
Gerai Nasi Ulam Utara di Kluang yang menjadi tumpuan orang ramai.

Nasi Ulam Utara hasil air tangan Nur Hashimah Adnan terus mencetuskan fenomena di Bazar Ramadan Kluang di Johor apabila habis terjual dalam masa hanya sejam.
Sambutan luar biasa ini menyebabkan ramai pelanggan sanggup menunggu seawal jam dua petang bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati hidangan istimewa ini.

Nur Hashimah Adnan sedang menyiapkan jualannya yang berupa nasi ulam.
Menurut Nur Hashimah, keistimewaan Nasi Ulam Utara yang dijualnya terletak pada 12 jenis campuran ulam segar yang memberikan rasa unik dan menyihatkan.
“Saya menggunakan ulam seperti daun selasih, ulam raja, daun selom, kesum dan lain-lain yang kesemuanya segar setiap hari. Ditambah pula dengan ayam bakar dan air asam istimewa ia menjadi tarikan utama pelanggan,” katanya.

Seorang pelanggan tetap Roziana Saad berkata, beliau sudah belajar daripada pengalaman minggu lalu dan tidak mahu kecewa lagi.
“Minggu lepas saya datang lambat, dah habis. Jadi kali ini saya datang jam dua petang dan beratur awal, barulah dapat beli,” katanya.
Melihat kepada permintaan yang tinggi Nur Hashimah bercadang untuk menambah kapasiti jualan pada hari-hari mendatang.

Nasi Ulam Utara yang menjadi tarikan orang Kluang.
Namun, beliau tetap mengutamakan kualiti dan kesegaran bahan untuk memastikan pelanggan menikmati rasa terbaik setiap kali membeli.
Orang ramai yang ingin mencuba disarankan untuk datang lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Fenomena ini membuktikan bahawa makanan tradisional seperti Nasi Ulam Utara masih mendapat tempat di hati masyarakat dan terus menjadi kegemaran sepanjang bulan Ramadan. - KitaReporters

