Beginilah keadaan Nasi Ayam Hainan yang hampir masak mengikut kaedah pembuatan Kakcik IV dari Kulim, Kedah yang mencampurkan sekali ayam dan beras semasa memasaknya. - Kredit foto: FB Kakcikk IV.
DALAM kehidupan serba moden hari ini orang ramai boleh memperlihatkan hasil kreatif masakan masing-masing kepada umum dengan memuat naik melalui pelbagai media sosial yang ada masa kini.
Namun demikian ada baik buruknya apabila suatu jenis hasil masakan tersebut dipaparkan kepada umum, lebih-lebih lagi jika masakan tersebut dibuat dengan cara yang berbeza daripada teknik biasa seperti kebanyakkan orang lakukan.
Seorang wanita yang menamakan dirinya Kakcikk IV dari Kulim, Kedah melahirkan rasa kesal dan kurang senangnya kerana masakan Nasi Ayam Hainan yang dibuat mengikut tekniknya sendiri dan dimuat naik melalui laman sosial FB mendapat kecaman dan dikatakan cara pembuatannya itu salah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni
Paparan mengenai Nasi Ayam Hainan Kakcikk IV dalam media sosial FB Ruangan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official.
Bagaimanapun melalui laman sosial FB Ruangan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official pada Selasa 30 Mac 2021, beliau meminta pandangan orang ramai mengenai teknik masakan yang dihasilkan itu.
"Ini Nasi Ayam Hainan cara saya. Tapi bila saya post dekat status ramai yang kata teknik saya salah. Salah ke masak ayam sekali dengan nasi?, " soalnya.
Beliau menegaskan dia hanyalah insan berumur 23 tahun tetapi suka mencuba suatu yang baharu termasuk teknik cara masakan Nasi Ayam Hainan seperti dilakukannya iaitu mencampur sekali semua bahan termasuk ayam dalam masakan berkenaan.
Menurutnya, dia mengolah cara begitu dengan memasukkan ayam sekali dengan beras yang dimasak sebabnya keluarga nak ayam bakar tetapi mereka tidak mahu ayam yang direbus atau disalai atas api. Tak sedap kata mereka.
Ada yang mengatakan cara beliau lakukan pelik kerana memang kebiasaannya ayam untuk Nasi Ayam Hainan itu direbus terlebih dahulu dan dicelup dalam ais beberapa kali hingga isi dagingnya terlerai.
Inilah Nasi Ayam Hainan hasil inovasi Kakcikk IV dari Kulim, Kedah.
Kakcikk IV menjelaskan kenapa dia masak ayam sekali dengan beras untuk Nasi Ayam Hainan olahannya, sebab dia hendak memendekan atau menjimatkan masa bagi menyiapkan masakan berkenaan.
Jadinya, apabila teknik ini dilakukan isi ayam tersebut masak sekali dan kemudian hanya perlu keluarkan ayam berkenaan dan masukkan segala bahan perapannya kemudian terus dibakar.
Teknik cara begini mudah, ujarnya selain masa untuk membakar ayamnya hanya mengambil masa antara lima hingga ke sepuluh minit sahaja.
"Memasak cara ini memang menjimatkan masa. Maaf saya bukan nak tunjuk pandai, ingatlah masa itu emas. Banyak benda lain boleh dibuat selain menghadap benda remeh temeh ini," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya lagi ayam tu pun bersih sahaja. Apa salahnya kalau dicampur untuk dimasak sekali. Kalau rasa nak buat Nasi Ayam Hainan ikut cara biasa silakan. Tak salah, ikut cara dan selera masing-masing.
Nasi Ayam Hainan cara masakan Nurshila Witro Foledy dengan mencampurkan sekali ayamnya semasa memasak. Cara ini selain menjimatkan masa juga menjadi kesukaan anak-anaknya.
Dalam pada itu, beberapa orang yang membuat komen dalam ruangan status berkenaan memberikan sokongan kepada Kakcikk IV dan memberikan semangat motivasi meneruskan cara yang dilakukannya itu.
Selain ada yang menyifatkan ia terpulang kepada cara dan teknik masing-masing bagaimana kaedah untuk menghasilkan Nasi Ayam Hainan lebih kreatif dan menjimatkan masa mengikut daya imaginasi masing-masing.Yang penting janji boleh makan dan mengenyangkan.
Salah seorang antara yang memberikan komen, Nurshila Witro Foledy menyokong cara Kakcik IV menghasilkan Nasi Ayam Hainannya mengikut variasinya tersendiri lain dari yang lain.
Malahan, katanya, beliau sendiri pun dalam penyediaan Nasi Ayam Hainan dengan mencampurkan sekali ayamnya dengan beras semasa memasaknya. Anak-anak pun suka dengan cara tersebut di samping dapat menjimatkan masa. - KitaReporters
Antara penjelasan Kakcikk IV kenapa dia memasak Nasi Ayam Hainan mengikut kaedah yang dilakukannya.
Sebahagian komen orang ramai yang menyokong cara dilakukan oleh Kakcikk IV menghasilkan masakan Nasi Ayam Hainan mengikut kaedahnya tersendiri.