Cara membuat dan memasak lawar daging yang ditunjukkan di program Demonstrasi Masakan Tradisonal Luak Johol yang diadakan di Kampung Tulang Rimau, Dangi, Johol, Negeri Sembilan. - Kredit foto-foto: Muzium Negeri Sembilan.
DALAM kehidupan moden hari ini banyak jenis masakan dan makanan tradisional menjadi kebanggaan generasi terdahulu yang agak unik semakin sukar ditemui. Ia berpunca dari beberapa faktor termasuklah proses perkembangan semasa serta kurangnya individu yang mahir mengenai masakan berkenaan sekarang.
Usaha ke arah mempopularkan kembali pelbagai masakan dan makanan tradisi tersebut dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih merupakan langkah wajar supaya ia menjadi kolekasi khazanah warisan masa akan datang.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan masakan:
https://kitareporters.com/search?search=masakan
Juga sebagai inisiatif ke arah memperkenalkan kepada generasi muda hari ini yang lebih selesa dengan makanan moden bahawa generasi keturunan mereka memiliki pelbagai jenis masakan dan makanan tradisonal yang unik tetapi sinonim dengan kehidupan harian masyarakat waktu itu.
Langkah Lembaga Muzium Negeri Sembilan melalui segmen "Tau Dek Tengok, Pandai Dek Buek" merupakan program bertujuan mengetengahkan pelbagai isu berkaitan kehidupan masyarakat di negeri itu termasuk aspek budaya, adat, sejarah, kekeluargaan, asal usul suatu tempat, artifak, kesenian, masakan dan makanan tradisi, serta lain-lain untuk pengetahuan ramai khususnya generasi muda anak-anak Negeri Sembilan.
Melalui segman tersebut beberapa siri demontrasi mengenai masakan dan makanan tradisi masyarakat yang ada di sekitar negeri itu telah berjaya diadakan.
Bertempat di Kampung Tulang Rimau, Dangi, Johol baru-baru ini satu demontrasi masakan tradisonal Luak Johol dengan mengetengahkan kembali beberapa jenis masakan lauk dan kuih yang jarang ditemui.
Bagaimanapun masakan dan makanan tersebut selalu dihidangkan oleh generasi terdahulu sama ada pada majlis-majlis tertentu atau secara persendirian.
Untuk menghasilkan Cendol Balik Sawah sejenis makanan tradisonal Luak Johol perlu menggunakan sejenis alat khas yang dibuat sendiri dengan menggunakan tempurung kelapa dan letakkan pemegang di kiri kanannya.
Antara masakan yang ditunjukkan melalui demontrasi tersebut bermula dari persediaan bahan-bahan hingga proses memasak termasuk kuih cucur, kerabu jantung pisang bersama isi ikan, Cendol Pulang Sawah, lawar daging, apam Johol dibungkus dengan daun rambai dan lemang tradisi masyarakat Luak Johol.
Mereka yang menjayakan demo masakan berkenaan untuk segmen tersebut Ibu Soko Rahimah Mansor dan Dahlia Baba dari Suku Seri Melenggang dengan jenis masakan kerabu jantung pisang bersama isi ikan, kuih cucur dan cendol pulang sawah.
Manakala Ibu Soko Salbiah Hussain dari Suku Jenang dan Ibu Soko Norsiah Hamzah dari Suku Raja Balang menjayakan demo masakan lawar daging dan apam Johol.
Ibu Soko Zainab Padil dari Luak Gemenceh menunjukan cara membuat lemang tradisi luak berkenaan.
Lawar daging dan Cendol Balik Sawah merupakan antara produk tradisonal masyarakat Luak Johol yang unik dan semakin sukar ditemui diharap ia akan kembali dikenali masyarakat setempat terutama generasi muda melalui usaha dijalankan pihak muzium.
Untuk mendapatkan apam Johol yang cantik dan menarik cara pembungkusan mengunakan daun rambai perlukan teknik tertentu.
Menurut Norsiah Hamzah, lawar daging yang menggunakan bahan asasnya daging salai dipotong nipis dicampur bawang putih, bawang merah, serai, lada, limau kasturi, santan atau kerisik serta sedikit garam. Gaul hingga sebati semua bahan dan letak atas dapur dengan api yang kecil. Bila sudah masa keadaannya agak lembab dan tidak berair.
Masakan ini seolah-olah seperti kerabu bezanya ia dimasak dengan kadar apinya yang agak kecil dan dijadikan lauk semasa makan.
Manakala Cendol Balik Sawah yang juga dikenali sebagai Cendol Pulang Sawah menurut Rahimah Mansor bahan-bahan digunakan campuran tepung beras yang direndam dan ditumbuk bersama santan, gula anau, air dan sedikit garam. Ia dikacau hingga sebati
Untuk menghasilkan Cendol Balik Sawah ini perlu menggunakan sejenis acuan khas yang dibuat daripada tempurung dan letakkan pemegang di kiri kanannya. Ada juga acuan tersebut dibuat daripada tin.
Menurutnya, cendol yang dimasak di atas dapur dengan kadar api yang sederhana digemari masyarakat kampung bila mereka balik dari kerja di sawah.
Hanya mereka yang mahir berkebolehan mampu menghasilkan kuih cucur menarik dan cantik.
Dahlia Baba pula memberitahu, kuih cucur menggunakan bahan tepung gandum dan tepung beras yang dicampur dengan gula merah, air, sedikit kapur dan garam. Gunakan api yang kecll semasa mengoreng. Bagi mendapatkan hasil yang baik bancuhan sekurang-kurangnya diperap selama tiga jam di samping penggunaan teknik tertentu.
Bagi membuat apam Johol, menurut Norsiah Hamzah, bahan-bahanya tepung gandum, yis, gula pasir, gula merah, sedikit minyak masak dan daun rambai. Bahan-bahan siap diadun dibalut dengan daun rambai yang telah disapu dengan minyak masak. Semasa membungkus daun rambai dibuka sedikit di bahagian atas kemudian dikukus antara 10 ke 15 minit mengikut keadaan api.
Usaha mempopularkan kembali masakan dan kuih tardisonal masyarakat di Negeri Sembilan oleh pihak muzium negeri banyak memberi pengetahuan dan manfaat berguna terutama jenis-jenis yang jarang ditemui sekarang.
Selain untuk dijadikan khazanh warisan ia juga dapat memperkenalkan kepada generasi masa kini yang ramai tidak mengetahui. - KitaReporters