Tasik Pandan Perdana di Ampang Jaya terus menonjol sebagai destinasi pelancongan komuniti apabila menjadi lokasi penganjuran Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang dijangka menarik kehadiran 500 peserta pada Ahad, 22 Jun 2025 ini.
Pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM10,000 ini bukan sahaja menjadi medan buat pemancing beradu nasib, malah turut mengangkat potensi tasik berkenaan sebagai produk pelancongan rekreasi setempat.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan ini dianjurkan bersama MPAJ, Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic serta disokong oleh Tourism Malaysia, selaras dengan usaha mempromosikan lokasi-lokasi rekreasi bandar sebagai tarikan pelancongan domestik.
“Kita mahu tonjolkan Tasik Pandan Perdana sebagai destinasi riadah dan pelancongan komuniti yang sesuai untuk seisi keluarga, selain menyokong inisiatif Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026,” katanya.

Ts. Hasrolnizam Shaari (dua dari kanan)
Sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian ekosistem tasik, sebanyak dua spesies ikan - Lampan Sungai dan Baung - telah dilepaskan ke dalam tasik dalam satu majlis pelepasan yang disempurnakan oleh Ts. Hasrolnizam sendiri.
Langkah itu juga bertujuan menambah sumber ikan dan memperkaya biodiversiti tasik yang telah ditutup kepada aktiviti memancing selama lebih lapan bulan.
Tasik tersebut kini dihuni pelbagai spesies ikan termasuk tilapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu dan ikan bandar raya yang akan dipertanding secara konsep ‘sapu bersih’, membolehkan semua spesies layak dinilai.
Hadiah wang tunai lumayan ditawarkan dengan juara bakal membawa pulang RM4,000, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM700, dan tempat ke-4 hingga ke-70 menerima RM70 setiap seorang. Yuran penyertaan ialah RM40 untuk sebatang joran.
Pendaftaran awal turut diberi keistimewaan apabila sebanyak 400 helai baju-T eksklusif disediakan kepada peserta terawal yang mendaftar.
Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Sabtu ini (3.00 petang - 7.00 malam) dan disambung pada pagi Ahad (6.30 pagi - 10.00 pagi) di lokasi pertandingan.

Ts. Hasrolnizam Shaari melepaskan ikan baung untuk Cabaran Joran Ampang Jaya pada Ahad, 22 Jun 2025 ini.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian 013-2661077, 012-3554946 atau 012-2846811, atau menerusi laman rasmi Facebook di facebook.com/jorankl. - KitaReporters