Selera & Santai 04 May, 2025

Anda suka popia? Pasti dapatkan Popia Jamal! Popia warisan 4 generasi! Terus jadi buruan sejak 1952!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this


Kedai Popia Jamal yang beroperasi di Jalan Kampung Batin, berdekatan Hotel Grand Alora dan Hospital Aurelius, Bandar Baru Mergong di Alor Setar,  terus menjadi destinasi pilihan pencinta makanan tradisional.


Popia Jamal bukan sekadar juadah ringan, tetapi menjadi simbol warisan keluarga yang telah bertahan lebih tujuh dekad sejak diperkenal pada tahun 1952 di simpang Jalan Putra, yang ketika itu dikenali sebagai Jalan Baharu.

Perniagaan ini bermula dengan Allahyarham Kadir Mydin Mohd Zainal, sebelum diwariskan kepada anakandanya Jamal Kadir Mydin. Kini, ia diteruskan oleh Fakir Jamal, pewaris generasi ketiga.

"Saya mula membantu ayah sejak tahun 1990 dan meneruskan sepenuhnya legasi ini setelah pemergian beliau. Alhamdulillah, popia ini tidak pernah putus permintaan, malah semakin digemari dari setahun ke setahun," ujar Fakir.


Fakir Jamal (kiri) bersama pewaris generasi keempat iaitu anaknya Amin Ahmad Fakir (kanan).


Adunan warisan asli popia yang menjadi tarikan.

Kini, warisan ini melangkah ke generasi keempat dengan penglibatan aktif anak beliau, Amin Ahmad Fakir yang berusia 25 tahun, yang bersama-sama meneruskan kesinambungan Popia Jamal.

Kedai Popia Jamal, yang beroperasi di Jalan Kampung Batin, berdekatan Hotel Grand Alora dan Hospital Aurelius, Bandar Baru Mergong, di Alor Setar terus menjadi destinasi pilihan pencinta makanan tradisional.

Rahsia keenakan Popia Jamal terletak pada resipi asli kuahnya yang diwarisi turun-temurun, dimasak sendiri di restoran mereka sebelum dibawa ke lokasi jualan.

"Popia ini bukan sekadar makanan. Ia lambang kasih sayang dan usaha empat generasi keluarga kami. Saya bersyukur kerana dapat meneruskan warisan ini untuk dinikmati pelanggan setia lama dan baharu," kata Fakir.


Popia Jamal yang menjadi pilihan pengemar makanan.

Dengan harga RM6 setiap set, Popia Jamal bukan sahaja menjadi buruan semasa musim perayaan, malah sesuai dinikmati pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Selain popia, Fakir turut dikenali kerana kepakarannya dalam menyediakan Teh Tarik Asli, resipi tradisi turun-temurun yang diajar oleh ibunya.

"Teh Tarik Asli kami tanpa pewarna tiruan, menjadi pilihan utama dalam pelbagai majlis, hotel dan acara rasmi kerajaan di seluruh negara," jelasnya.

Kehebatan Fakir dalam seni Teh Tarik Show juga tidak dapat disangkal. Setelah menjuarai Pertandingan Teh Tarik Malaysia sejak tahun 2003, beliau sering dijemput membuat persembahan di dalam dan luar negara.


Mi Mamak Warisan turut menjadi pilihan mereka yang datang ke kedai Fakir.


Selain itu, Fakir juga meneruskan tradisi memasak Mi Mamak Warisan, menambah variasi kepada warisan keluarga yang kini terus berkembang melalui generasi keempat.

"Saya harap generasi muda hari ini dapat mengenali dan menghargai makanan warisan ini, kerana ia bukan sahaja mengisi perut, tetapi membawa bersama nilai kasih sayang dan usaha gigih turun-temurun," katanya menutup bicara dengan KitaReporters. - KitaReporters


Fakir Jamal, pewaris generasi ketiga (kanan) melayan pelanggannya.

11
11
0
9
0
You will be interested