.
PUTRAJAYA bukan hanya dibangunkan sebagai pusat pentadbiran negara tapi juga sebagai sebagai bandar yang mesra rakyat, hijau, dan aktif dalam pelbagai aktiviti sihat selari dengan usaha dan komitmen Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi menyokong inisiatif bandar rendah karbon.
Usaha-usaha itu mendapat kerjasama baik agensi-agensi seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) selain United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

Shamsul Azri Abu Bakar memegang sepanduk bersama sebahagian peserta Kayuhan Putrajaya City Trail 2025.
Bagi meneruskan misi itu secara berterusan, PPj dengan kerjasama Jabatan Landskap dan Taman menganjurkan program Kayuhan Putrajaya City Trail siri 1/2025, sebuah inisiatif dinamik bagi memperkasakan gaya hidup sihat di kalangan warga Putrajaya selain mempromosi keindahan dan kemudahan taman-taman awam di sekitar bandar pintar ini.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Asmawi Ahmad berkata, acara itu membabitkan kayuhan sejauh 15 kilometer bermula dari Taman Botani, Putrajaya. Ia adalah pembuka tirai kepada siri program kayuhan yang dirancang sepanjang 2025.

Kayuhan Putrajaya City Trail akan membawa peserta berkayuh menyusuri sisiran tasik di Taman Botani dan Taman Wetland yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna.
Beliau berkata, majlis pelepasan kayuhan disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan peserta. Beliau juga menyatakan sokongan kepada usaha murni memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam dan komuniti Putrajaya.
"Program Kayuhan Putrajaya City Trail ini sejajar dengan lima teras utama "Bandar C.H.A.S.E" yang mengangkat martabat tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ke arah Bandar Bersih, Bandar Sihat, Bandar Maju, Bandar Selamat dan Bandar Mesra Alam.
"Penganjuran Kayuhan Putrajaya City Tral siri 1/2025 kali ini disertai seramai 300 peserta yang menyusuri sisiran tasik di Taman Botani dan Taman Wetland Putrajaya yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna," katanya lagi.

Shamsul Azri Abu Bakar melakukan pelepasan peserta Kayuhan Putrajaya City Trail 2025.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn Bhd, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim; Naib Presiden Landskap dan Taman PPj, Datuk Badlishah Ahmad; dan Pengarah Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Mohd Tajuddin Idris.
Katanya, program ini bukan hanya memupuk gaya hidup sihat malah menyokong kelestarian sosial selaras dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Dan, dalam menghadapi cabaran kesihatan global, program itu diharap menjadi pencetus kepada komuniti sejahtera, inklusif dan lestari.

Sempena Kayuhan Putrajaya City Trail 2025, Shamsul Azri menanam pokok kedondong di Laman Dapur sebagai tanda komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Putrajaya.
"Pada penganjuran kali ini, satu program baharu diperkenal dengan kolaborasi "Terus Tumboh" iaitu Putrajaya Readscape Where Pages Meets Nature. Ia adalah inisiatif mingguan yang diadakan setiap Sabtu jam 8 pagi hingga 10 pagi di taman-taman awam Putrajaya bagi menggalakkan budaya membaca alam suasana semula jadi.
"Program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat bagi memupuk minat membaca, mengeratkan hubungan antara komuniti melalui aktiviti seperti pertukaran buku sesama peserta, diskusi mengenai pengisian buku yang dibaca, sesi khas bersama penulis tempatan dan sesi bercerita untuk kanak-kanak," katanya.
Dengan sokongan komuniti dan pihak berkaitan, katanya program ini mampu menjadi satu usaha berterusan untuk menjadikan budaya membaca sebagai gaya hidup yang menyeronokkan dan bermakna.
"Bagi memeriahkan program Kayuhan Putrajaya City Trail, turut diadakan aktiviti Putrajaya Active Parks dengan membawakan senaman pound fitness, Car Boot Sale, pasar barangan antik dan preloved selain jualan makanan dan minuman," katanya.

Shamsul Azri bergambar kenangan di hadapan Laman Kelulut bersama tetamu VIP.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata program Kayuhan Putrajaya City Trail adalah aktiviti rekreasi yang amat baik bukan sahaja kepada warga tempatan tapi penjawat awam yang sentiasa sibuk dengan tugas di pejabat.
"Saya memang menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam malah sebelum puasa, saya selalu post (hantaran) aktiviti sihat seperti berjalan kaki atau jogging.

Shamsul Azri menunjukkan tanda bagus selepas menikmati keenakan madu kelulut.
"Saya berharap selepas ini aktiviti sihat dan mengeluarkan peluh akan diteruskan dan diperluas semula. Dulu, saya perhatikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zaini Ujang selalu mengadakan aktiviti sihat seperti berjalan kaki.
"Malah, saya difahamkan ramai kementerian bekerjasama dengan PPj untuk mengadakan pelbagai aktiviti sihat. Teruskan usaha yang baik itu apatah lagi kita mempunyai pelbagai kemudahan prasarana di Putrajaya," katanya lagi.
Sempena Kayuhan Putrajaya City Trail 2025, satu simbolik penanaman pokok kedondong di Laman Dapur disempurnakan Shamsul Azri sebagai tanda komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Putrajaya. Beliau turut melawat tapak projek penternakan lebah kelulut di Laman Kelulut. - KitaReporters


Sempena Kayuhan Putrajaya City Trail 2025, pengunjung juga berpeluang membeli belah di Car Boot Sale.