Selera & Santai 05 Aug, 2024

Cungkil bakat terpendam pelajar IPT dalam rekaan fesyen! Minggu Fesyen Budaya Antarabangsa berjaya!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Antara rekaan pelajar yang diperagakan.


Empat institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Taylor’s University, Esmod Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang telah mempamerkan rekaan pelajar fesyen masing-masing dalam pertandingan ‘International Cultural Fashion Week’ (ICFW) atau Minggu Fesyen Budaya Antarabangsa' (ICFW) 2024.

Sempena festival 'Precious of Malaysia', para pelajar daripada empat IPT tersebut telah membuktikan bahawa pereka fesyen muda di negara ini memiliki bakat terpendam dalam menghasilkan busana yang penuh inspirasi dan kreativiti.

Pesona, unik, dan elegan - itulah gambaran koleksi-koleksi yang diperagakan oleh peragawati profesional di Tingkat 42, Menara Affin, TRX Exchange Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, 2 Ogos 2024.

Acara yang dianjurkan oleh FM Group dan dipimpin oleh dua pereka fesyen terkenal, Jonathan Kok dan Farel Mikhail, bertujuan untuk menyokong dan memperjuangkan budaya Malaysia melalui fesyen.



“Sebenarnya, sehingga kini kami menerima permohonan daripada banyak IPT untuk menyertai pertandingan ICFW. Insya-Allah, ICFW tahun depan (2025) kami akan melibatkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta,” kata Farel ketika ditemui pada acara tersebut. 

Menurut Farel, untuk anjuran kali ketiga ini pihaknya hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan mengutamakan kualiti.

“Apa-apa pun kami menilai kesungguhan dan rekaan yang akan ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional,” tambah Farel.

Beliau berpendapat bahawa ICFW adalah platform bagi pereka muda untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen, di mana melalui pertandingan seumpama inilah bakat mereka dapat digilap dan bersaing secara sihat.

“Ada juga yang bertanya, mengapa kami memberi ruang kepada pelajar IPT. Jawapannya adalah rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya.


Farel Mikhail (kiri) dan Jonathan Kok bergambar bersama tetamu-tetamu kehormat.


Farel juga berharap agar netizen yang sering merendah-rendahkan bakat pereka fesyen muda dapat memberikan kritikan yang membina.

“Tidak dinafikan, netizen bebas berkata atau menulis apa sahaja dalam media sosial mereka. Itu hak mereka yang kita tidak boleh sekat. Namun, janganlah menghina atau mengeji rekaan pereka muda yang masih dalam proses belajar. Janganlah mematahkan semangat mereka yang berusaha gigih untuk melakukan yang terbaik.

“Kami tahu bagaimana sakitnya rasa dihina dan rekaan kita diperlekeh. Bukan tak boleh menegur atau komen, tetapi biarlah kritikan yang membina. Tegur kelemahan dan cadangkan apa yang lebih baik agar mereka dapat pelajari sesuatu,” ujarnya panjang lebar.



Sementara itu, rakannya Jonathan yang turut ditemui berharap ICFW ini menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk menyerlahkan bakat mereka. 

“Saya rasa bangga apabila ramai anak muda yang cenderung memperjuang busana tradisional yang merupakan sebahagian daripada budaya kita. Inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.

“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tidak mempunyai platform untuk mempamerkan karya mereka dan melebarkan sayap dalam bidang fesyen. Jadi, ICFW inilah peluang buat mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, tahun 2024 menyaksikan kelainan ICFW berbanding tahun-tahun sebelumnya  melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk. 

Para pelajar yang bersaing turut berentap dengan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri. 

Secara keseluruhannya, Juara ICFW - Precious Of Malaysia 3.0 disandang oleh pereka muda Afiq Syazani, diikuti naib juara, pereka fesyen Rashid Moshi manakala kumpulan pereka  UiTM menduduki tempat ketiga dan pereka fesyen Zuramir peroleh tempat keempat.

Apa yang istimewa, Precious Of Malaysia 3.0 yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.



Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos 2024 ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos 2024 di Pavilion Damansara Heights menyasarkan kehadiran 1,001 orang yang memakai tanjak pada hari tersebut. Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos 2024.

Orang ramai dijemput hadir memakai tanjak bagi memeriahkan lagi acara ini. - KitaReporters

14
9
0
10
0
You will be interested