Selera & Santai 26 Jun, 2025

Bila Abah bersuara| Kita ulang! Premis makanan kotor bahayakan pengunjung! Sampai bila nak berulang?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


Kotornya dapur! Keadaan ini hanya mengundang tikus dan lipas berkeliaran. Pengunjung yang bakal menanggung risiko.


APA perasaan anda sebagai pelanggan jika dapat tahu makanan yang dinikmati di premis menjamu selera seperti restoran sudah ‘dicicipi’ (bahasa Jawa bermaksud dijamah atau dirasa) terlebih dahulu oleh tikus atau lipas sebelum anda memakannya?

Tentu anda berasa geli dan tidak sanggup menelan makanan tersebut. Kemungkinan besar anda tidak akan lagi berkunjung ke premis tersebut serta memberitahu kaum keluarga dan rakan-rakan agar menghindarinya. 

Kisah premis makanan kotor ini bukan rekaan, tetapi realiti dan kerap dilapor media. Malah ada pelanggan yang melihat sendiri haiwan menghurung makanan, lalu lantas pergi. Tekak terasa loya, selera makan hilang.


Dapur kotor, makanan dibiar terdedah. Aspek kebersihan dan kesihatan tidak dipeduli.


Gejala ini akibat sikap buruk pemilik premis yang tidak menjaga kebersihan dan mengabaikan aspek kesihatan. Bagi mereka, yang penting untung. Premis kotor dan makanan tercemar tidak dipeduli. Yang akan menanggung akibat ialah pelanggan.

Kerana itu pihak berkuasa tidak berkompromi terhadap premis makanan kotor. Pemantauan dan pemeriksaan dijalankan sepanjang masa bagi memastikan pemilik mematuhi piawaian kesihatan ditetapkan.

Di Kuala Lumpur misalnya, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beterusan menjalankan pemeriksaan premis makanan di semua 11 kawasan Parlimen. Premis yang tahap kebersihan sangat teruk diperintah tutup.

Premis yang tahap kebersihan kurang memuaskan beri notis amaran, kompaun dikeluarkan. Jika tahap kebersihan tidak ditingkatkan, bersedialah hadapi tindakan lebih berat.


Kakitangan penguat kuasa memeriksa keadaan dalam dapur sebuah premis makanan. Dapur tidak dikemas dengan baik, kebersihan tidak memuaskan, aspek kesihatan diabaikan. 


Apa pengabaian kesihatan dikesan oleh DBKL dalam operasi? Antara yang utama ialah pekerja tidak mendapat suntikan tifoid (typhoid), najis lipas dan tikus di dapur, rak makanan dan dinding kotor, perangkap minyak tidak dipasang.

Selain itu kedaan dalam restoran juga kusam. Lantai berdaki, kerusi meja tidak dilap dengan cukup bersih. Malah ada laporan pekerja mencuci peralatan seperti pinggan mangkuk, kuali dan periuk menggunakan air longkang. Sungguh jijik.

Jelas pemeriksaan ini mendapati najis tikus dan lipas yang sangat berbahaya kepada kesihatan, dibiar berserakan di tempat penyediaan makanan. Kehadiran haiwan ini tentunya didorong oleh persekitaran yang kotor.

Bahan mentah seperti ayam, daging, ikan dan lain-lain serta sayur-sayuran sudah pun terlebih awal dihidu dan dijamah oleh tikus dan lipas. Dengan rak makanan yang kotor, berdendang sayang haiwan ini menikmati makanan yang telah dimasak.

Apabila dihidang untuk jualan, nampak bersih dan membuka selera. Namun pelanggan sebenarnya terpedaya, mendedahkan diri kepada penyakit serius.  

Oleh itu pemantauan kebersihan oleh pihak berkuasa, sama ada di Kuala Lumpur atau tempat lain, amat penting untuk memastikan aspek kesihatan pelanggan terpelihara. 



Apa ciri yang sering diambil kira apabila mengunjungi premis makanan untuk menjamu selera? Paling utama ialah kebersihan. Selain itu, layanan bagus, makanan enak dan cepat disaji selepas dipesan.

Premis yang bersih, persekitaran menarik merupakan ‘first impression’ kepada pengunjung. Dilengkapi dengan ciri-ciri lain yang disebutkan, sudah pasti mampu menarik ramai datang.

Namun banyak restoran atau premis makanan tidak mematuhi ciri-ciri disebutkan. Aspek kebersihan demi menjamin kesihatan tidak dipeduli sedangkan ia amat penting. Premis kotor boleh mendatangkan mudarat kepada pengunjung.

Terdapat juga pemilik premis yang tidak serik. Walaupun pernah disita atau diberi kompaun, mereka terus mengulang kesalahan sama. Perbuatan ini menencabar pihak berkuasa. Ia menyerlahkan sikap mementingkan diri. Apa yang berlaku kepada pengunjung bukan urusan mereka.

Kerana itu amat wajar premis makanan yang terus menerus mengabai dan melanggar piawaian kesihatan ditutup dan disenaraihitamkan. Pemilik perlu dikenakan tindakan sangat tegas. Ini sebagai pengajaran kepada premis makanan lain atau yang berhasrat membuka kedai makan pada masa hadapan.

Apabila berkunjung ke premis makanan, awas sebelum masuk. Biasanya premis makanan ada diberi penarafan sama ada Gred A, B atau C. Tanda gred ini ditampal di dinding. Buatlah pilihan bijak mana satu wajar dipilih. - KitaReporters


Amat wajar premis makanan yang terus menerus mengabai dan melanggar piawaian kesihatan ditutup dan disenarai hitam. 

14
10
0
18
0
You will be interested