Selera & Santai 25 Jun, 2022

Apa benda mukbang tu? Halal ke haram? Sebelum buat video, baca dulu penjelasan daripada Mufti WP!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Mukbang berasal dari Korea Selatan pada tahun 2010. - Kredit Foto: Google Image


SEBUT sahaja mukbang, mungkin ada yang tahu dan tidak apakah maksudnya. Perkataan yang berasal daripada bahasa Korea itu merupakan gabungan dua perkataan iaitu 먹는; meongneun yang bermaksud makan dan 방송 bangsong bermaksud penyiaran

Secara istilahnya pula, ia merupakan suatu siaran langsung dalam talian di mana pengacara memakan makanan pelbagai jenis sambil berinteraksi dengan para penonton.

Fenomena ini mula terkenal serata Korea Selatan pada tahun 2010. Namun, ia sudah tersebar di serata dunia termasuk Malaysia. 

Ia bukanlah perkara baru tetapi masih ramai yang tidak tahu apakah hukumnya dalam Islam. Kadang-kadang kita mudah meniru dan mengikuti orang lain tanpa memikirkan hukumnya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya dan keliru dengan hukum mukbang ini.

Justeru bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan satu artikel mengenai hukum tersebut

Menurut website tersebut, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya kerana ia tidak bertentangan dengan prinsip hukum syarak


Sebagai Muslim, adab ketika makan perlu dijaga. - Kredit Foto: Google Image


Namun perlulah dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam, antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping menghidupkan sunah-sunah dan adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Penghasilan video mukbang pada hari ini lebih kepada tujuan meraih keuntungan dan populariti. Malah, kini ramai yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Semakin banyak pengikut dan jumlah tontonan, maka makin banyaklah pengiklan yang berminat untuk bekerjasama. 

Pada dasarnya, tidak ada larangan khusus terhadap perbuatan tontonan aktiviti makan atau yang dikenali sebagai mukbang ini dalam Islam. Hal ini kerana, kaedah Fiqh menyebut:

الأصل في الأشياء الإباحة  

Maksudnya: Asal pada sesuatu perkara adalah harus.

Al-Sa‘di menyebut setiap sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tiada sebarang dalil atau sesuatu yang menunjukkan pengharamannya. Maka, aktiviti mukbang ini pada dasarnya kita katakan ia adalah harus selagi mana tidak ada apa-apa yang membuatkan ia berubah menjadi haram.

Namun, sekiranya diperhatikan, terdapat segelintir masyarakat yang dilihat melakukan aktiviti ini dengan cara yang bertentangan dengan adab makan dan minum dalam Islam. Antara yang dapat dinyatakan di sini adalah seperti memakan makanan kotor dan tidak bersih.


Islam mewajibkan penganutnya memakan makanan halal. - Kredit Foto: Google Image


Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa individu yang mengadakan siaran mukbang dengan mengambil makanan-makanan yang tidak bersih dan suci demi menaikkan rating videonya. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا  Al-Baqarah, 2:168

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Imam Ibn Kathir menyebut di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan toyyiba pada ayat ini ialah apa yang baik untuk diri sendiri dan tidak pula memudaratkan tubuh badan mahupun akal fikiran. Justeru, dapat kita fahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi ini.

Selain itu, ada individu yang melakukan mukbang sehingga dia kenyang berlebihan. Apa tidaknya, kuantiti makanan yang diambil terlalu banyak melebihi kadar keperluan dirinya, bahkan terkadang sehingga membawa kepada rasa sakit dan muntah akibat ingin menyelesaikan cabaran yang diminta oleh penonton misalnya.

Berbeza pula halnya dengan apa yang diajar dalam Islam, firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ Al-A‘raf, 7:31

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Ibn Abbas berkata mengenai ayat ini bahawa Allah SWT menghalalkan perbuatan makan dan minum selagi mana tidak berlebihan atau membangga diri.

Tambahan lagi, perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sepotong hadis:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” Riwayat al-Tirmidzi (2380), hadis ini dinilai sebagai hadis hasan sahih.

Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa kenyang yang berlebihan amatlah tidak baik, malah membawa ancaman pula ke atas tubuh badan dan akal fikiran. Bukan itu sahaja, bertitik tolak daripada noktah kedua ini, terkait juga dengan perkara yang ketiga iaitu berlakunya pembaziran.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ‎﴿٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ‎﴿٢٧﴾‏ Al-Isra’, 17:26-27

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Seterusnya ialah makan dengan gelojoh. Perbuatan makan dengan cepat atau gelojoh ini seringkali dilihat dilakukan oleh kebanyakan pelaku video mukbang atas sebab mengejar masa atau menyahut cabaran yang diberi oleh para penonton. Walhal, perbuatan ini amatlah tidak baik dan mesti dihindari oleh kerana boleh mendatangkan pelbagai risiko pada tubuh badan seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan bermacam lagi.



Imam al-Nawawi ada menyebut di dalam kitabnya apabila ditanya berkenaan kesahihan hadis Nabi SAW menyuruh agar mengunyah makanan sehingga 40 kali, beliau menjawab:

“Tidak ada langsung hadis yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang daif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedang makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.”

Akhir sekali makan menggunakan tangan kiri. Ada segelintir individu yang melakukan mukbang menggunakan tangan kiri. Ia bukan bias kamera belakang tetapi memang individu terbabit makan menggunakan tangan kiri. Islam mengajar umatnya agar makan dengan tangan kanan. Sabda Nabi SAW:

إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Maksudnya: Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, karena syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula. Riwayat Muslim (2020)

Berdasarkan hadis inilah, Imam al-Nawawi berpandangan makan dan minum dengan tangan kiri hukumnya makruh dan tidak sampai ke tahap haram. Namun ia merupakan satu perbuatan yang perlu dijauhi kerana menyerupai perlakuan syaitan.

Oleh yang demikian, perlunya kita kembali kepada apa yang diajar oleh syariat, yakni penjagaan adab ketika makan dan minum. Kesimpulannya dapat kita rangkumkan di sini, hukum mukbang adalah harus selagi mana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya.



Namun perlulah ia dilakukan dengan cara mengikuti adab makan dan minum yang digariskan dalam Islam, antaranya makan makanan yang halal lagi baik, tidak makan secara berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran, tidak pula makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa, di samping makan menggunakan tangan kanan. 

Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi adab-adab yang ditunjukkan melalui sunnah Nabi SAW seperti memulakan makan dan minum dengan ucapan basmalah dan sebagainya. Maka, seeloknya kita selaku individu Muslim menerapkan nilai Islam dalam diri kita dengan mengikuti apa yang diperintahkan Allah SWT dan disarankan Rasulullah SAW dalam perihal makanan dan minuman. - KitaReporters


Mukbang tidak dilarang oleh Islam selagi tidak melanggar hukum. - Kredit Foto: Google Image

11
17
0
10
0
You will be interested