Selera & Santai 25 Dec, 2025

Video| Kurang Wow! Pertandingan fotografi Putrajaya 2025 memberangsangkan! Tapi kurang penceritaan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

PENYERTAAN Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PTPC) 2025 amat memberangsangkan, walaupun ia boleh ditambah baik terutama dari segi penceritaan, konsep dan ikonik bagi menepati hasrat menampilkan identiti menyeluruh pusat pentadbiran negara itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. 



Putrajaya dari sebuah kawasan hutan ditransformasikan menjadi pusat pembandaran antara terbaik di dunia, justeru usaha bagi mengangkat identitinya sebagai ikon pentadbiran negara dan lokasi pelancongan utama di dalam dan luar negara amat dialu-alukan.

Ketua Jurinya, Mustafa Muzer, berkata secara keseluruhan kualiti gambar berada pada tahap baik, cuma hasil pemerhatian kami yang menilai keseluruhan penyertaan peserta, ia masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh aspek penceritaan visual dan pemilihan subjek.


Mustafa Muzer


“Jika markah penuh 10, saya boleh beri lapan. Persembahan memang baik, tetapi kebanyakan gambar masih belum dapat menggambarkan Putrajaya secara menyeluruh.

"Jika peserta dapat membuat sikit kerja rumah sebelum mengambil gambar dan menghantar penyertaan, ia mungkin menjadi lebih baik dan memiliki elemen Wow!

"Apa pun, syabas kepada peserta selain Perbadanan Putrajaya (PPj) yang mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan itu dan terbuka kepada warganegara Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas sesi penjurian akhir Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2025 di Dewan Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ), Presint 3, Putrajaya.


Sebahagian gambar fotografi Putrajaya yang dipilih dan disenarai pendek untuk penjurian akhir.


Pertandingan yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 15 November 2025 itu menerima 291 penyertaan, melibatkan 674 keping gambar kategori siang dan 517 keping gambar kategori malam. Semua foto dirakam sekitar Putrajaya dan dinilai berdasarkan tema, komposisi, keaslian, kreativiti serta penggunaan teknik fotografi.

Sesi penjurian akhir turut disertai empat juri lain iaitu Ketua Unit Fotografi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), Jamil Mat Isa; Pensyarah Kanan UiTM Puncak Alam, Andrialis Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPJ, Siti Fadilah Ramli; serta Arkitek Kanan Bahagian Kawalan dan Reka Bentuk Bangunan PPJ, Amran Mohd Noor.

Mustafa yang juga mantan Kaunselor Akademik/Pakar Subjek (SME) Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya dan mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang perfileman, fotografi dan penerbitan TV mengakui, cabaran utama jurugambar adalah menampilkan struktur ikonik dan keunikan Putrajaya yang mampu dikenali secara spontan pada peringkat antarabangsa.


Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2025 menerima 291 penyertaan, membabitkan 674 keping gambar kategori siang dan 517 keping gambar kategori malam.


Perbadanan Putrajaya (PPj) patut diberi pujian kerana menganjurkan pertandingan itu bagi mengangkat imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara dan lokasi pelancongan utama di dalam dan luar Malaysia.


“Di Perancis ada Menara Eiffel, di London pula dengan menara jam besar Big Ben. Jadi persoalannya, apakah elemen Putrajaya yang bila orang lihat gambar itu, mereka terus tahu, inilah Putrajaya,” katanya.

"Kebanyakan peserta masih terlalu bergantung kepada latar bangunan semata-mata tanpa mengolah dinamik kehidupan di sekitarnya.

“Fotografi bukan hanya berkisar mengenai struktur. Ia sepatutnya diisi dengan elemen seperti manusia, aktiviti dan alam sekitar. Semua perkara ini perlu digabungkan supaya gambar itu ada penceritaan dan ‘roh’,” katanya.

Beliau berkata, foto yang baik seharusnya mampu berdiri sendiri seolah-olah sudah mempunyai kapsyen dan penceritaan lengkap.  

“Kami tidak hanya melihat latar belakang, tetapi lebih penting apa yang cuba disampaikan oleh jurugambar. Subjek dan penceritaan itu lebih utama,” katanya. 


Juri memberi fokus dan melihat dengan teliti setiap gambar dari semua elemen yang terpilih untuk penjurian akhir.


Mengulas proses penjurian, Mustafa berkata walaupun terdapat banyak elemen yang boleh dinilai pada satu gambar, peserta perlu memberi tumpuan kepada USP (unique selling point). Ini yang perlu ada kepada setiap peserta.

“Mungkin ada 20 hingga 25 elemen dalam satu foto, tetapi fokus kepada satu USP. Itulah kekuatan yang boleh memperkenalkan Putrajaya kepada dunia,” katanya.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan PPJ menganjurkan bengkel atau kelas fotografi khusus bagi membantu jurugambar mengenali Putrajaya dengan lebih mendalam. 

“Semua orang ada telefon dan kamera, tetapi sebelum ambil gambar, buat kajian dulu. Kenali Putrajaya, cintai Putrajaya. Bila gambar itu terhasil, orang akan berkata: ‘Wow’,” katanya.

Katanya, bengkel berkenaan boleh merangkumi senarai bangunan ikonik, aktiviti pelancongan, kalendar acara serta program utama seperti Floria Putrajaya supaya peserta tidak hanya merakam subjek sama seperti masjid dan jambatan.


 


Barisan juri berbincang bagi mendapat kesepakatan memilih gambar-gambar terbaik ketika sesi penjurian akhir.


Sementara itu, sebanyak lapan gambar terbaik dipilih sebelum disenarai pendek kepada tiga pemenang utama, dengan pemenang akan dihubungi PPj, manakala penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung dalam satu majlis khas awal pada tahun depan (2026).

“Kesimpulannya, kami bersetuju, semua peserta sudah melakukan yang terbaik, cuma gambar-gambar ini kami rasa masih ada ‘kurang garam dan gula’. 

"Dalam fotografi perlu ada elemen ‘why’, fokus dan "in depth". Bila semua ini cukup, barulah Putrajaya dapat dipersembahkan dengan lebih berkesan,” katanya. - KitaReporters

Para hakim sesi penjurian akhir Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya 2025.

6
14
0
13
0
You will be interested