Selera & Santai 13 Mar, 2021

Jadikan Rumah Takdir Tunku Abdul Rahman sebagai muzium! Hendak dijual pada harga bermula RM62j!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this

KEDIAMAN rasmi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Jalan Tunku Abdul Rahman, Georgetown. Di depan rumah itu ialah cucu saudara Almarhum Tunku, Syed Mahadzir Syed Abdullah Alsagoff. Gambar ini disiarkan pada 2017.  - Kredit foto: Amir Irsyad Omar. 


KINI semua memori tinggal jadi kenangan yang bersejarah. Saat-saat manis momen kehidupan di Rumah Takdir di Pulau Pinang yang dilalui bekas Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama isteri dan anak-anaknya akan turut lenyap sekiranya ia tidak dilakukan sesuatu untuk memelihara warisannya.

Seminggu yang lalu, sebuah agensi hartanah terkemuka menyenaraikan banglo unik dua tingkat itu untuk dijual kepada pembida tertinggi dengan harga tawaran bermula RM62 juta.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan warisan:

https://kitareporters.com/search?search=warisan


Kenangan Tunku Abdul Rahman dan keluarga.


Dalam satu muat naik dalam laman web milik oleh agensi Property Guru, kediaman yang terletak di kawasan lebih satu ekar di Jalan Park dan Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini didikenali sebagai Jalan Ayer Rajah di Pulau Tikus, Georgetown, Pulau Pinang, telah dibuka untuk dibeli kepada mereka yang berminat.

Banglo dua tingkat itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur dengan tiga bilik air terletak di kawasan seluas  64,472 kaki persegi dan bukaan saiz lantainya 9,867 kaki persegi dengan disertakan bangunan sebelah untuk pembantu rumah. Banglo bentuk klasik, dikelilingi alam sekitar yang sangat damai di kawasan tersorok di tengah bandar di Pulau Tikus.

Serena Tan, ejen PG Propety Angel dalam satu catatan memberitahu perincian banglo itu dibina atas tanah bertaraf pegangan bebas dan jika berminat memilikinya, anggaran bayaran pinjaman adalah RM254,272 sebulan.

Sementara itu, adalah catatan lain, Property Guru menyebut rumah itu juga boleh disewa dengan kadar RM25,000 sebulan. 



Dari nama asalnya Ayer Rajah Road, ia ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman, sempena jasanya. Nama itu juga sama dengan sebatang jalan di tengah bandar raya Kuala Lumpur iaitu Jalan Tunku Abdul Rahman.

Walaupun tidaklah sepopular jalan di Kuala Lumpur, Jalan Tunku Abdul Rahman di Georgetown ini tetap menyimpan pelbagai kenangan manis buat Almarhum Tunku Abdul Rahman selepas bersara sebagai Perdana Menteri pertama negara yang banyak menghabiskan masanya di banglo itu dan kediaman rasmi beliau terletak di persimpangan pertama jalan berkenaan.

World of Buzz bertanyakan pada pemilik rumah berkenaan, Jeryl Tan, yang sangat berharap kepada pelanggan yang mahu memiliki banglo warisan itu,  membelinya dengan tujuan murni termasuk mengubah suainya sebagai muzium atau menjadikan kawasan itu sebagai pusat warisan.

Penjual juga sedang berharap hartanah ini dapat diuruskan dengan baik demi kepentingan generasi masa depan.



Sebelum itu dalam satu laporan temu ramah Berita Harian dengan cucu saudara Almarhum Tunku, Syed Mahadzir Syed Abdullah Alsagoff, 66, pada 2017, beliau berkata, di kediaman yang dinamakan Rumah Takdir oleh Tunku Abdul Rahman bersama isterinya, Allahyarhamah Tun Syarifah Rodziah Syed Alwi adalah rumah mereka membesarkan empat anak angkat mereka iaitu Tunku Maryam, Tunku Sulaiman, Tunku Faridah dan Tunku Noor Hayati.

"Tunku Abdul Rahman gemar bercucuk tanam jika ada masa terluang. Almarhum suka menanam sayur-sayuran seperti cili dan serai, manakala isterinya pula akan menanam pokok bunga sebagai hiasan. 

"Umumnya mengetahui Almarhum Tunku adalah kerabat diraja Kedah memilih untuk menetap di Pulau Pinang, berikutan negeri itu sentiasa dekat di hatinya.

"Almarhum Tunku dahulu menuntut di Penang Free School (PFS). Selain itu, dia turut mempunyai ramai kenalan di sini. Paling saya ingat ialah Almarhum gemar menghidangkan lempeng pisang bersama air teh istimewa kepada tetamunya.

"Pernah suatu ketika saya bertanyakan kepadanya, apakah resepi rahsia air tehnya kerana ia sungguh enak. Almarhum memberitahu, beliau membancuh teh dengan mencampurkan semua jenis teh seperti teh Ceylon, teh India dan pelbagai lagi teh terbaik.

"Sehingga kini saya amat merindui teh yang dibancuh Almarhum. Belum pernah lagi saya menikmati air teh yang selazat seperti itu," katanya.


Masih kukuh dan istana kecil, Tunku Abdul Rahman  pernah hidup di sini dan membesarkan anak-anaknya. - Kredit foto: Penang Property Angel

Hartanah ni juga boleh disewa dengan kadar RM25K sebulan. - Kredit fotoPenang Property Angel

Menceritakan kenangan beliau bersama bekas Perdana Menteri pertama ini, Syed Mahadzir yang juga seorang pelukis berkata, Almarhum sering berpesan supaya sentiasa menghormati semua orang tidak kira bangsa dan keturunan.

"Almarhum Tunku selalu berpesan supaya hormat dan berbuat baik dengan semua orang tidak kira siapa. Almarhum seorang yang sangat penyayang. Tidak hairanlah namanya masih meniti pada bibir rakyat Malaysia walaupun sudah lebih 60 tahun kita mencapai kemerdekaan," katanya.

Bagi mereka yang berkunjung ke Pulau Mutiara, tidak sukar untuk mengenal pasti kediaman Tunku Abdul Rahman kerana hanya satu-satunya kediaman di kawasan itu yang mempunyai tiang bendera dan masih mengibarkan bendera Malaysia.

Hasrat penulis Berita Harian yang datang bersama Syed Mahadzir untuk memasuki kediaman dan meninjau keadaan bagaimanapun terhalang apabila rumah agam dua tingkat berwarna putih itu dikunci dan melalui proses ubah suai.

Namun, perasaan kecewa itu terubat apabila penulis menemui sepucuk surat rasmi di dalam peti surat di luar rumah, yang masih tertera nama Tunku Abdul Rahman sebagai pemilik kediaman.

"Seolah-olah Almarhum masih ada," kata Syed Mahadzir perlahan.

Tunku Abdul Rahman mendiami banglo itu sehingga 1990. - KitaReporters


Bahagian dalaman banglo. Unik dengan lapikan kayu mahal. - Kredit foto: Penang Property Angel.

Damainya, taman yang indah di luar jendela. - Kredit foto: Penang Property Angel.

Pemiliknya benar-benar berharap banglo itu dapat dijadikan muzium untuk generasi akan datang. - Kredit foto: Penang Property Angel

2
1
2
0
0
You will be interested