Selera & Santai 30 Sep, 2022

Mount Tebu Climbathon Challenge 2022! 552 peserta bakal hadapi cabaran mendaki Gunung Tebu di Besut!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


KEADAAN cuaca yang tidak menentu dengan kekerapan hujan yang disertai rebut petir yang melanda Terengganu sejak kebelakangan ini khususnya di Daerah Besut dan Setiu bakal memberi cabaran gentir kepada peserta Mount Tebu Climbathon Challenge atau Cabaran Pendakian Gunung Tebu 2022 (MTCC'22). 

Aktiviti sukan lasak yang akan berlangsung pada Sabtu 1 Oktober 2022 ini akan disertai 552 peserta dijangka menjadi cabaran kepada semua peserta yang terpaksa melalui lereng bukit dan hutan tebal untuk sampai ke puncak Gunung Tebu yang terletak di Daerah Besut dan Setiu itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti lasak mendaki

Puncak Gunung Tebu, Besut


Penganjuran MTCC’22 anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan dan Kelab Kembara Terengganu akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak bertanggungjawab.

Bagi melicinkan perjalanan penganjuran itu, urusetia penganjur turut menyediakan perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan (MGP) untuk memastikan pendakian mereka berjalan dengan selamat.


Ariffin Deraman


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata acara itu bertujuan bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang telah dijayakan tahun ini di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Katanya, semua individu yang mahu mendaki lima gunung di Terengganu akan diwajibkan menggunakan khidmat MGP untuk memastikan pendakian mereka berjalan dengan selamat.


Ariffin (tengah) bersama agensi penajaan program


Menurutnya, lima gunung tersebut ialah Gunung Sarut di Setiu, Gunung Tebu di Besut serta Gunung Chemerong, Berembun dan Langsir (CBL) di Dungun, Gunung Bukit Tangga di Besut dan Bukit Baik di Dungun

“Hanya lima gunung tersebut yang diwajibkan penggunaan khidmat MGP memandangkan aktiviti pendakian di situ mendapat permintaan tertinggi daripada para peminat aktiviti lasak di Terengganu," jelasnya.


Ariffin (tengah) menunjukkan Tshirt sumbangan penaja yang akan dipakai peserta  


“Setakat ini, terdapat 120 MGP yang berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan jumlah itu masih mencukupi untuk menawarkan khidmat di lima gunung tersebut.

“Setiap MGP dibenarkan menjadi jurupandu kepada tujuh pendaki pada satu-satu masa dan kesemua mereka ini sangat terlatih dalam selok-belok hutan di Terengganu serta mempunyai kemahiran asas menyelamat di kawasan pergunungan,” katanya.

Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Malaysia mengeluarkan arahan aktiviti pendakian bukit atau gunung berketinggian melebihi 457.2 meter diwajibkan menggunakan MGP bermula Januari 2023.  


Ariffin (tengah) menerima pakej penerimaan dari penaja program


Mengulas lanjut berkenaan program, penganjuran MTCC'22 ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku contohnya fenomena kepala air dan sebagainya. 

“MTCC'22 yang akan berlangsung pada Sabtu (1 Oktober 2022) ini menawarkan tiga kategori utama kepada peserta dengan jarak 15.6 kilometer serta hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM14,300," katanya. 


Puncak Gunung Tebu,Besut


Tambah Ariffin Deraman, kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti atau pertandingan termasuk di kawasan pergunungan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan berasaskan sukan di Terengganu.

Objektif program berkenaan ialah mempelopori aktiviti sukan lasak dan riadah dalam kalangan rakyat tempatan dan luar Terengganu.

Jarak sebenar keseluruhan yang akan bermula di Dataran Lata Belatan Eko Park terus menuju ke Puncak Gunung Tebu menggunakan trek yang sedia ada sejauh 7.8 km. - KitaReporters


Keadaan damai di puncak Gunung Tebu

 

 

12
13
1
13
0
You will be interested