
Beca di Pulau Pinang suatu ketika dulu memang popular.Tapi kini setelah zaman berubah ia tidak lagi menjadi pengangkutan pilihan utama penduduk tempatan sebaliknya menjadi pilihan pelancong semata-mata.
Bagi merealisasikan perkara ini, penulis sempat turun padang ke lokasi di hadapan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Armenian yang menjadi tumpuan pelancong dan penarik beca.
Sampai saja di kedua-dua lokasi kebanyakan beca dihias indah dan cantik berwarna-warni dengan bunga-bungaan serta muzik juga jelas kedengaran semasa beca bergerak.
Memang betul beca hanya ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong, tidak lagi kedapatan di merata tempat seperti dulu. Manakala penarik beca pula menjadikan lokasi tapak warisan 'Penang Heritage' (Warisan Pulau Pinang) sebagai tumpuan mereka setiap hari.

Terdapat sekitar 20 buah beca menanti penumpang di sekitar tapak warisan. Sementara yang lain masih lagi mundar-mandir mencari penumpang sekitar kawasan berdekatan.
Penarik beca terdiri daripada pelbagai bangsa. Ada berbangsa Melayu, Cina dan juga India. Masing-masing beratur bersama beca masing-masing menanti penumpang.
Tapi ia bergantung kepada nasib juga. Beca mana yang menjadi pilihan dan tarikan penumpang.
Terdapat penarik beca yang senior dan juga yang junior. Yang senior sudah menjangkau usia 70-an masih mempunyai keringat mengayuh beca dan juga yang junior sekitar 20-an turut menanti kehadiran penumpang.

Mohamad Amin Abdullah, 73 tahun, yang ditemui berkata ia telah mengayuh beca lebih 20 tahun.Beliau masih lagi kuat dan keringatnya masih kental menanti penumpang dengan penuh kesabaran.
"Penumpang boleh pilih untuk menaiki beca sepenuhnya dalam masa 1 jam dengan bayaran sebanyak RM80. Manakala bagi 30 minit caj yang ditetapkan ialah RM40 dan RM30 untuk pusingan besar.
"Saingan sekarang hebat kerana hanya pelancong yang minat menaiki beca, bukan lagi orang kebanyakan macam dulu. Jika ada banyak pelancong yang naik beca, barulah ada pendapatan, tapi itu pun tidak menentu, " ujar beliau.
Bagi penarik beca junior, Mohamad Abdullah, 29 tahun pula, beliau berkata sudah 3 tahun menjadi penarik beca.
Setiap bulan katanya ia perlu membayar sewa beca sebanyak RM150. Selain itu jika tayar botak atau rosak penyewa perlu tanggung sendiri.
"Saya tinggal jauh di Tasek Gelugor, Seberang Perai dan perlu berulang alik setiap hari ke sebelah Pulau di sini untuk menarik beca.
"Pendapatan ada kalanya banyak dan ada kalanya sedikit. Pada hari minggu atau cuti umum barulah ada banyak penumpang. Namun begitu pendapatan tidak menentu, " ujar beliau.


Abdul Rashid Abd Rahman, yang lebih junior, baru setahun menjadi penarik beca. Walaupun baru berusia 24 tahun, kerana minat beliau teruskan kerjaya sebagai penarik beca.
"Beca disewa sebanyak RM200 sebulan dan insentif yang diberi oleh kerajaan negeri Pulau Pinang setiap bulan sebanyak RM200 juga dapat menampung kos sewa sekiranya pendapatan susut.
"Pelancong luar Pulau Pinang dan luar negaralah yang sering menaiki beca kami jika dibandingkan dengan pelancong tempatan. Cuti umum dan hujung minggu selalunya rezeki lebih," tambah beliau ketika ditemui.
Rata-rata mereka boleh mendapat pulangan sehingga seribu ringgit atau lebih setiap bulan bergantung kepada jumlah penumpang yang mendapatkan khidmat beca mereka.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memberi insentif sebanyak RM200 setiap bulan kepada semua penarik beca yang berdaftar dengan kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka sehingga ke hari ini. - KitaReporters
