Teruja lihat salji tiruan di Genting Highlands. Pengunjung berpusu menunggu waktu persembahan yang mengambil masa tiga minit sahaja. - Kredit video: Youtube Rashidah Ibrahim
Kita semua tahu bahawa Genting Highlands di negeri Pahang adalah lokasi percutian istimewa kerana terletak di kawasan tanah tingggi yang sejuk sepanjang tahun. Namun sejuk Genting Highlands tidak sampai pernah turun salji dan sehingga kini belum pernah lagi melainkan salji tiruan. Kadar suhu serendah sekitar 18C tak sampai boleh turun salji.
Penulis tidak tahu pun ada persembahan salji di Genting Highlands sehinggalah dimaklumkan sewaktu berkunjung ke situ baru-baru ini. Bukan tidak pernah lihat salji yang betul tetapi apabila diberitahu, teringin juga nak tengok bagaimana mereka buat salji tiruan.
Taburan buih sabun di udara meniru gaya imej salji.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, pengunjung berpeluang menikmati suasana hujan salji yang dibuat khas sebagai tarikan pengunjung di pusat peranginan tanah tinggi, Genting Highlands.
Pada tahun 2021 lagi telah viral berita `ada salji` di Genting Highlands dan telah diberitakan bahawa ia bukanlah salji sebenar sebaliknya salji yang turun itu sebenarnya adalah dalam bentuk taburan buih sabun, yang tidak pun berasa sejuk apabila disentuh atau dipegang.
Pun begitu orang ramai berpusu-pusu menunggu setiap kali menjelang turunnya salji tiruan. Penulis terperangkap dalam suasana orang ramai berpusu-pusu berkumpul untuk melihat salji tiruan.
Ketika itu, belum tahu lagi bagaimanakah rupa hujan salji tiruan yang dimaksudkan, maka teruja jugalah menunggu saat turunnya di Liberty Lane, Genting SkyWorlds, Genting Highlands, Pahang.
Menunggu salji, masing-masing bersedia dengan kamera telefon pada tangan untuk merakam.
Difahamkan kawasan itu dibuka mulai jam 6 petang. Sebelum jam 6 kami sudah sedia menunggu. Dek desakan ingin tahu bagaimana rupa hujan salji tiruan maka sanggup menanti bersama ramai menjelang maghrib.
Pada masa sama jauh di sudut hati terselit rasa bersalah. Menahan kesejukan dalam cuaca sejuk dan hujan renyai pada senjakala.
"Apalah yang kubuat di sini, sudahlah menjelang maghrib, tak takut ke wabak Covid yang dikatakan sedang melanda semula?" Berat rasa mahu terus menunggu.
Taburan `salji` di langit kelam selepas waktu maghrib.
Sebaik mendapat tahu `persembahan` akan bermula jam 7.30 pm, lalu kami bergegas ke surau terdekat. Disebab terperangkap dengan sesi menunggu di surau terlepas pula jam 7.30 pm. Sampai semula di kawasan tadi, persembahan hujan salji sudah pun selesai, kelihatan saki baki `salji` berterbangan di udara dan kesan buih di permukaan jalan dan meja.
Nasib baik seorang petugas kemudian memberitahu ada lagi persembahan sejam selepas itu.
"Persembahan ulangan adalah 8.30 malam diikuti 9.30 malam, setiap kali persembahan hanya tiga minit saja salji turun," katanya dan kami sambung menunggu sambil posing bergambar berlatarkan suasana yang kelihatan seakan di negara empat musim.
Liberty Lane di Skyworlds Genting Theme Park, kawasan yang dibuka jam 6 petang tempat persembahan hujan salji, menjadi tumpuan menjelang waktu yang dijadual turunnya `salji'.
Ketika itu penonton jam 7.30 pm sudah ramai berlalu, manusia semakin berkurangan tetapi sebaik jam 8.30 pm, tiba-tiba sahaja suasana di situ jadi penuh sesak semula. Kini pengunjung lain pula yang menunggu, masing-masing memegang telefon bimbit pada tangan, bersedia untuk merakam suasana.
Dan sebaik buih salji ditabur dan berterbangan di udara bagaikan kapas mirip hujan salji, masing-masing teruja.
Yang berpengalaman melihat salji betul, dapat mengesan perbezaannya. Agak kelakar apabila sangat ramai menunggu hujan buih yang dianggap salji. Mereka teruja ibarat pertama kali melihat salji sebenar.
Apa beza salji buih dengan salji sebenar? Bezanya buih sabun tak sejuk, salji sebenar disentuh sedikit saja sejuk terasa seperti memegang ketulan ais.
Salji betul, tak boleh dipegang dengan tangan, risiko mendapat gigitan salji (snow bite). Dua minggu telapak tangan akan jadi merah seperti kesan terpegang benda panas (lecur). Boleh menderita dua minggu, bengkak dan pedih.
Difahamkan pertunjukan salji di Skyworlds Genting Highlands, Pahang hanya berlangsung sempena musim perayaan Krismas dan buat masa ini masuk adalah percuma, yang dikatakan berlangsung sampai Januari 2024. - KitaReporters
Sekitar hadapan bangunan ini turunnya hujan salji