
Dalam dunia perniagaan makanan yang penuh persaingan dan trend silih berganti, Nor Syaera Baharudin, 34, membuktikan bahawa ketekunan dan keikhlasan dalam servis mampu memastikan sesuatu jenama kekal bertahan lama.
Mengusahakan perniagaan berkonsepkan Set Talam Western sejak 11 Julai 2017, Nor Syaera terus komited menjalankan operasi dari satu cawangan sahaja – namun tetap mendapat sambutan dan sokongan pelanggan yang setia sepanjang lapan tahun.

“Bagi saya, kekal relevan dalam industri ini bukan bergantung kepada bilangan cawangan semata-mata, tetapi kepada kualiti makanan, layanan kepada pelanggan, dan konsistensi. Saya percaya rezeki itu luas, asalkan kita jaga yang asas dengan baik,” katanya yang memiliki restoran Mambo Bistro di Changlun, Kedah.
Restoran dibuka dari pukul 5.30 petang sehingga 11 malam. Beroperasi setiap hari kecuali Selasa.

Konsep Set Talam Western yang diketengahkan oleh Nor Syaera menggabungkan pelbagai hidangan makanan Barat seperti ayam grill, sosej, kentang putar, coleslaw dan pasta dalam satu dulang, menjadikannya pilihan popular untuk keluarga dan pelanggan berkumpulan.
Meskipun hanya beroperasi dari satu lokasi, jenama ini berjaya mengekalkan pengaruhnya, terutama dalam kalangan pelanggan yang menghargai makanan berkualiti pada harga berpatutan.
Dengan pengalaman selama lapan tahun, Nor Syaera kini menjadi contoh kepada usahawan kecil yang mahu membina perniagaan berasaskan prinsip kekal, bukan sekadar mengejar populariti sementara. - KitaReporters
