KITA biasa dikenakan caj apabila menjamu selera di restoran, baik dalam bentuk caj perkhidmatan (service charge), caj jualan (sales tax), GST atau SST. Namun belum pernah kita mendengar pelanggan yang menjamu selera dikenakan caj Covid-19. Mentang-mentanglah sekarang dunia dilanda wabak Covid-19, makan minum di restoran pun ada caj sempena nama wabak tersebut. : KitaReporters
'CARNE ASADA', makanan Mexico yang sangat digemari pelanggan. Tetapi pada musim Covid-19 mereka perlu membayar caj AS$1 untuk menikmatinya. - Kredit foto: Google
Memetik laporan Fox News, ini berlaku di bandar West Plains, Missouri di Amerika Syarikat.
Ada restoran di bandar itu mengenakan caj lebih kepada pelanggan pada musim pandemik Covid-19 dengan menamakannya sebagai Caj Covid-19.
Di California dan Michigan pula, ada restoran yang mengenakan caj tambahan kepada setiap pesanan makanan, sekali pun tidak menamakannya sebagai caj Covid-19.
Apa pun tujuannnya adalah sama, iaitu untuk menyerap kerugian yang ditanggung oleh restoran-restoran ini akibat Covid-19 dan penguatkuasaan ‘duduk di rumah’ yang menyaksikan perniagaan merosot serta kesukaran mendapatkan bakalan bahan mentah.
RESIT dari Kiko Japanese Steakhouse and Sushi Lounge yang mencatatkan Caj Covid-19 berjumlah AS$2.19 bagi pelanggan yang memesan makanan di restoran itu. - Kredit foto: Facebook
Restoran Kiko Japanase Steakhouse and Sushi Lounge di Missouri, mengenakan caj Covid-19 pada kadar AS$2.19 (RM 9.52 sen) bagi setiap pesanan.
Pemilik restoran, Billy Yuzar memberitahu, caj ini bukan dikenakan tanpa pengetahuan.
Pihak restoran mengiklankan mengenai caj ini secara online, selain meletakkan notis di pintu restoran.
Dengan itu, kesemua pelanggan akan maklum mengenai caj tambahan itu dan boleh memilih untuk duduk dan memesan makanan atau meninggalkan restoran.
Dia mengakui ada reaksi tidak puas hati daripada orang ramai mengenai caj tersebut.
Tetapi katanya mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati itu sebenarnya tidak pun pernah datang ke restorannya.
Yuzar memberitahu, caj Covid-19 ini dikenakan ketika keadaan perniagaan yang suram sekarang akibat virus Covid-19 dan bekalan bahan mentah yang tidak menentu serta luar kawalan.
Langkah mengenakan caj ini adalah lebih baik daripada menaikkan harga makanan.
Ini kerana caj ini boleh diubah suai berdasar perkembangan perniagaan . Lagi pun ia hanya dikenakan untuk sementara sehingga perniagaan benar-benar pulih.
SUSHI menu utama di Kiko Japanese Steakhouse and Sushi Lounge di West Plains, Missouri selain steak. Caj Covid-19 AS$2.19 dikenakan kepada pelanggan yang menjamu selera di restoran itu. - Kredit foto: Facebook
Sementara itu di San Diego, California, sebuah restoran Mexico mengumumkan mengenakan caj AS$1 (RM4.35) untuk menu Carne Asada kerana kesukaran mendapatkan bekalan daging.
Makanan Mexico ini antara kegemaran pelanggan di restoran berkenaan. Ia merupakan daging lembut yang diperap dan kemudian dibakar.
Di Grand Rapids, Michigan, pula sebuah restoran burger juga mengenakan caj AS$1 untuk setiap makanan sebagai menyerap kehilangan pendapatan akibat kurangnya mereka yang datang makan ke restoran berkenaan.
PEMAKLUMAN kepada pelanggan di sebuah restoran Mexico di San Diego yang memerlukan pelanggan membayar surcaj AS$1 jika memesan makanan 'Carne Asada'. - Kredit foto: Facebook.
Covid-19 selain mengorbankan nyawa dan menjangkiti ribuan manusia di seluruh dunia, mendatangkan kesan ekonomi yang serius.
Kerana itulah restoran juga mengenakan caj tambahan untuk memastikan ia boleh terus beroperasi.
Terpulanglah kepada pelanggan membuat pilihan! - KitaReporters