Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Lebuh Pantai di Georgetown, Pulau Pinang, balai ini agak jauh bezanya dengan balai bomba sedia ada dalam negara ini. Ia yang dikenali sebagai Balai Bomba Pusat Lebuh Pantai turut popular sebagai ikon pelancongan dengan panggilan 'Central Fire Station 1908'. - KitaReporters


Nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sememangnya sudah sinonim sekiranya adanya kebakaran, kecemasan, kemalangan mahupun bencana sejak dahulu lagi.
Bombalah yang dipanggil untuk memadamkan api atau mengendalikan kecemasan. Malah khidmat balai bomba yang ada menyediakan khidmat 24 jam dan sedia berkhidmat pada bila- bila masa sahaja.
Namun begitu bagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, Georgetown, Pulau Pinang, balai ini agak jauh bezanya dengan balai bomba sedia ada dalam negara ini.
Ia yang dikenali sebagai Balai Bomba Pusat Lebuh Pantai turut popular sebagai ikon pelancongan dengan panggilan 'Central Fire Station 1908'.



'Central Fire Station 1908' (CFS) merupakan satu-satunya balai bomba yang mengekalkan nama nostalgia sejak 117 tahun kewujudannya kerana terletak di kawasan Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) dengan bentuk bangunan lama sejak tahun 1908 lagi.
Balai bomba ini juga tersenarai sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya bertandang ke Georgetown mahupun tapak Warisan Dunia.
Yang menariknya CFS ini amat berbeza dengan balai bomba yang ada dalam negara. Ia menyediakan galeri bomba umpama mini muzium kepada para pelawat atau pelancong yang mengunjungi balai bomba tersebut.
Pelbagai barangan kegunaan pihak bomba semasa bertugas dan menyelamat diperlihat kepada pelawat mahupun pengunjung.


Antara yang dipamerkan ialah foto-foto silam pihak bomba memadam api sekitar tahun 1980-an, peralatan bomba yang digunakan pada tahun 1900-an sehinggalah kini.
Uniform dan pakaian yang berbeza warnanya sejak dulu sehinggalah kini turut dipamerkan.
Begitu juga dengan kenderaan yang digunakan untuk tugas-tugas menyelamat serta peralatan seperti hos, nozel dan pelbagai aksesori sedia ada juga dipamerkan dengan jelas.
Lebih menarik lagi bersebelahan bangunan CFS ini ialah lukisan mural bomba yang cantik, menarik, warna-warni serta merupakan mural bomba yang terpanjang di Malaysia. - KitaReporters

