Ada warna tema baju dan pakai spek hitam. Tampil stailo bagi ceriakan percutian. Mudah dibawa berbincang. Tidak berkira dan saling faham memahami antara sebab kenapa wanita memilih untuk
bercuti sesama mereka.

Menjadi trend sekarang. Ramai wanita suri rumah, isteri dan wanita bujang memilih untuk makan angin tanpa pasangan dan keluarga. Me time, our time menjadi tagline mereka.
Sama ada dengan grup WhatsApp, alumni sekolah atau universiti, rakan sekerja, kejiranan, grup masjid dan apa saja namanya, yang penting ia sangat membantu mengeratkan silaturahim.
Biasanya mereka bergerak dalam kumpulan kecil yang betul2 ngam kata orang. Yang tak berkira tenaga, wang ringgit dan sebagainya.
Selain mudah diurus, rakan sepercutian juga mesti yang sporting. Tidak mudah sentap atau koyak kata orang sekarang.
Tidak memilih tempat, tidak cerewet dan tidak perlu dilayan macam permaisuri. Mesti sehati sejiwa.

Biasanya bila travel dalam negeri pengangkutan dan tempat tinggal diutamakan. Homestay jadi pilihan. Dan ETS pula paling mudah dan menjimatkan masa.
Ada yang rajin untuk masak memasak jamu kawan kawan. Ada yang lebih suka keluar makan di luar kerana masa diperuntuk untuk lawatan ke lokasi menarik di tempat percutian.
Ada yang lebih menarik siap buat jadual lawatan harian. Ke mana nak pergi. Di mana nak makan, nak solat dan sebagainya.
Cara ini lebih mudah. Ahli rombongan kena disiplin. Ikut arahan chief rombongan. Siap tepat pada masanya.
Berdasarkan perkara di atas adalah penting setiap ahli rombongan mempunyai disiplin yang tinggi supaya perjalanan sentiasa harmoni.

Saya dapati banyak grup wanita ini lebih selesa bercuti dengan sahabat walaupun cuti bersama keluarga lebih membahagiakan.
Secara tidak langsung ada ruang untuk bergembira bersama kawan kawan. Gelak ketawa memecah ruang. Restoran makanan yang dikunjungi. Pakaian pula ada tema. Spek hitam mesti dipakai waktu bergambar.
Sawah padi, sungai, air terjun, lokasi pelancongan menjadi tempat paling popular untuk bergambar kenangan.
Warong dan tempat makan yang viral menjadi pilihan. Ada yang sedap, ada juga yang indah khabar daripada rupa. Tapi takpa, tak cuba tak tahu.
Yang penting, kesepakatan untuk mencuba. Konsep I follow menjadi kunci kepada keharmonian dalam grup. Kalau ada yang tak setuju tentu ada problem kan.

Balik ke homestay waktu dah malam. Selesai apa yang wajib. Sesi tazkirah pun ada. Share pengalaman dan ilmu yang ada.Tegur menegur, pesan memesan.
Ada juga yang buat meeting untuk program akan datang. Plan dan lontar idea. Bawa berbincang lokasi lawatan seterusnya. Dan yang penting mula menabung.
Bab memandu pula biasa wanita lebih selesa travel dengan pengangkutan awam. Kecuali mereka yang hebat pegang stereng dan ada driver gilir-gilir. Semua akan menjadi mudah.
Setiap trip memerlukan kos perbelanjaan. Tambang, penginapan, makan minum, minyak kereta, tol dan lain-lain mesti diambil kira. Kereta sewa jadi pilihan jika pilih guna ETS atau bas.
Dalam hubungan ini kepercayaan sangat penting. Lantik seorang ketua mengurusnya. Bagi sokongan
bayar dan set perjalanan.

Latifah Hamzah, antara yang suka "organised trip women only" (kendali lawatan untuk wanita sahaja) yang menggelar diri mereka Cik Kiah (CK).
“Setakat ini kami hanya bercuti di dalam negara. Antara tempat yang kami telah pergi Terengganu, Kedah, Melaka, Johor dan baru-baru ini Perlis,“ katanya.
Seronok bercuti dengan bekas kawan-kawan sekerja terutama yang satu kepala.
“Setakat ini tak ada masalah. Semua happy walaupun cuti-cuti yang sederhana. Janji semua gembira," ujar Latifah lagi.
Insya-Allah jika nawaitu untuk silaturahim kerana Allah semua akan menjadi mudah. Percutian berhemah. Terjalin juga ukhwah. - KitaReporters
Tags: