.
DAERAH Bagan Datuk, Perak, kini ada tarikan baharu, Dataran Waterfront Bagan Datuk. Terletak di pekan Bagan Datuk, di tebing Sungai Perak, ia lokasi penduduk setempat dan pelawat luar bersantai bersama keluarga.
Paduka Seri
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah, berkenan
berangkat merasmikan dataran tersebut dalam majlis penuh meriah pada 17 Jun 2025 lalu. Turut berangkat, Raja Permasuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut
berkenan berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir
Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Juga hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli-Ahi Exco, pegawai kanan negeri serta warga Bagan Datuk.

Sultan Nazrin Shah melafazkan titah merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk dalam satu upacara meriah dan gemilang.

Sultan Nazrin menandatangani plak perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk. Juga kelihatan Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) dan Saarani Mohamad (kanan).
Dataran Waterfront Bagan Datuk menambah seri Bagan Datuk, daerah ke-12 dan 'bongsu' yang diisytiharkan pada 9 Januari 2017 oleh Sultan Perak.
Pekan Bagan Datuk yang selama ini dianggap pekan mati atau pekan koboi kini sudah berubah wajah, khususnya dengan terbinanya Jambatan Bagan Datuk, yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah, yang dibuka pada 31 Mei dan dirasmikan oleh baginda pada 7 Oktober 2023.
Pekan ini, yang terletak di selatan negeri Perak, dianggap mati kerana ia berada di penghujung jalan mati, di tebing Sungai Perak. Untuk keluar masuk perlu melalui Jalan Teluk Intan - Bagan Datuk, melalui pekan Hutan Melintang.
Dengan adanya jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Daerah Perak Tengah, pengguna boleh melalui jambatan untuk ke Sitiawan, Manjung dan Lumut.
Seterusnya ke utara melalui Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) terus ke Changkat Jering, Taiping. Begitu juga sebaliknya untuk ke Bagan Datuk dan Sabak Bernam, Selangor dan Kuala Lumpur.

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim bergambar di sisi replika jong di Dataran Waterfront Bagan Datuk selepas majlis persamian pada 17 Jun 2025. Juga kelihatan, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (lima dari kiri); Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris (tiga dari kanan); dan Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) serta Saarani Mohamad (tiga dari kiri).

Ketengkasan pasukan Paskal dipamerkan pada perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk.
Dengan pelbagai pembangunan, Bagan Datuk makin maju. Kini ada Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Politeknik Bagan Datuk.
Pekan ini jadi tumpuan pelajar seluruh negara serta ibu bapa yang datang melawat anak-anak.
Secara
tidak langsung, Bagan Datuk jadi tumpuan pelawat luar yang singgah ke pekan
tersebut sebelum meneruskan perjalanan dari atau ke utara. Pekan sunyi itu kini
semakin hidup.
Sebelum Dataran Waterfront Bagan Datuk, masjid terapung Masjid Tuminah Hamid sedia berdiri gagah di atas Sungai Perak, berhampiran dataran. Masjid indah tersergam ini menarik pengunjung untuk bersolat dan mengabadikan gambar kenangan.

Masjid Terapung Tuminah Hamidi di atas Sungai Perak tumpuan pelancong yang datang ke Bagan Datuk.
Dataran merangkumi beberapa komponen projek yang telah dilaksanakan sebelum ini. Ia termasuk Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, kemudahan riadah dan rekreasi, serta pemuliharaan bangunan kedai dan naik taraf jalan sekitar Bagan Datuk.
Jeti Bagan Datuk menyimpan banyak kenangan. Suatu ketika dahulu jeti ini merupakan pelabuhan bot penumpang yang sibuk, menuju destinasi seperti Sitiawan.
Dalam kawasan dataran terdapat sebuah replika jong besar, melambangkan kedudukan Bagan Datuk sebagai sebuah pelabuhan penting masa lalu. Jong replika ini mengandungi peralatan permainan kanak-kanak serta informasi sejarah di bahagian dalam dan atas jong.
Juga menyerikan dataran ialah replika tempurung kelapa berserta air pancut, sejajar kedudukan Bagan Datuk sebagai kawasan pengeluar kelapa terbesar di Perak dan Malaysia suatu ketika dahulu. Replika keris terhunus turut berdiri gagah di dataran.

Jeti Bagan Datuk dan replika keris terhunus menambah seri Dataran Waterfront Bagan Datuk.

Dataran Waterfront Bagan Datuk mengalu-alukan kehadiran pelancong untuk bersantai dan menikmati keindahannya.
Upacara perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk pada 17 Jun 2025 itu dimulai dengan nyanyian lagu negeri Perak, bacaan Al-Quran dan doa. Sultan Perak kemudian berkenan menyempurnakan lafaz perasmian serta menandatangani plak perasmian.
Baginda kemudian berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi maritim di Sungai Perak, yang dijayakan oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pasukan polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Perikanan Malaysia.
Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak turut berkenan melawat pameran berkaitan sejarah Bagan Datuk, pameran agensi seperti Akademi Laut Malaysia (Alam), GiatMARA, Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), TLDM, Muzium Matang dan Jabatan Arkib Perak, RISDA, serta Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Datanglah ke Bagan Datuk. Pengunjung pasti terhibur menikmati pemandangan pekan dalam kawasan perkampungan. Bersantailah menikmati pelbagai tarikan yang ada. Nikmati pelbagai makanan Perak yang enak, serta keramahan dan kemesraan penduduknya. - KitaReporters

Sabahagian orangramai yang hadir pada upacara perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk.