Selera & Santai 29 Sep, 2024

Sembang-Sembang| Jalan-jalan Muar dan Melaka! Jejak sejarah, makan-makan dan eratkan silaturahim!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Kata orang, jalan jalan kutip pengalaman, eratkan persahabatan. Setengah orang gemar berjalan sambil makan angin dan jalan-jalan  cari makan, ada orang  pula suka bersantai di pantai atau pulau. 
Tapi saya pula suka berjalan sambil mencari makan, melihat laut, pokok-pokok hijau dan tempat tempat menarik yang menjadi sejarah. 
Baru-baru ini saya dan grup Cik Kiah yang terdiri dari Latifah, Azipah dan Khadijah berada di Muar dan Melaka untuk bersantai dan jalan-jalan. 
Sebelum ini kami telah ke utara, Sekinchan, Selangor dan baru-baru ini memilih Muar dan Melaka sebagai destinasi kami seterusnya. 
Sebenarnya ada 8 orang grup Cik Kiah kami. Bagaimanapun untuk trip ini hanya 4 orang yang dapat meluangkan masa. Itu pun dah meriah. Satu kepala serasi bersama. 



Bermalam di Muar sangat menarik. Tempatnya selesa. Makanan pun sedap-sedap. Pusing-pusing  bandar Muar juga menyeronokkan. Lampu bergemerlapan pada waktu malam. Banyak tempat bersantai dan makan malam untuk melayan selera. 

Tapi trip kami kali ini ada kelainan. Kami singgah ke rumah sahabat dan adik dunia akhirat Syed Hashim Al-Habshee di tengah-tengah bandar Muar. Syed Hashim juga bekas staff Utusan Melayu yang bertugas di akhbar The Leader dan majalah Rias. 
Sudah lama saya teringin ke Muar. Lalu saya telefon Syed Hashim memaklumkan saya dan kawan ada di bandar Maharani tersebut. 
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal saya menerima pelawaanya ke rumah. Memang teringin sangat nak tengok rumahnya yang cantik dan bersejarah untuknya. 
Tak susah mencari rumahnya. Sebab ia nampak lain daripada yang lain. Dari jalan besar dah nampak keunikannya. Masuk ke dalam rumah. Mata terpaku pada dekorasinya yang teratur kemas dan menarik. 



Menurut Syed Hashim rumah tersebut adalah rumah pusaka peninggalan moyangnya. Dan kini dia yang menjaga dan merawat rumah tersebut setelah kematian bapanya. 
Rumah yang telah berusia 100 tahun itu sangat bersih luar dan dalam. Cantik dipandang. Sejuk hati. Sesiapa yang masuk pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar. 
Antara barang yang ada di rumah itu ialah gambar-gambar salasilah keluarga Syed Hashim yang berasal dari Yemen. 
Pinggan mangkuk, hiasan, buku, kitab-kitab dan barangan antik lain juga ada. Basikal lama, telefon dan macam-macam lagi. 
Seronok mendengar  cerita Syed Hashim tentang keluarga dan rumah pusaka milik keluarganya itu. Tambahan pula tiga sahabat yang datang bersama memang dia kenal. Rioh kami bersembang.
Malah Syed Hashim gembira dan bersyukur kerana rumah tersebut juga menjadi tempat berhimpunnya kaum keluarga Al- Habshee dan tempat kelas usrah, berselawat dan majlis ilmu. 
Syed Hashim gembira  kerana dapat menjaga rumah pusaka moyangnya itu dengan baik dan memanfaatnya ke jalan Allah. 

Hampir dua jam kami di rumah itu. Tak rasa masa cepat berlalu. Seronok mendengar cerita Syed Hashim sebelum kami minta diri menjelang maghrib. Terima kasih Syed Hashim atas layanan. 




Dua hari di Muar memberi banyak pengalaman untuk kami grup veteran ini yang jarang- jarang dapat berjalan semasa bekerja dahulu. 
Meninggalkan Muar kami singgah makan durian. Bermalam di Melaka dan sempat menikmati ikan bakar di Umbai
pada sebelah malamnya. 
Sebelum balik sempat singgah di Merlimau menziarah Makam Tun Teja yang pernah saya buat liputan 15 tahun lalu. 

Masa berlalu. Keadaan juga berubah. Dahulu pengunjung boleh berjalan kaki di tengah sawah untuk ke makam tapi sekarang ia di pagar rapi. Hanya melihat dari jauh kerana pagarnya berkunci. 

Kunjungan ini walau pada orang lain kecil, tapi bagi saya sangat bermakna kerana saya berpeluang mengulangi kunjungan ke Makam Tun Teja  in setelah lebih kurang 15 tahun lalu pernah membuat liputan mengenai sejarah Tun Teja. Sesuatu yang menggamit memori seorang wartawan. 



Apapun pakej JJCM dan makan angin ke Muar dan Melaka kali ini sangat menggembirakan. Bukan sahaja untuk makan dan jalan-jalan tetapi mengeratkan silaturahim dan kasih sayang antara sahabat. 
Kepada anda yang gemar reunion atau makan angin cuba ubah cara healing anda dengan sahabat atau saudara mara.
Ringkas, tak buang masa. Itu cara kami. Next trip dalam perancangan insya-Allah. Mungkin ke Pantai Timur pula. - KitaReporters

16
13
0
9
0
You will be interested