongan Malaysia, satu hayunan pada satu masa. - KitaReporters