.
Terengganu, sebuah negeri yang kaya dengan keindahan semula jadi dan warisan budaya sememangnya menawarkan pengalaman percutian menarik bagi para pelancong.
Bagi yang ingin berkunjung dengan memandu sendiri kenderaan, mungkin anda perlu tahu salah satu perangai orang Terengganu iaitu 'tidak pandai' guna hon.
Menerusi perkongsian video dalam akaun TikTok @nagenganu memaparkan dia yang sedang memandu terperangkap kesesakan lalu lintas di bandar besar sebuah negeri di luar Terengganu dan bunyi hon bertali arus dibunyikan oleh pemandu.
Dia yang merupakan orang Terengganu memaklumkan di negeri berkenaan sekiranya seseorang pemandu menekan hon ia boleh menjadi pergaduhan kerana tindakan itu disifatkan kurang ajar.
"Aku orang Terengganu, orang Terengganu dok reti hong-hong ni. Tapi bila duduk bandar besar gini, tengoklah orang Terengganu padang duduk cokoh gitu, tak tahu menda nak buat .
"Nok hong malu, tapi nak duduk bandar besar kena pandai tekan hong," katanya dalam loghat Terengganu menerusi video dikongsikan.
Video secara santai dan bersahaja itu menarik perhatian pengguna TikTok lain yang tidak ketinggalan meninggalkan komen berkongsi cerita serta pengalaman mereka di Terengganu.
Bagi orang Terengganu hon bukan sebagai amaran bahaya semata-mata tetapi lambang budaya kehidupan, tanda ucapan terima kasih dan bertegur sapa dengan individu dikenali.
Menurut pengguna TikTok @Zuhari, dia merasa malu untuk menggunakan hon sewaktu memandu di Terengganu kerana merasakan tindakan tersebut menggambarkan sikap yang kurang ajar.
Bagi @MuNaz pula, hon bagi orang Terengganu adalah untuk menegur sapa kenalan yang tersempak di tengah jalan sewaktu memandu.
Pengguna akaun @Kedai YahAyam turut meninggalkan komen enam bulan sekali belum tentu dengar bunyi hon kalau di Terengganu.
Apa-apapun "lain padang, lain belalang".
Contohnya di India, pemandu di bandar Kolkata menganggap hon sebagai satu keperluan wajib dan portal berita Times of India dalam satu laporan pernah melabel golongan pemandu di sana gemar menekan hon tanpa sebarang sebab.
Manakala, Kurator pengangkutan di Muzium Henry Ford, Matt Anderson pernah menyatakan:
“Kamu diharapkan menekan hon kereta jika kamu semakin mendekati pejalan kaki untuk memaklumkan mereka bahawa (kamu) melalui jalan tersebut. Kamu akan dianggap sebagai biadap sekiranya tidak menggunakan hon.” - KitaReporters